Wednesday, November 05, 2025

Kebaikan Slow Jog

 




Ramai orang fikir jogging kena laju. Kena kejar pace 6, pace 5, kena nampak “fit”. Tapi realitinya, untuk kebanyakan kita yang nak sihat, kurus sikit, jaga jantung, dan tak nak cedera, slow jog sebenarnya jauh lebih baik, lagi-lagi untuk yang dah berumur macam saya ni.

Saya sendiri dulu pun rasa kalau tak laju, tak berpeluh kuat, tak kira bersenam. Tapi bila dah mula slow jog beberapa minggu, saya baru nampak perbezaannya. Bukan saja pada badan, tapi pada 'feel' dalam tubuh badan.

Apa Sebenarnya Slow Jog? Slow jog bukan berjalan, bukan berlari laju. Dia ada di tengah-tengah.

Cara paling senang nak tau:

  • Boleh bernafas melalui hidung
  • Boleh bercakap ayat pendek tanpa tercungap
  • Heart rate tak tinggi sangat (80–130 bpm) ikut individu

Kalau dah rasa rasa nak 'terkorban,, itu bukan slow jog, itu sprint. Lain orang lain kelajuannya. Ada yang rasa slow jog pada diri dia, tapi pada diri saya ianya dah tahap sprint. Apa-apa pun kena tanya kemampuan badan sendiri. Kalau macam saya, kaki lebih cepat lenguh dari jantung. Ada orang pula, jantung 'lenguh' dahulu dari kaki.  

Kenapa Slow Jog Lebih Bagus Dari Lari Laju?

Tak Menyakitkan Lutut. Bila kita berlari laju, hentakan kaki ke tanah sangat kuat. Lama-lama lutut rasa “berusang”. Slow jog pula lembut dan relax, jadi lebih friendly untuk sendi.

Lemak Terbakar Lebih Konsisten. Bila slow, badan guna lemak sebagai tenaga utama. Kalau laju sangat, badan guna gula / glycogen, cepat penat, cepat lapar. Kat mana saya baca yang ini, lupa dah. Tapi ini berdasarkan pembacaan saya lah, bukan rekaan. Kalau salah tolong betulkan. Tapi based on game badminton saya yang memang sekali main boleh terbakar 400-700 kcal, lepas main memang lapar lain macam. Dah lah main malam, nak makan pun serba salah. 

Sebab itu slow jog sesuai untuk:

  • Nak kurus
  • Nak kekalkan berat
  • Nak jaga selera makan


Tak Rasa Dera Diri, Jadi Senang Nak Konsisten. Ini paling penting. Senaman yang bagus bukan yang paling hardcore, tapi yang kita boleh buat hari-hari.Slow jog yang sedap ialah bangun pagi, slow jog 20-30 minit, dah selesai, rasa tak penat dan mood jadi baik. Tapi kalau tak sempat, buat petang lepas balik kerja pun okay. Malam memang cepat je menguap. Tidur pun mimpi slow jog. 

Slow Jog sudah semestinya bagus untuk jantung. Heart rate berada dalam zon aerobic yang sihat. Ini boleh membantu:

  • Kurangkan tekanan darah
  • Kuatkan jantung perlahan-lahan
  • Buat badan rasa ringan

Kawan-kawan yang kerap slow jog beritahu saya, kesan-kesan slow jog ialah 

  • Tidur lebih nyenyak
  • Badan kurang “bloated” / kembung
  • Mood time pagi jauh lebih stabil
  • Nafas tak cepat semput bila naik tangga
  • Kepala rasa lebih “clear” masa kerja

Setakat ini, bagi orang yang baru beberapa minggu konsisten slow jog (tapi bukan hari-hari sebab saya tuntutan tugas), memang rasa tidur lebih nyenyak selepas slow jog, badan kurang bloated dan nafas tak cepat semput bila naik tangga (yang ini mungkin dah lama dan disebabkan konsisten main badminton secara mingguan). Yang paling best, tak rasa stress nak kejar prestasi larian.

Macam Mana Nak Mula Slow Jog? Secara ringkasnya, kita boleh ikut step dibawah.

  • Mulakan 20–30 minit sekali sesi
  • Jangan kejar pace. Fokus rasa.
  • Kalau penat, kita jalan, lepas tu sambung slow jog balik. Macam saya, kalau penat saya jalan cuma jalan saya masih hampir ikut pace slow jog,
  • Buat 3–5 kali seminggu.

Kalau ada smartwatch (Garmin, Apple Watch), pastikan heart rate bawah ± 130 bpm. Itu dah cukup bagus. Biasa puratan heart rate saya sekitar 120 bpm dan maksimum cecah 150-155 bpm. Setakat ni pace masih 11, sebelum ni 13, turun 12. Tapi saya tak expect lah nak capai pace 7-8, bukan nak masuk tournament. Umur macam sekarang ni pun tak sesuai dah. Umur pakcik-pakcik.

Slow jog ini bukan pasal siapa paling laju. Ini pasal menjaga diri, jaga jantung, dan rasa hidup lebih ringan. Kadang benda yang perlahan itu lebih memberi makna berbanding yang kita kejar terlalu laju. Perlahan pun tetap ke depan. Yang penting, kita gerak. 


No comments:

Post a Comment