Wednesday, November 26, 2025

Pengalaman Mini Bersama Mac Mini

 



Walaupun sekarang laptop dah nipis, ringan dan bateri tahan lama, desktop masih belum ‘pupus’. Sebenarnya ada sebab kenapa ramai masih setia dengan desktop. Ia lebih stabil, lebih kuat, tak cepat panas, dan kita boleh biarkan ia berjalan sepanjang hari tanpa risau bateri atau throttling. Untuk orang yang nak workstation tetap di rumah atau pejabat, desktop bagi rasa yang lebih solid. Dan kalau nak prestasi tinggi pada harga lebih rendah, desktop biasanya lebih berbaloi. Pendek kata, laptop untuk bergerak, desktop untuk kerja betul-betul.

Saya sendiri sebenarnya lebih selesa guna desktop di ofis. Sebab paling simple ialah saya malas nak angkut laptop ke sana sini. Bila balik dari pejabat, kadang-kadang tangan penuh dengan beg, botol air, barang kerja,  tambah pula laptop, memang rasa leceh. Lagi satu, kerja saya pun bukan setiap hari duduk dalam ofis. Ada masa saya perlu terus ke luar, jumpa orang, atau urusan tugasan lain, dan dari situ saya biasanya terus balik rumah tanpa singgah ofis. Jadi kalau guna desktop, tak perlu risau nak patah balik ambil laptop bila tiba-tiba kena kerja luar. Semua kerja yang perlukan komputer saya buat di ofis, dan bila selesai, saya balik dengan tangan yang lebih ringan.

Adakala, balik ofis akan menyinggah sana-sini. Kalau bawa laptop, terpaksa lah usung laptop sekali. Saya tak berani tinggal dalam kereta, takut kereta kena pecah, laptop kena rembat. Banyak data dalam laptop tu. 

Saya pilih Mac Mini untuk dijadikan desktop sebab dia sebenarnya paling murah dalam keluarga Apple. Kalau nak beli iMac, harganya memang jauh lagi tinggi. Boleh rabak poket. Beli yang ni pun bayar 0% instalment. Nasib baik Bank saya ada kemudahan tersebut. Bulan-bulan tak tinggi mana.

Dengan Mac Mini, saya dapat prestasi cip M-series yang sama laju, tapi pada harga yang lebih masuk akal. Lagi pula, saya memang dah ada dua monitor lama yang masih elok, satu Samsung, satu Acer. Jadi tak payah bazir duit beli monitor baru. Keyboard Bluetooth Logitech pun sudah tersedia, tinggal sambung sahaja. Paling best, saya memang dah lama duduk dalam “ecosystem” Apple, dari telefon, tablet hinggalah ke laptop. Airpod pun ada (yang ni dapat free masa beli Macbook). Bila tambah Mac Mini sebagai desktop tetap, semuanya sync dengan mudah. Airdrop, Notes, iCloud, Safari passwords… semua berjalan lancar tanpa perlu pening kepala. Pendek kata, saya cuma tambah satu ‘kotak kecil’ tapi workflow saya terus jadi lebih smooth.

Pengalaman hari pertama beli Mac Mini memang menyenangkan. Buka kotak, sambung kabel, tekan power, itu saja. Setup dia sangat mudah, rasa macam tak ada benda pun yang perlu fikir panjang. Bluetooth keyboard dan mouse terus detect, terus boleh login guna Apple ID. Lepas siap setup, saya terus buat kemas kini sistem. Out of the box, Mac Mini datang dengan macOS Sequoia, tapi dalam masa beberapa minit dia terus minta upgrade ke macOS Tahoe. Proses naik taraf pun lancar, tak perlu tekan apa-apa sangat. Sambil tunggu, saya layan TV, tahu-tahu dah siap. Memang pengalaman yang smooth, ringkas, dan tak pening kepala, tipikal Apple punya style.

