Wednesday, February 04, 2015

Misteri Di Depan Rumah (Revisited)





Entri ini saya petik dari blog isteri saya. Ini merupakan kisah benar yang saya alami di rumah yang saya duduki sekarang.  Tarikh yang dipaparkan di blog isteri saya ialah 26 April 2011 bererti kejadian dibawah berlaku sekitar bulan April 2011.

Dibawah merupakan kisah yang saya alami dari perspektif isteri saya.

Macamane nak mulakan yer??? Nak kata saya percaya sangat tu TIDAKLAH. Yang pasti dalam dunia ni macam2 makhluk Allah ada, sama ada boleh dilihat atau tidak. Saya tidaklah menghayati sangat kisah ini. Selama hampir 2 tahun lebih saya menetap di sini belum pernah lagi terjadi perkara aneh dalam hidup saya. Minta dijauhkan. Tapi saya percaya jika kita jaga solat, banyak berdoa dan selalu membaca Al-Quran Insyaallah benda2 mistik sukar untuk mendekati kita. Kisahnya macam ni.....

Suami baru nak keluar jam 11 malam, hari Jumaat 22 April untuk jumpa kawan lama sebab baru tau dia ada di sekitar taman perumahan ni bila tengok dia update status facebook. Sebenarnya sejak malam semalam kami dah perasan rumah budak-budak bujang jiran sebelah penuh dengan manusia. Hampir 10 orang rasanya. Kereta jangan cakap lah, melintang pukang depan rumah. Tapi sebab ingatkan diorang ada program, suami malas nak tanya apa apa. Rupa-rupanya masa nak keluar jam 11 malam nampak diorang semua dah berkumpul depan rumah. Salah seorang daripada mereka sembang dengan suami dan menceritakan hal sebenar.

Salah seorang dari mereka dirasuk oleh hantu perempuan dan syaitan ni sebenarnya duduk di pokok depan rumah kami. Pokok tu disebalik pagar zink. Mangsa rasuk ni pula (lelaki) kebetulan datang berkunjung ke rumah sepupunya yang merupakan jiran kami. Dan sejak dari hari khamis malam 21 April budak ni dah kena tapi tak dapat nak bergerak, duduk lah sepanjang hari tegak je depan TV. Sepupunya dan yang lain-lain ingat budak ni malas nak pergi makan tapi pelik sebab tangan pegang handphone sambil jarinya bermain-main sms. Bayangkanlah berjam-jam tak makan tak minum . Ini kisah hari Khamis malam Jumaat.

Bila budak budak rumah tu balik , tengok mangsa ni masih lagi duduk depan TV tegak je, diorang dah rasa pelik. Lebih pelik bila tengok mangsa pegang handphone terbalik tapi jari masih seperti main sms. Bila diorg tengok betul betul, jari mangsa menulis ayat minta diselamatkan, masa ni lah baru diorang semua panik. Dan bermulalah insiden rasukan. Malam itu juga dibawa seorang pengamal perubatan dari kawasan sekitar sini sehingga hampir subuh bertarung. Sempat syaitan mempermainkan kesemua yang berada di rumah jiran dengan mengatakan ketika itu waktu tengah malam bahawa ada kemalangan dahsyat di jalan utama kawasan perumahan. Siap bagi no.plet kereta lagi suruh diorang semua selamatkan budak kecik dalam kereta terbabit. Sebenarnya tiada kejadian kemalangan pun pada malam itu, Syaitan tersebut hanya nak mereka semua keluar dari rumah kerana ingin membawa terus mangsa ke alam mereka. Pada keesokan hari (Jumaat) nampak macam dah pulih rupanya masih belum lagi, syaitan mempermain-mainkan mereka semua, masih dalam badan mangsa. Ketika ini dipanggil seorang lagi pengamal perubatan dari luar kawasan.

Pengamal perubatan ni berjaya tangkap kesemuanya dan diikat dalam kain hitam. Kain hitam kemudian diletak dahulu di pokok berhampiran pokok asal tempat tinggal syaitan terbabit kerana diminta tanam di tanah perkuburan pada keesokannya hari Sabtu 23 April. Ketika pengamal perubatan kedua ni dah balik, suami saya yang kebetulan nak keluar nampak ramai orang dan mereka bercerita. Setelah mendengar tentang kejadian, suami menelefon rakannya minta tolong tengok. Kemudian rakan suami memberitahu masih ada seekor yang tertinggal dan meminta izin untuk ke rumah jiran. Jiran-jiran kebetulan berada di restoren mamak bistro dan ketika suami dan rakannya sampai jiran-jiran memberitahu memang ada seekor lagi yang tidak dapat ditangkap. Bagaimanapun ianya tidak dapat dilakukan kerana seekor ni memang sudah lama dalam badan mangsa. Yang jadi havoc sebab lagi 7 ekor yang duduk di pokok depan rumah tu masuk dalam mangsa pada sekitar jam 1 pagi Khamis ketika mangsa sedang duduk berseorangan berhampiran pokok. Suami pun pelik sebab pada waktu tu kebiasaannya sebelum tidur dia akan buang sampah. Memang tak pernah nampak apa apa pun.

Malam itu suami dan rakan-rakannya serta budak budak rumah sebelah semua berkumpul di hadapan pokok tersebut. Rakan suami mengatakan bahawa tiada lagi tanda-tanda masih terdapat syaitan tu kat situ. Kawan suami pesan jangan bagitau saya, yelah takut saya menghayati cerita ini dan jadi takut. Tapi bagi saya selagi kita jaga solat Insyaallah benda tu tak kacau. Lagipun ini kawasan rumah saya, macamane sekalipun kita kena pertahankan, semangat kena kuat. Yang penting malam2 jangan husband outstation sudahler..hehe

Pada Khamis malam Jumaat tu pun kami balik lewat dari pasar malam, tiada pula kedengaran apa apa yang aneh. Erm, Itulah alkisahnya...Benda tu pun dah selamat di buang. Harapnya tidak lagi menganggu.

