Wednesday, November 26, 2025

Pengalaman Mini Bersama Mac Mini

 



Walaupun sekarang laptop dah nipis, ringan dan bateri tahan lama, desktop masih belum ‘pupus’. Sebenarnya ada sebab kenapa ramai masih setia dengan desktop. Ia lebih stabil, lebih kuat, tak cepat panas, dan kita boleh biarkan ia berjalan sepanjang hari tanpa risau bateri atau throttling. Untuk orang yang nak workstation tetap di rumah atau pejabat, desktop bagi rasa yang lebih solid. Dan kalau nak prestasi tinggi pada harga lebih rendah, desktop biasanya lebih berbaloi. Pendek kata, laptop untuk bergerak, desktop untuk kerja betul-betul.

Saya sendiri sebenarnya lebih selesa guna desktop di ofis. Sebab paling simple ialah saya malas nak angkut laptop ke sana sini. Bila balik dari pejabat, kadang-kadang tangan penuh dengan beg, botol air, barang kerja,  tambah pula laptop, memang rasa leceh. Lagi satu, kerja saya pun bukan setiap hari duduk dalam ofis. Ada masa saya perlu terus ke luar, jumpa orang, atau urusan tugasan lain, dan dari situ saya biasanya terus balik rumah tanpa singgah ofis. Jadi kalau guna desktop, tak perlu risau nak patah balik ambil laptop bila tiba-tiba kena kerja luar. Semua kerja yang perlukan komputer saya buat di ofis, dan bila selesai, saya balik dengan tangan yang lebih ringan.

Adakala, balik ofis akan menyinggah sana-sini. Kalau bawa laptop, terpaksa lah usung laptop sekali. Saya tak berani tinggal dalam kereta, takut kereta kena pecah, laptop kena rembat. Banyak data dalam laptop tu. 

Saya pilih Mac Mini untuk dijadikan desktop sebab dia sebenarnya paling murah dalam keluarga Apple. Kalau nak beli iMac, harganya memang jauh lagi tinggi. Boleh rabak poket. Beli yang ni pun bayar 0% instalment. Nasib baik Bank saya ada kemudahan tersebut. Bulan-bulan tak tinggi mana.

Dengan Mac Mini, saya dapat prestasi cip M-series yang sama laju, tapi pada harga yang lebih masuk akal. Lagi pula, saya memang dah ada dua monitor lama yang masih elok, satu Samsung, satu Acer. Jadi tak payah bazir duit beli monitor baru. Keyboard Bluetooth Logitech pun sudah tersedia, tinggal sambung sahaja. Paling best, saya memang dah lama duduk dalam “ecosystem” Apple, dari telefon, tablet hinggalah ke laptop. Airpod pun ada (yang ni dapat free masa beli Macbook). Bila tambah Mac Mini sebagai desktop tetap, semuanya sync dengan mudah. Airdrop, Notes, iCloud, Safari passwords… semua berjalan lancar tanpa perlu pening kepala. Pendek kata, saya cuma tambah satu ‘kotak kecil’ tapi workflow saya terus jadi lebih smooth.

Pengalaman hari pertama beli Mac Mini memang menyenangkan. Buka kotak, sambung kabel, tekan power, itu saja. Setup dia sangat mudah, rasa macam tak ada benda pun yang perlu fikir panjang. Bluetooth keyboard dan mouse terus detect, terus boleh login guna Apple ID. Lepas siap setup, saya terus buat kemas kini sistem. Out of the box, Mac Mini datang dengan macOS Sequoia, tapi dalam masa beberapa minit dia terus minta upgrade ke macOS Tahoe. Proses naik taraf pun lancar, tak perlu tekan apa-apa sangat. Sambil tunggu, saya layan TV, tahu-tahu dah siap. Memang pengalaman yang smooth, ringkas, dan tak pening kepala, tipikal Apple punya style.