Salah satu sebab saya jatuh hati dengan Mac Mini ni ialah saiz dia kecil gila. Kecil sampai rasa macam beli powerbank mahal. Letak atas meja pun orang tak perasan itu komputer, ingatkan kotak tisu premium. Walaupun saya ambik spec basic saja, tapi untuk kerja saya dah cukup laju. Lagi pun, saya memang jenis pemalas upgrade hardware besar-besar. Plan saya simple, nanti beli dock kasi tambah port sikit, lepas tu sambung external SSD bila storage dah nazak. Settle. Mac Mini ni ibarat kereta Kancil yang boleh boost turbo bila perlu. Kecil, comel, tapi boleh buat kerja.

Paling best pasal Mac Mini ni, dia bukan saja kecil, dia juga portable. Nampak gayanya akan selalu bawa balik dari ofis macam bawa bekal.  Masuk beg, zip, jalan. Tak payah fikir pasal bateri, tak payah risau screen crack, tak payah rasa berat macam bawa laptop. Sampai rumah, saya cucuk saja ke TV 50 inci, terus jadi ‘home cinema workstation’. Buat masa ni memang itu perancangan rasmi saya. Kerja ofis guna Mac Mini, balik rumah pun sambung di laptop. Tapi nampak gaya ni, silap-silap hari-hari saya bawa balik macam bawa laptop.

Masa saya tulis blog ini, saya baru je lagi guna Mac Mini, so tak nampak sangat apa kelemahan dia kecuali rasa kerap nak bawa balik rumah sebab comel. Cuma saya semak di internet, dan memang ada beberapa kelemahan yang orang lain telah bongkar. Boleh dipertimbangkan supaya anda lebih bersedia.

Pertama ialah tiada pilihan upgrade RAM/Storage selepas beli. Reviu di internet menyebut bahawa model Mac Mini M4 tidak membenarkan pengguna menukar RAM atau storan sendiri selepas pembelian. Ini bermaksud, bila anda beli dengan storage/ram “cukup untuk sekarang”, anda mungkin akan rasa sempit jika projek anda bertambah besar (contoh: banyak video 4K, banyak plugin heavy). Jadi walaupun sekarang “okay”, ada baiknya pertimbangkan masa depan supaya tak menyesal nanti.

Kedua, port sambungan legacy agak “terhad” / tak ada USB-A / kad SD. Ada orang favourite port USB-A dan slot kad SD, tapi Mac Mini M4 tiada atau sangat minimum. 

Jika anda ada banyak peranti lama (USB-A flash drive, kad SD kamera, peranti storan lama), anda mungkin perlu dongle atau hub tambahan, sedikit kerja ekstra dan kos tambahan. Saya mungkin perlukan dongle untuk sambungkan ke printer HP saya.

Ketiga, kurang tenaga untuk kerja pro keras seperti rendering heavy atau gaming AAAReviu di internet menunjukkan bahawa walaupun prestasi M4 sangat baik untuk banyak penggunaan, jika anda lakukan kerja sangat berat (contoh: 3D rendering besar, gaming AAA atau editing multi-stream 8K), akan ada hadnya. Setakat ini tugasan saya tidak melibatkan perkara-perkara heavy ini. Setakat sekarang saya cuma ber'workflow' ringan atau sederhana (office work, design ringan, media consumption) sahaja. Jika anda satu hari nanti naik level, mungkin anda akan rasa “kalau saya beli model Pro” atau “PC lain” mungkin lebih sesuai.

Kesimpulannya, Mac Mini M4 ni memang ‘kecil-kecil cili padi’. Harga berpatutan, prestasi padu, setup senang, dan fleksibel macam transformer versi comel. Setakat ni memang tiada benda pelik yang buat saya menyesal beli, kalau ada pun, mungkin cuma satu, saya takut nanti saya sendiri yang manja sangat dengan dia. Silap-silap tiap-tiap hari angkut balik rumah macam bawa lunch box. Tapi tak apa, janji kerja siap, hati puas, dan setup meja kekal cun.

