Monday, March 03, 2014

Sebab Air Dicatu

Sejak akhir-akhir ini akibat tiada hujan atau jumlah hujan yang turun tidak mencukupi, berlakulah insiden catuan air di banyak kawasan di Lembah Klang. Ternyata ini semua memberi kesusahan kepada penduduk terutama mereka yang tinggal di perumahan seperti flet dan apartmen. Saya bernasib baik kerana kawasan saya tidak termasuk dalam kawasan catuan dan juga tidak tinggal di perumahan flet atau apartmen. Rumah saya mempunyai tangki sendiri namun saya masih perlu berjimat air. Antara langkah utama ialah menghadkan penggunaan air ketika mandi oleh Adik Tibas dan Kakak. Kedua-dua mereka ini merupakan juara berkubang di dalam bath tub lebih-lebih lagi si Adik Tibas.

Semalam Adik Tibas jatuh di kawasan kanak-kanak di PPAS akibat terlampau gembira belari kesini dan kesana. Luka di bibir dan menurut Mummy, menangis sekejap. Baju pun berdarah. Selepas itu, kembali berlari kesini dan kesana. Kakak pun sama naik.

Berbalik kepada kisah catuan air, semoga hujan turun dengan lebat di kawasan tadahan air. Cuaca panas seperti sekarang ini bukan sahaja menjadi penyebab catuan air malah menjadi penyumbang wang kepada TNB hasil bacaan elektrik yang lebih tinggi dari bulan-bulan lain. Aircond dihidupkan lebih lama dari biasa.

Malam tadi, disaat air dicatu, saya pula terlebih buang air. Semuanya berlaku akibat makan char kuey teow di taman perumahan sebelah bersama Amir Hamzah Botak, orang kuat HKL. Char kuey teow menggunakan nama terkenal terbabit memang menyelerakan ketika dimakan namun apabila sampai di rumah perut menjadi kelam kabut, sendawa dan buang angin berkali-kali tanpa henti, mual tetapi masih sifar muntah dan buang air disaat orang lain di catu airnya. Keadaan sedikit terkawal selepas menggunakan balm gamat merah, disapu di perut. Pagi tadi  ketika bangun tidur, perut agak tidak selesa namun kadarnya telah menurun banyak, seperti menurunnya kadar air di empangan. Jadi dengan hati gembira saya beli sarapan pagi bersambal dan menikmati kopi merah yang dikatakan berkesan membuang toksin.

Selepas selesai sarapan, perut kembali meragam. Berlaku lagi pembuangan air, kali ini di pejabat. Nasib baik selepas proses membuang, buka paip dan air masih ada. Terlupa sebenarnya untuk periksa air di pili terlebih dahulu.

Disaat entri ini ditulis, masih berlaku pergolakan dan kekacauan di dalam perut saya. Mungkin saya akan ke klinik untuk menstabilkan keadaan. Lokasi klinik panel yang telah diubah menjadi lebih jauh mungkin menyebabkan saya cuba berusaha, berikhtiar dan bertawakkal di pejabat terlebih dahulu. Kita kembali ke kisah air semula.

Grafik dibawah menunjukkan kenapa air dicatu. Grafik diperolehi dari laman web Harian Metro.

Kredit to Harian Metro Info Grafik
Semoga hujan turun di kawasan tadahan air, semoga air tidak lagi dicatu dan semoga kekacauan perut saya ditamatkan sekaligus mengelakkan pembuangan air yang melampau disaat air dicatu. Tango Kilo, Selamat Bertugas.

No comments:

Post a Comment