Friday, February 13, 2015

Aneh Tapi Benar


Kisah saya kutip dari coretan blog lama saya. Berlaku pada tahun 2013, sekitar bulan Mac, tarikh sudah luput dari memori.

Sebelum saya terlupa insiden ini biarlah saya coretkan agar menjadi salah satu pengalaman dalam hidup saya.
Ia terjadi beberapa minggu lepas. Saya ke satu kawasan taman perumahan untuk berjumpa dengan seorang rakan. Jalan ke taman perumahan rakan saya ini gelap dan panjang merentasi hutan namun terdapat beberapa simpang berlampu isyarat dan sebelum jam 12 malam jalan ini memang agak sibuk.
Dalam perjalanan pulang ke rumah melalui jalan gelap ini, kira-kira 500 meter dihadapan saya akan menempuh lampu isyarat simpang tiga di mana di kawasan ini agak terang dengan lampu jalan. Saya melihat beberapa buah kenderaan dari arah bertentangan memberikan lampu tinggi, tanda ada sesuatu. Pada pemikiran saya, mungkin ada sekatan jalan raya di hadapan. Apabila saya sampai di lampu isyarat, nampak sekumpulan manusia sedang berkerumun dan seorang lelaki terbaring. Rupanya ada kemalangan berlaku. Saya lihat jam tangan, 1o,45 malam.
Saya berhenti di tepi jalan, bertentangan dengan lokasi kemalangan. Ketika itu semuanya berada di seberang jalan mengerumuni lelaki terbabit yang sedang terbaring. Saya hanya berdiri di seberang jalan kerana risau jika ada kenderaan lain yang terbabas, maklumlah kawasan sekitar gelap dan hanya ada lampu jalan betul-betul di lokasi kemalangan.
Selepas saya berhenti, ada sepasang kekasih (saya duga) juga berhenti di tempat saya dan juga seorang lelaki india dalam lingkungan umur 50-an. Saya melihat mangsa kemalangan dalam keadaan nazak dengan darah begitu banyak mengalir dari kepalanya. Rupanya sebuah van telah merempuh motosikal mangsa. Di belakang saya adalah hutan belantara. Sesekali terdengar burung bersahutan. Jam 11.30 ambulans sampai dan membawa mangsa ke hospital.
Kini, hanya tinggal darah bertakung di lokasi. Ketika itu masih  ramai orang lagi di kawasan lokasi namun hanya kami berempat sahaja yang berada di seberang jalan, masih berbual sesama kami berkenaan kejadian kemalangan tersebut. Masih kedengaran bunyi burung dari hutan di belakang saya. Burung apa saya tak pasti tapi saya sering mendengar bunyi burung tersebut di kampung pada malam hari.
Saya nampak seorang pemuda dari kumpulan seberang jalan mengambil baldi besar berisi air. Darah di lokasi dibersihkan dengan dituang air. Tiga baldi penuh diperlukan untuk menghilangkan darah. Ketika air dari baldi pertama dicurah atas darah, bunyi burung di hutan belakang saya semakin hebat dan semakin banyak. Kami berempat di seberang jalan berpandangan. Lelaki India tadi melihat saya sambil memberikan isyarat kurang enak dengan situasi di hutan belakang kami. Begitu juga pasangan kekasih. Anehnya, habis sahaja baldi ketiga dicurah airnya bunyi burung-burung tersebut lenyap.
Kami berempat kemudian beredar. Dan saya seperti biasa terpaksa ke kedai mamak supaya tiada apa yang mengikut saya pulang kerana saya punya dua orang anak yang masih kecil. Ditakuti mereka diganggu.
Aneh tapi benar

No comments:

Post a comment