Kadang-kadang dalam hidup, yang kecil, senyap dan tak banyak ragam tu lah yang paling banyak tolong kita, lebih setia daripada manusia yang suka buat drama.


Sunday, November 16, 2025

Sedikit Pengalaman Bersama Garmin Forerunner 55 - Jam Kecil, Fungsi Banyak

 




Dalam dunia yang serba sibuk hari ini, ramai antara kita cuba seimbangkan kerja, keluarga, dan gaya hidup yang lebih sihat. Kadang-kadang, kita perlukan satu 'device' yang boleh tolong kita pantau apa yang berlaku dalam badan, dari langkah harian sampai ke degupan jantung ketika jogging.

Di sinilah smartwatch memainkan peranan. Ia bukan sekadar jam untuk tengok masa, tetapi sudah menjadi alat kesihatan peribadi yang sentiasa berada di pergelangan tangan. Jam terbabit mengumpul data yang mungkin kita tak perasan. Contohnya kadar denyutan jantung, tahap stres, tidur, langkah, kalori, dan macam-macam lagi.

Dan salah satu model yang paling mesra pengguna, ringan, dan sesuai untuk newbies hingga ke pengguna aktif ialah Garmin Forerunner 55. Jam ini direka untuk mereka yang nak mula aktif, nak faham tubuh sendiri, atau nak kekalkan gaya hidup sihat, tanpa rasa pening dengan features yang terlalu rumit.

Forerunner 55 dalah sebuah smartwatch atau running watch yang tidak menggunakan AMOLED skrin seperti sesetengah jam pintar premium. Forerunner 55 memenuhi definisi smartwatch dimana ia punya GPS terbina, mengesan kesihatan dan aktiviti sukan, dan boleh disambung ke telefon pintar. Walaupun skrin tiada ciri “sentuhan penuh” atau paparan AMOLED yang sangat berwarna-warni, ia masih smartwatch (atau lebih tepat “running smartwatch”) sebab fokusnya pada aktiviti sukan & pemantauan kesihatan.

Spesifikasi rasmi menyebut bahawa Forerunner 55 menggunakan paparan “sunlight-visible, transflective memory-in-pixel (MIP)”. Transflective MIP mempunyai kelebihan dimana ia sangat baik dibaca di bawah sinar matahari terang. MIP juga menggunakan kuasa bateri lebih rendah (bagus untuk kegunaan panjang).

AMOLED biasanya lebih mewah, skrin berwarna terang, kontras tinggi. Namun ia biasanya makan bateri lebih cepat.Dalam ulasan, ada disebut bahawa skrin Forerunner 55 agak klasik dan bilangan piksel tidak sebanyak model premium, tetapi ia masih mudah dibaca dan cukup untuk fungsi sukan.  

Dalam mod “Smartwatch Mode” (penggunaan biasa: langkah, kesihatan, pemberitahuan) Forerunner 55 mampu bertahan hingga 2 minggu. Dalam mod GPS mode seperti menggunakan GPS secara aktif: larian, trek) ia boleh bertahan kira-kira 20 jam. Jadi dalam konteks aktiviti harian dan sukan ringan, kita boleh pakai hari-hari tanpa risau mengecas setiap malam.

Sebagai perbandingan: Jam pintar “mainstream” seperti Apple dan Samsung. Apple menyatakan bahawa model Apple Watch standard mengekalkan bateri kira-kira 18 jam penggunaan biasa sehari. Untuk Samsung, contohnya satu ulasan menyebut model Galaxy Watch 7 (yang guna skrin AMOLED) memberi hingga 40 jam di spesifikasi, tetapi dalam ujian sebenar dengan banyak fungsi aktif, pengguna perlu mengecas hampir setiap malam.  

