Sejak akhir-akhir ini, saya mula menjadikan teh chamomile sebagai teman hampir setiap malam sebelum tidur. Pada mulanya, saya hanya ingin mencari sesuatu yang boleh menenangkan fikiran selepas seharian bekerja dan berurusan dengan pelbagai perkara. Tapi selepas beberapa malam mencubanya, saya mula rasa beza, tidur saya jadi lebih lena, badan terasa ringan, dan kepala tidak lagi serabut seperti dulu.
Bau bunganya yang lembut dan rasa teh yang ringan memang memberi kesan tenang, seolah-olah membantu saya “slow down” dan bersedia untuk rehat. Dari situ saya mula tertarik untuk tahu lebih banyak tentang teh chamomile ini. Rupa-rupanya, bukan sekadar minuman herba biasa. Ia mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat untuk kesihatan tubuh dan minda.
Teh chamomile berasal daripada bunga Matricaria chamomilla atau Chamaemelum nobile yang dikeringkan. Ia telah digunakan sejak zaman Mesir purba, Greek dan Rom sebagai rawatan semula jadi untuk pelbagai penyakit. Kini, teh ini terkenal sebagai minuman yang membantu tidur dan mengurangkan tekanan, tetapi manfaatnya sebenarnya jauh lebih banyak daripada itu.
Menurut laman web Medical News Today, terdapat beberapa manfaat teh ini iaitu:-
Menstabilkan Paras Gula dalam Darah - Beberapa kajian menunjukkan teh chamomile boleh membantu mengawal gula dalam darah, terutama bagi penghidap diabetes. Ia juga mungkin memperbaiki kesihatan hati dan profil lipid, tetapi tidak boleh menggantikan ubat yang disarankan doktor.
Mencegah Kehilangan Ketumpatan Tulang (Osteoporosis) - Kajian awal mendapati ekstrak chamomile mampu membantu melindungi tulang daripada kerapuhan, terutama pada wanita selepas menopaus. Ia berpotensi menjadi minuman sokongan semula jadi untuk kesihatan tulang.
Mengurangkan Keradangan dalam Tubuh - Kandungan anti-oksidan chamomile membantu melawan keradangan kronik, yang dikaitkan dengan penyakit seperti artritis, penyakit jantung dan alergi. Minum teh ini secara berkala boleh membantu badan lebih seimbang.
Mempunyai Ciri Anti-Kanser - Walaupun kajian masih awal, saintis mendapati beberapa bahan aktif dalam chamomile (seperti apigenin) berpotensi membantu menghalang pertumbuhan sel kanser dalam ujian makmal. Teh ini bukan rawatan utama, tapi boleh menjadi amalan gaya hidup sihat.
Meningkatkan Kualiti Tidur & Menenangkan Minda - Inilah sebab utama ramai orang minum teh chamomile sebelum tidur. Ia membantu mengurangkan kegelisahan dan tekanan, serta memberi rasa tenang. Kajian juga menunjukkan ia membantu meningkatkan kualiti tidur bagi mereka yang mengalami insomnia ringan.
Menyokong Sistem Imun & Melegakan Selesema - Apabila anda tidak sihat atau rasa perit tekak, secawan teh chamomile panas boleh membantu. Ia melegakan saluran pernafasan, menenangkan tekak dan mungkin menyokong sistem imun secara semula jadi.
Membantu Menjaga Kesihatan Kulit - Selain diminum, chamomile juga digunakan dalam bentuk krim, losyen dan sabun kerana sifat anti-radang dan antibakteria. Ia membantu menenangkan kulit sensitif, jerawat ringan dan kemerahan.
Jujur saya katakan, sejak saya amalkan teh chamomile ni, memang ada malam yang tidur saya terasa lebih nyenyak dan tenang. Kadang-kadang saya sendiri terkejut, baru beberapa minit baring, mata dah rasa berat, dan saya terus hanyut dalam lena yang berkualiti. Esoknya bangun pun badan rasa segar, kepala ringan, tak pening macam selalu.
Tapi tak semua malam jadi begitu. Ada juga masa-masanya teh chamomile tak beri sebarang kesan, terutama bila saya tersilap langkah, contohnya bila saya tidur siang terlalu lama atau minum kopi lewat petang. Masa tu, walaupun saya minum teh chamomile panas sambil pasang lagu tenang, mata tetap segar, dan otak tak mahu “off”. Saya mula sedar, chamomile bukan ubat tidur ajaib, tapi lebih kepada pembantu yang bekerja bila tubuh dan minda kita pun bersedia untuk berehat. Lagi-lagi sebelum nak tidur, lama sangat melihat iPad sambil scroll social media atau Shopee, memang lewat juga tidurnya. Cuma saya perasan, mata saya lebih cepat mengantuk walaupun tengah layan iPad.
Saya brew tea brand Heath and Heather yang sememangnya dikatakan organic. Dan semestinya saya brew that tea without sugar, baru ada rasa kenikmatan rasa teh sebenar. Jadi kesimpulannya, teh chamomile ni memang bukan ubat tidur segera, tapi lebih kepada rakan baik sebelum tidur , yang tak banyak cakap, tapi pandai menenangkan. Cuma kalau saya dah terlebih tidur siang atau minum kopi pukul 6 petang, jangan salahkan chamomile kalau mata masih segar macam spotlight.
Satu lagi yang saya belajar, teh tanpa gula jauh lebih baik. Bukan saja untuk kesihatan, tapi juga untuk rasa asli bunga chamomile tu sendiri. Bila tak letak gula, kita boleh rasa lembut dan wangi semula jadinya lebih tulen, lebih menenangkan. Lagipun, apa gunanya minum teh herba konon nak sihat, kalau akhirnya tambah satu sudu gula besar.
Sekarang, setiap kali saya hirup teh chamomile panas atau suam tanpa gula sebelum tidur, saya anggap ia bukan sekadar minuman tetapi satu lifestyle untuk jaga diri sendiri, biar esok saya bangun dengan tubuh yang segar dan hati yang lebih tenang.
No comments:
Post a Comment