Salah satu sebab saya jatuh hati dengan Mac Mini ni ialah saiz dia kecil gila. Kecil sampai rasa macam beli powerbank mahal. Letak atas meja pun orang tak perasan itu komputer, ingatkan kotak tisu premium. Walaupun saya ambik spec basic saja, tapi untuk kerja saya dah cukup laju. Lagi pun, saya memang jenis pemalas upgrade hardware besar-besar. Plan saya simple, nanti beli dock kasi tambah port sikit, lepas tu sambung external SSD bila storage dah nazak. Settle. Mac Mini ni ibarat kereta Kancil yang boleh boost turbo bila perlu. Kecil, comel, tapi boleh buat kerja.

Paling best pasal Mac Mini ni, dia bukan saja kecil, dia juga portable. Nampak gayanya akan selalu bawa balik dari ofis macam bawa bekal.  Masuk beg, zip, jalan. Tak payah fikir pasal bateri, tak payah risau screen crack, tak payah rasa berat macam bawa laptop. Sampai rumah, saya cucuk saja ke TV 50 inci, terus jadi ‘home cinema workstation’. Buat masa ni memang itu perancangan rasmi saya. Kerja ofis guna Mac Mini, balik rumah pun sambung di laptop. Tapi nampak gaya ni, silap-silap hari-hari saya bawa balik macam bawa laptop.

Masa saya tulis blog ini, saya baru je lagi guna Mac Mini, so tak nampak sangat apa kelemahan dia kecuali rasa kerap nak bawa balik rumah sebab comel. Cuma saya semak di internet, dan memang ada beberapa kelemahan yang orang lain telah bongkar. Boleh dipertimbangkan supaya anda lebih bersedia.

Pertama ialah tiada pilihan upgrade RAM/Storage selepas beli. Reviu di internet menyebut bahawa model Mac Mini M4 tidak membenarkan pengguna menukar RAM atau storan sendiri selepas pembelian. Ini bermaksud, bila anda beli dengan storage/ram “cukup untuk sekarang”, anda mungkin akan rasa sempit jika projek anda bertambah besar (contoh: banyak video 4K, banyak plugin heavy). Jadi walaupun sekarang “okay”, ada baiknya pertimbangkan masa depan supaya tak menyesal nanti.

Kedua, port sambungan legacy agak “terhad” / tak ada USB-A / kad SD. Ada orang favourite port USB-A dan slot kad SD, tapi Mac Mini M4 tiada atau sangat minimum. 

Jika anda ada banyak peranti lama (USB-A flash drive, kad SD kamera, peranti storan lama), anda mungkin perlu dongle atau hub tambahan, sedikit kerja ekstra dan kos tambahan. Saya mungkin perlukan dongle untuk sambungkan ke printer HP saya.

Ketiga, kurang tenaga untuk kerja pro keras seperti rendering heavy atau gaming AAAReviu di internet menunjukkan bahawa walaupun prestasi M4 sangat baik untuk banyak penggunaan, jika anda lakukan kerja sangat berat (contoh: 3D rendering besar, gaming AAA atau editing multi-stream 8K), akan ada hadnya. Setakat ini tugasan saya tidak melibatkan perkara-perkara heavy ini. Setakat sekarang saya cuma ber'workflow' ringan atau sederhana (office work, design ringan, media consumption) sahaja. Jika anda satu hari nanti naik level, mungkin anda akan rasa “kalau saya beli model Pro” atau “PC lain” mungkin lebih sesuai.

Kesimpulannya, Mac Mini M4 ni memang ‘kecil-kecil cili padi’. Harga berpatutan, prestasi padu, setup senang, dan fleksibel macam transformer versi comel. Setakat ni memang tiada benda pelik yang buat saya menyesal beli, kalau ada pun, mungkin cuma satu, saya takut nanti saya sendiri yang manja sangat dengan dia. Silap-silap tiap-tiap hari angkut balik rumah macam bawa lunch box. Tapi tak apa, janji kerja siap, hati puas, dan setup meja kekal cun.

Kadang-kadang dalam hidup, yang kecil, senyap dan tak banyak ragam tu lah yang paling banyak tolong kita, lebih setia daripada manusia yang suka buat drama.


No comments:

Post a Comment