Kesimpulannya: jam pintar yang bertumpu kepada banyak fungsi (apps, skrin penuh warna, sentuhan, pengeluaran data besar) biasanya mesti dicas setiap 1-2 hari.

Selepas seminggu isteri saya pakai Garmin Forerunner 55, ada beberapa benda yang memang ketara berbeza berbanding smartwatch Samsung dia sebelum ini. Pertama sekali, jam ni memang ringan, sampai kadang-kadang dia lupa pun yang dia tengah pakai jam. Untuk orang yang banyak bergerak, buat kerja rumah, urus anak dan nak jogging petang, rasa ringan ini memang sangat penting.

Satu lagi yang dia suka: tak perlu kerap cas. Kalau sebelum ini dengan Samsung, hampir setiap hari kena cucuk charger. Tapi Forerunner 55 ni boleh tahan lama tanpa fikir pasal bateri. Pakai pagi, malam, tidur, esok pun jam masih hidup. Untuk orang yang sibuk, ini satu kelegaan besar.

Dari segi sukan pula, isteri saya nak satu jam yang boleh capture data penting masa jogging simple tapi tepat. Forerunner terus bagi apa yang dia perlukan iaitu Heart rate, Distance larian, Tempoh masa (duration), Pace setiap kilometer. 

Tak ada fancy apps atau skrin berwarna terang. Betul, skrin Forerunner tak secantik Samsung. Tak ada AMOLED yang bersinar. Tapi bila berlari, yang penting bukan cantik  yang penting fungsi berjalan dengan baik, data jelas, dan mudah baca di bawah matahari.

Bila saya compare dengan Garmin Instinct saya sendiri, memang data pada Instinct lebih banyak dan lebih detail. Tapi untuk keperluan harian isteri saya, Forerunner 55 memang sudah lebih dari mencukupi. Yang paling best, kami sama-sama perasan satu benda. GPS Forerunner sangat accurate. Track yang dia lari memang betul-betul ikut jalan yang dia lalu. Tak lari jauh, tak bengkok pelik. Nak tengok balik route dalam apps Garmin Connect pun memang puas hati sebab map dia tepat.

Pendek kata, walaupun Forerunner 55 ni simple, ringan dan tak glamor dari segi skrin, ia sangat praktikal. Semua data penting ada, bateri tahan lama, dan GPS tepat. Untuk sesiapa yang nak mulakan gaya hidup lebih aktif tanpa pening kepala, ini memang jam yang sesuai.

Jika anda aktif dalam sukan, suka larian atau aktiviti HIIT dan nak satu jam yang fokus pada aktiviti dan kesihatan serta tak nak risau mengecas selalu, Forerunner 55 adalah pilihan yang bagus sebab baterinya tahan lama. Jika anda lebih ke arah full smartwatch (apps, skrin sentuh besar, warna penuh) dan penggunaan sehari-hari biasa (tidak semata untuk sukan), maka pilihan seperti Apple atau Samsung memberi fleksibiliti lebih, tetapi dengan kompromi: anda akan mengecas lebih kerap.

Walaupun Garmin Forerunner 55 ni memang best untuk kegunaan harian dan aktiviti larian, ada juga beberapa kekurangan kecil. Skrinnya jenis MIP, jadi paparan taklah secantik AMOLED macam Samsung atau Apple Watch, warna pun lebih sederhana. Selain itu, saiz skrin yang kecil buatkan maklumat agak limited kalau nak tengok banyak data serentak. Fungsi pun tak selengkap model Garmin yang lebih mahal, contohnya tiada altimeter atau peta laluan terperinci. Tapi jujur cakap, untuk pengguna biasa yang nak lari, rekod pace, tengok heart rate dan guna GPS yang tepat, kekurangan ni sebenarnya tak kacau pun. Forerunner 55 tetap ringan, tahan lama, dan cukup power untuk kebanyakan orang.

