Saturday, May 24, 2025

Laptop Briefcase : Tomtoc A14 Defender

 



Zaman sekarang, laptop dah jadi sebahagian penting dalam hidup kita, sama ada untuk kerja, belajar, nak main game, internet browsing atau nak melayang streaming services macam Netflix. Jadi, saya merasakan bahawa penting untuk jaga dan bawa laptop dengan cara yang selamat dan mudah. Antara pilihan yang biasa orang guna ialah beg laptop dan sleeve laptop.

Beg laptop selalunya ada ruang yang besar dan beberapa poket tambahan, jadi senang nak simpan charger, mouse, buku, atau dokumen sekali. Reka bentuknya pun ada macam-macam design, ada yang macam beg galas, ada yang macam beg bimbit. Memang sesuai untuk yang selalu bergerak ke tempat kerja atau kelas. Saya ada dua beg laptop, satu Targus yang akan saya bawa kalau nak naik flight kerana sizenya lebih besar, dan satu lagi brand Thule yang lebih kecil. 

Sleeve laptop pula lebih ringkas dan ringan. Ia macam sarung pelindung untuk laptop atau tablet. Ia sesuai kalau nak bawa laptop masuk dalam beg lain atau hanya nak pegang dengan tangan. Ringkas, tapi tetap bagi perlindungan asas dari calar dan hentakan ringan. Kadangkala kalau saya nak bawa laptop saya dari bilik saya ke bilik mesyuarat atau lokasi lain di ofis saya, sleeve lebih senang berbanding nak punggah beg Targus yang bersaiz agak besar.



Pendek kata, dua-dua ada kelebihan masing-masing. Pilih je ikut gaya dan keperluan harian kita.

Baru-baru ini saya membeli sleeve laptop jenama Tomtoc. Sebenarnya bentuk sleeve ini dah macam beg laptop yang lebih kecil dan ringkas, siap ada pemegang.Kalau kita jenis yang ulang-alik dari kereta ke ofis, atau jenis keluar bilik ofis untuk ke ruang ofis yang lain, lepas tu singgah meeting sana sini, Tomtoc A14 Defender ni memang padu dan terbaik. Reka bentuk dia simple tapi smart, ringan pulak tu. Memang sangat sesuai dan ngam untuk kita yang suka travel light tapi tetap kena bawa aksesori banyak.



Poket depan dia? Besar gila untuk sumbat charger, kabel, mouse, buku nota, semua boleh masuk. Nak bawa barang untuk kerja seharian pun tak ada masalah. Senang, tak serabut, terus ready untuk hari yang sibuk. Saya sendiri letak charger MBA saya yang besar (memang beli yang besar sebab nak cepat charge), 2 cable iaitu satu charging cable dan satu lagi External SSD cable, satu external SSD yang kecil dan comel, bluetooth mouse Targus, external port untuk hdmi dan juga external port untuk cable LAN andai kawasan tempat saya duduk itu tiada wireless. 



Kesimpulannya, walaupun Tomtoc A14 Defender ni harganya agak ‘keras’ sikit berbanding yang biasa kat pasaran, tapi serius, memang berbaloi. Kualiti build dia solid, design pun nampak premium, dan yang paling penting, laptop korang dilindungi dengan baik tanpa kompromi gaya atau fungsi. Nak kata beg bukan beg, nak kata sleeve tak sangat macam sangat. Ia lebih seperti briefcase mini. 





Kalau anda jenis yang hargai barang berkualiti dan nak ianya tahan lama, inilah benda yang patut korang grab. Jangan tunggu laptop calar atau jatuh baru nak menyesal. Kadang-kadang, bayar lebih sikit sekarang, jimat banyak nanti.

Trust me, lepas guna sekali, mesti rasa tak nak tukar sleeve lain dah.

* Posting ini tidak ditaja oleh Tomtoc malah saya beli tanpa sebarang diskaun, tapi kalau pandai cari online, dapat harga diskaun. Saya cuma kongsi pengalaman.

Wednesday, May 07, 2025

Mengurus Rekod Di Dalam Perniagaan

 



Pengurusan rekod yang sistematik dan berkesan merupakan elemen penting dalam sesebuah perniagaan kerana ia bukan sahaja memastikan kelancaran operasi harian, malah membantu dalam membuat keputusan yang tepat, memenuhi keperluan undang-undang, serta meningkatkan kecekapan dan integriti organisasi secara keseluruhan.

Baru-baru ini saya berkesempatan menghadiri satu perjumpaan bersama pihak bank yang berhasrat menawarkan pinjaman kepada pelajar universiti yang menjalankan perniagaan. Dalam perbincangan tersebut, wakil bank menyatakan kebimbangan mereka terhadap salah satu kelemahan ketara dalam kalangan pelajar usahawan, iaitu kegagalan menyimpan rekod perniagaan dengan baik. Menurut mereka, apabila diminta untuk mengemukakan laporan perniagaan sebagai sebahagian daripada proses permohonan pinjaman, ramai pelajar tidak dapat menyediakan laporan yang lengkap dan teratur. 

Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan pihak bank untuk menilai tahap keupayaan perniagaan pelajar, malah menimbulkan keraguan terhadap tahap profesionalisme dan kesediaan mereka dalam menguruskan perniagaan secara serius. Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya pengurusan rekod yang baik dalam memastikan kelangsungan dan kemajuan sesebuah perniagaan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan peluang mendapatkan sokongan kewangan daripada institusi kewangan.

Dalam pertemuan tersebut, saya mula memikirkan tentang keperluan untuk memperkenalkan satu pendekatan yang lebih sistematik dalam pengurusan rekod perniagaan kepada para pelajar yang terlibat dalam dunia keusahawanan. Saya menyedari bahawa ramai di kalangan mereka memiliki semangat dan idea yang hebat, namun kurang pengetahuan serta amalan dalam aspek penting seperti merekod jualan, perbelanjaan, untung rugi, dan aliran tunai. Justeru, saya memikirkan perlu ada satu inisiatif atau modul yang dapat membantu pelajar memahami dan mengamalkan kaedah pengurusan rekod yang efektif, mudah dilaksanakan, serta relevan dengan skala perniagaan mereka. Pendekatan ini bukan sahaja dapat meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan pelajar usahawan, malah dapat membuka lebih banyak peluang bagi mereka untuk mendapatkan pembiayaan dan sokongan daripada institusi kewangan, kerana mereka mampu membuktikan prestasi perniagaan melalui rekod yang lengkap dan teratur. Saya percaya, langkah ini mampu menjadi titik tolak kepada budaya keusahawanan yang lebih mantap dalam kalangan pelajar universiti.

Sebagai pelajar yang menceburi dunia perniagaan, jangan biarkan semangat dan usaha keras anda tenggelam hanya kerana terlepas pandang perkara asas seperti pengurusan rekod. Ingat, rekod yang baik bukan sahaja mencerminkan kecekapan anda sebagai usahawan, malah menjadi kunci untuk membuka lebih banyak peluang, termasuk mendapatkan sokongan kewangan daripada pihak luar. Jadi, mulai hari ini, ambil langkah kecil untuk membina tabiat mencatat dan menyimpan setiap urusan perniagaan anda. Percayalah, sedikit usaha hari ini boleh membawa perubahan besar pada masa hadapan. Usahawan bijak bukan hanya tahu menjual, tetapi juga tahu mengurus.