Saturday, November 01, 2025

AI dalam Kehidupan : Kawan atau Cabaran Baharu?

 



Sejak kebelakangan ini, saya mendapati bahawa  semakin ramai menggunakan pelbagai alat kecerdasan buatan (AI tools) dalam kerja harian mereka. Ada yang guna untuk menulis, menganalisis data, mengurus dokumen, atau sekadar mencari idea baharu. Dahulu, saya melihat AI sebagai sesuatu yang jauh dan rumit, tetapi kini ia juga telah menjadi sebahagian daripada rutin saya, seperti pembantu yang sentiasa bersedia berkhidmat bila-bila masa sahaja.

AI bukan lagi sekadar teknologi masa depan, ia sudah menjadi realiti yang memudahkan cara kita bekerja, berfikir dan berkomunikasi. Dengan adanya aplikasi seperti ChatGPT, Grammarly, Canva AI, Notion AI, Copilot, Gemini dan banyak lagi,  kerja yang dahulu mengambil masa berjam-jam kini boleh disiapkan lebih mudah. Namun, kita perlu sedar bahawa penggunaan AI memerlukan keseimbangan antara kemudahan dan tanggungjawab, agar ia memberi manfaat sepenuhnya tanpa menjejaskan keaslian dan etika kerja kita.

Semalam, saya sempat mendengar ucapan keynote Asean Youth Entrepreneur Forum (AYEF 2025) oleh Encik Jay, CE BSN. Saya yang ketika itu sedang bertugas di AYEF 2025 ada menangkap sedikit ucapan Encik Jay yang mengatakan bahawa perlunya penggunaan AI secara ethical. Apa yang saya faham ialah ianya boleh membantu menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti, tetapi ia juga boleh disalahgunakan jika kita tidak berhati-hati. Sebagai pengguna, kita perlu memastikan setiap hasil kerja yang dibantu AI masih mencerminkan pemikiran dan nilai sebenar kita, bukan semata-mata hasil mesin. Ini termasuk memberi kredit kepada sumber asal, tidak meniru kandungan tanpa semakan, serta menilai ketepatan maklumat yang dijana oleh AI. Bagi saya, menggunakan AI secara beretika bermaksud menggabungkan kemudahan teknologi dengan tanggungjawab moral, agar hasil kerja kita kekal tulen, berkualiti dan berintegriti.

Bercakap tentang penggunaan AI ini, saya tertarik dengan satu kajian yang dijalankan oleh oleh Sulaimon Adewale (2025) dan diterbitkan dalam The International Journal of Information and Learning Technology bertajuk Exploring ChatGPT Usage Amongst Female Academics and Researchers in Academia.

Sesuai dengan tajuk kajian yang menggunakan kaedah temubual ini, ia mendedahkan bagaimana pensyarah dan penyelidik wanita di Afrika Selatan menggunakan ChatGPT untuk membantu kerja akademik mereka.

Daripada 20 responden yang terdiri daripada pensyarah kanan, felo pascasiswazah dan pelajar PhD, kebanyakan mereka mengakui bahawa ChatGPT berupaya menjadi virtual assistant yang bagus. Ia membantu menjana idea penyelidikan baharu, memperbaiki penulisan akademik dan seterusnya menjimatkan masa. Ada yang berkongsi bahawa ChatGPT membantu mereka “memulakan draf penulisan dengan lebih mudah” dan sekaligus mengurangkan tekanan kerja harian.

Namun, tidak semua responden bersetuju sepenuhnya. Ada yang bimbang terhadap etika penggunaan AI, seperti risiko plagiarisme, kehilangan daya pemikiran kritikal, serta kebimbangan terhadap keselamatan data dan ketepatan maklumat. Walaupun begitu, majoriti mengakui bahawa ChatGPT telah meningkatkan produktiviti dan keyakinan mereka dalam penulisan serta pengajaran.

Kajian ini menegaskan keperluan untuk latihan, bimbingan dan dasar yang jelas agar seseorang dapat menggunakan AI dengan lebih bertanggungjawab. Ia juga menyeru institusi pendidikan tinggi untuk memperkukuh pembangunan kemahiran digital dan mewujudkan peluang kolaborasi dengan pembangun AI.

Saya tidak pasti samada terdapat kajian seumpama ini yang hanya memberi tumpuan kepada warga akademik lelaki, tetapi saya berpendapat bahawa perbezaan jantina tidak memberi kesan yang besar terhadap penggunaan teknologi AI. Menarik juga kalau ada penyelidik yang boleh memberi jawapan tentang perkara ini. 

Saya juga lebih tertarik dengan satu kenyataan dalam kajian ini dimana ada responden yang memberitahu penyelidik tentang risiko kehilangan pemikiran kritikal jika terlalu bergantung kepada penggunaan AI. Saya pernah mendengar kenyataan yang sama dari rakan yang menggunakan AI tools untuk menyiapkan kerja dimana beliau mengatakan bahawa daya pemikiran kritis semakin berkurangan sejak guna AI. Sikit-sikit dia akan refer AI. 

Pada pandangan saya, ini mungkin tidak berlaku pada generasi saya sekarang, tetapi boleh berlaku kepada generasi yang akan datang. Pada waktu itu AI tools sudah tentu lebih advance dan menyeluruh di dalam kehidupan. Nak makan pun bergantung kepada AI agaknya.  

Kesimpulannya, AI bukan menggantikan penyelidik tetapi memperkasakan warga akademik untuk bekerja dengan lebih bijak, seimbang.


No comments:

Post a Comment