Saya beli Forerunner 55 untuk isteri sebab saya puas hati guna jam Garmin Instinct saya. Lagi pula sekarang harga dia cuma tiga angka saja, rugi kalau tak sambar. Walaupun model ni dah agak lama dimana ianya telah dilancarkan pada Jun 2021, tapi bagi saya, ia masih sangat berbaloi. Jam ni ringan, tak payah cas selalu, dan untuk jogging semua data penting ada: heart rate, jarak, tempoh larian dan pace. Skrin mungkin tak secantik Samsung yang dia pakai dulu, tapi fungsi semua cukup. GPS pun memang tepat bila mapping route. Pendek kata, untuk harga dan fungsi, Forerunner 55 memang tak mengecewakan.

Akhir kata, tak kisahlah kita pakai jam mahal ke, jam bajet ke, yang penting kita tak pakai jam orang lain.


Wednesday, November 05, 2025

Kebaikan Slow Jog

 




Ramai orang fikir jogging kena laju. Kena kejar pace 6, pace 5, kena nampak “fit”. Tapi realitinya, untuk kebanyakan kita yang nak sihat, kurus sikit, jaga jantung, dan tak nak cedera, slow jog sebenarnya jauh lebih baik, lagi-lagi untuk yang dah berumur macam saya ni.

Saya sendiri dulu pun rasa kalau tak laju, tak berpeluh kuat, tak dikira bersenam. Tapi bila dah mula slow jog beberapa minggu, saya baru nampak perbezaannya. Bukan saja pada badan, tapi pada 'feel' dalam tubuh badan.

Apa Sebenarnya Slow Jog? Slow jog bukan berjalan, bukan berlari laju. Dia ada di tengah-tengah.

Cara paling senang nak tau:

  • Boleh bernafas melalui hidung
  • Boleh bercakap ayat pendek tanpa tercungap
  • Heart rate tak tinggi sangat (80–130 bpm) ikut individu

Kalau dah rasa rasa nak 'terkorban,, itu bukan slow jog, itu sprint. Lain orang lain kelajuannya. Ada yang rasa slow jog pada dia, tapi pada diri saya ianya dah tahap sprint. Apa-apa pun kena tanya kemampuan badan sendiri. Kalau macam saya, kaki lebih cepat lenguh dari jantung. Ada orang pula, jantung 'lenguh' dahulu dari kaki.  

Kenapa Slow Jog Lebih Bagus Dari Lari Laju?

Tak Menyakitkan Lutut. Bila kita berlari laju, hentakan kaki ke tanah sangat kuat. Lama-lama lutut rasa “berusang”. Slow jog pula lembut dan relax, jadi ianya lebih friendly untuk sendi.

Lemak Terbakar Lebih Konsisten. Bila slow, badan guna lemak sebagai tenaga utama. Kalau laju sangat, badan guna gula / glycogen, cepat penat, cepat lapar. Kat mana saya baca yang ini, lupa dah. Tapi ini berdasarkan pembacaan saya lah, bukan rekaan. Kalau salah tolong betulkan. Tapi based on game badminton saya yang memang sekali main boleh terbakar 400-700 kcal, lepas main memang lapar lain macam. Dah lah main malam, nak makan pun serba salah. 

Sebab itu slow jog sesuai untuk:

  • Nak kurus
  • Nak kekalkan berat
  • Nak jaga selera makan


Tak Rasa Dera Diri, Jadi Senang Nak Konsisten. Ini paling penting. Senaman yang bagus bukan yang paling hardcore, tapi yang kita boleh buat hari-hari. Slow jog yang sedap ialah bangun pagi, slow jog 20-30 minit, dah selesai, rasa tak penat dan mood jadi baik. Tapi kalau tak sempat, buat petang lepas balik kerja pun okay. Malam memang cepat je menguap. Tidur pun mimpi slow jog. 

Slow Jog sudah semestinya bagus untuk jantung. Heart rate berada dalam zon aerobic yang sihat. Ini boleh membantu:

  • Kurangkan tekanan darah
  • Kuatkan jantung perlahan-lahan
  • Buat badan rasa ringan

Kawan-kawan yang kerap slow jog beritahu saya, kesan-kesan slow jog ialah 

  • Tidur lebih nyenyak
  • Badan kurang “bloated” / kembung
  • Mood time pagi jauh lebih stabil
  • Nafas tak cepat semput bila naik tangga
  • Kepala rasa lebih “clear” masa kerja

Setakat ini, bagi orang yang baru beberapa minggu konsisten slow jog (tapi bukan hari-hari sebab saya tuntutan tugas), memang rasa tidur lebih nyenyak selepas slow jog, badan kurang bloated dan nafas tak cepat semput bila naik tangga (yang ini mungkin dah lama dan disebabkan konsisten main badminton secara mingguan). Yang paling best, tak rasa stress nak kejar prestasi larian.

Macam Mana Nak Mula Slow Jog? Secara ringkasnya, kita boleh ikut step dibawah.

  • Mulakan 20–30 minit sekali sesi
  • Jangan kejar pace. Fokus rasa.
  • Kalau penat, kita jalan, lepas tu sambung slow jog balik. Macam saya, kalau penat saya jalan cuma jalan saya masih hampir ikut pace slow jog,
  • Buat 3–5 kali seminggu.

Kalau ada smartwatch (Garmin, Samsung, Amazfit, Apple Watch dan yang seangkatan dengannya), pastikan heart rate bawah ± 130 bpm. Itu dah cukup bagus. Biasa puratan heart rate saya sekitar 120 bpm dan maksimum cecah 150-155 bpm. Setakat ni pace masih 11, sebelum ni 13, turun 12. Tapi saya tak expect lah nak capai pace 7-8, bukan nak masuk tournament. Umur macam sekarang ni pun tak sesuai dah. Umur pakcik-pakcik.

Slow jog ini bukan pasal siapa paling laju. Ini pasal menjaga diri, jaga jantung, dan rasa hidup lebih ringan. Kadang-kadang benda yang perlahan itu lebih memberi makna berbanding yang kita kejar terlalu laju. Perlahan pun tetap ke depan. Yang penting, kita gerak. 


Saturday, November 01, 2025

AI dalam Kehidupan : Kawan atau Cabaran Baharu?

 



Sejak kebelakangan ini, saya mendapati bahawa  semakin ramai menggunakan pelbagai alat kecerdasan buatan (AI tools) dalam kerja harian mereka. Ada yang guna untuk menulis, menganalisis data, mengurus dokumen, atau sekadar mencari idea baharu. Dahulu, saya melihat AI sebagai sesuatu yang jauh dan rumit, tetapi kini ia juga telah menjadi sebahagian daripada rutin saya, seperti pembantu yang sentiasa bersedia berkhidmat bila-bila masa sahaja.

AI bukan lagi sekadar teknologi masa depan, ia sudah menjadi realiti yang memudahkan cara kita bekerja, berfikir dan berkomunikasi. Dengan adanya aplikasi seperti ChatGPT, Grammarly, Canva AI, Notion AI, Copilot, Gemini dan banyak lagi,  kerja yang dahulu mengambil masa berjam-jam kini boleh disiapkan lebih mudah. Namun, kita perlu sedar bahawa penggunaan AI memerlukan keseimbangan antara kemudahan dan tanggungjawab, agar ia memberi manfaat sepenuhnya tanpa menjejaskan keaslian dan etika kerja kita.

Semalam, saya sempat mendengar ucapan keynote Asean Youth Entrepreneur Forum (AYEF 2025) oleh Encik Jay, CE BSN. Saya yang ketika itu sedang bertugas di AYEF 2025 ada menangkap sedikit ucapan Encik Jay yang mengatakan bahawa perlunya penggunaan AI secara ethical. Apa yang saya faham ialah ianya boleh membantu menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti, tetapi ia juga boleh disalahgunakan jika kita tidak berhati-hati. Sebagai pengguna, kita perlu memastikan setiap hasil kerja yang dibantu AI masih mencerminkan pemikiran dan nilai sebenar kita, bukan semata-mata hasil mesin. Ini termasuk memberi kredit kepada sumber asal, tidak meniru kandungan tanpa semakan, serta menilai ketepatan maklumat yang dijana oleh AI. Bagi saya, menggunakan AI secara beretika bermaksud menggabungkan kemudahan teknologi dengan tanggungjawab moral, agar hasil kerja kita kekal tulen, berkualiti dan berintegriti.

Bercakap tentang penggunaan AI ini, saya tertarik dengan satu kajian yang dijalankan oleh oleh Sulaimon Adewale (2025) dan diterbitkan dalam The International Journal of Information and Learning Technology bertajuk Exploring ChatGPT Usage Amongst Female Academics and Researchers in Academia.

Sesuai dengan tajuk kajian yang menggunakan kaedah temubual ini, ia mendedahkan bagaimana pensyarah dan penyelidik wanita di Afrika Selatan menggunakan ChatGPT untuk membantu kerja akademik mereka.

Daripada 20 responden yang terdiri daripada pensyarah kanan, felo pascasiswazah dan pelajar PhD, kebanyakan mereka mengakui bahawa ChatGPT berupaya menjadi virtual assistant yang bagus. Ia membantu menjana idea penyelidikan baharu, memperbaiki penulisan akademik dan seterusnya menjimatkan masa. Ada yang berkongsi bahawa ChatGPT membantu mereka “memulakan draf penulisan dengan lebih mudah” dan sekaligus mengurangkan tekanan kerja harian.

Namun, tidak semua responden bersetuju sepenuhnya. Ada yang bimbang terhadap etika penggunaan AI, seperti risiko plagiarisme, kehilangan daya pemikiran kritikal, serta kebimbangan terhadap keselamatan data dan ketepatan maklumat. Walaupun begitu, majoriti mengakui bahawa ChatGPT telah meningkatkan produktiviti dan keyakinan mereka dalam penulisan serta pengajaran.

Kajian ini menegaskan keperluan untuk latihan, bimbingan dan dasar yang jelas agar seseorang dapat menggunakan AI dengan lebih bertanggungjawab. Ia juga menyeru institusi pendidikan tinggi untuk memperkukuh pembangunan kemahiran digital dan mewujudkan peluang kolaborasi dengan pembangun AI.

Saya tidak pasti samada terdapat kajian seumpama ini yang hanya memberi tumpuan kepada warga akademik lelaki, tetapi saya berpendapat bahawa perbezaan jantina tidak memberi kesan yang besar terhadap penggunaan teknologi AI. Menarik juga kalau ada penyelidik yang boleh memberi jawapan tentang perkara ini. 

Saya juga lebih tertarik dengan satu kenyataan dalam kajian ini dimana ada responden yang memberitahu penyelidik tentang risiko kehilangan pemikiran kritikal jika terlalu bergantung kepada penggunaan AI. Saya pernah mendengar kenyataan yang sama dari rakan yang menggunakan AI tools untuk menyiapkan kerja dimana beliau mengatakan bahawa daya pemikiran kritis semakin berkurangan sejak guna AI. Sikit-sikit dia akan refer AI. 

Pada pandangan saya, ini mungkin tidak berlaku pada generasi saya sekarang, tetapi boleh berlaku kepada generasi yang akan datang. Pada waktu itu AI tools sudah tentu lebih advance dan menyeluruh di dalam kehidupan. Nak makan pun bergantung kepada AI agaknya.  

Kesimpulannya, AI bukan menggantikan penyelidik tetapi memperkasakan warga akademik untuk bekerja dengan lebih bijak, seimbang.