Dalam kain hitam tu katanya benda yang berjaya ditangkap. Wallahualam..

Kain hitam disangkut di pokok hadapan rumah
Bulatan merah merupakan pokok yang ada 'penghuninya' seperti yang didakwa
Itulah secebis coretan isteri saya yang mendengar kisah pengalaman dari saya sendiri. Sejujurnya selepas kes tersebut, ada lagi kes yang berlaku terhadap jiran saya itu. Kes yang ini juga saya ambil dari catatan blog isteri saya. Kes kedua terhadap jiran saya dicoretkan dibawah, dari sudut perspektif isteri saya. Kes berlaku sekitar bulan April 2012.


Minggu lepas ketika daddy sedang menonton Champions League Live antara Barcelona menentang AC Milan, dia terdengar bunyi sesuatu di luar rumah. Ketika itu katanya jam 4 pagi. Bila saya tanya bunyi apa yang didengarnya, katanya bunyi seperti mengilai, cuma ketika itu hati Daddy berbisik mengatakan mungkin suara jiran ketawa. Sebenarnya beberapa hari sebelum insiden diatas, ada jiran kami yang kerasukan. Ketika itu kami baru nak keluar rumah nak pegi makan malam apa bila salah seorang jiran kami menegur Daddy. Saya ketika itu di dalam kereta bersama Humaira dan tidak tahu apa yg mereka bualkan. Cuma ketika masuk ke dalam kereta, ada saya tanyakan Daddy tapi dia jawab just bertanya khabar. Kami pulang sekitar jam 10 malam dan selepas saya dan Humaira masuk bilik, dengar pintu depan dibuka, tanda Daddy keluar rumah. Sehingga saya tertidur jam 11 lebih malam Daddy masih tidak masuk kembali ke dalam rumah. Saya tidak kisah sebab kebiasaannya Daddy keluar dan bersembang depan pagar rumah dengan kawan-kawan dan jiran-jiran. Cuma kali ini agak pelik apabila saya tersedar Daddy pulang kembali ke rumah dan dalam keadaan mamai, saya lihat Daddy membaca sesuatu dan menghembus kearah saya dan Humaira. 

Ada saya tanyakan Daddy kenapa, tapi dia tak jawab. Keesokannya baru Daddy bercerita bahawa ketika kami mahu keluar makan, jiran kami meminta tolong Daddy carikan orang yang pandai mengubat. Isteri adik jiran saya rupanya kerasukan. Daddy panggil kawan dia datang malam tu, saya tanya Daddy macam mana keadaan.. katanya tiada apa yang serius. 

Saya tak puas hati sebab tau Daddy sembunyikan sesuatu dan setelah saya desak barulah Daddy bercerita. Rupanya mangsa adalah perempuan awal 20-an dan baru berkawin dengan adik jiran kami. Kebetulan adik dia datang melawat rumah abangnya bersama isteri baru. Ketika malam menjelang, isteri adik jiran kami berdiri di hadapan sliding door memandang ke arah luar rumah, lebih tepat lagi ke pokok didepan rumah kami. Saya pernah ceritakan kisah misteri pokok di hadapan rumah. Pada mulanya jiran saya dan adiknya tidak mengesyaki apa-apa tapi setelah hampir 30 minit berdiri di sliding door tersebut tanpa bergerak, perasaan hairan mula menerjah pemikiran jiran saya dan adiknya. Ketika ditegur oleh suaminya, rupanya perempuan tersebut (saya namakan dia Wati) dengan mata terbeliak memandang keluar dan badannya kejung. Menyedari sesuatu yang aneh berlaku, jiran saya dan suami Wati membaca ayat-ayat suci, barulah Wati tersedar dan menangis. Ini kejadian sehari sebelum jiran saya berjumpa Daddy. 

Keesokannya harinya menjelang magrib, terjadi lagi kejadian yang sama dan sekali lagi jiran saya dan suami Wati berjaya memulihkan Wati. Tapi apabila hati sudah tidak sedap, maka tindakan yang lebih drastik perlu diambil kerana ini adalah kali kedua Wati berdiri tegak di sliding door. Selepas magrib ketika kami hendak keluar itulah jiran Daddy ni jumpa Daddy. 

Daddy pada mulanya sekadar menelefon rakannya ini jika dia nak mencuba memulihkan Wati. Maklumlah rakan Daddy ni menurut Daddy langsung tidak ada ciri-ciri mengubat orang, hidup dia penuh dengan ketawa, lawak jenaka macam Raja Lawak. Cuma Daddy pernah dengar dari kawan dia yang lain, kawannya ni minat dengan perubatan tradisional. 

Sebelum kawan Daddy tu datang, suami Wati ada call Daddy bagitau suruh berubat esok aje. Tapi Daddy kata kawannya on the way. Bila kawan Daddy sampai, Wati macam tak berapa senang dengan kawan Daddy yang bernama Sahak ni. Kata Daddy, waktu tu jiran dia sekeluarga keluar, hanya Wati dan suaminya, Daddy dan Sahak serta pembantu Sahak namanya Duan. Mula-mula keadaan seperti biasa, Sahak macam biasa dengan lawaknya sambil tanya Wati macam-macam. Daddy ingat Sahak merapu apabila dia cakap dengan Wati suruh buang apa yang dia ada. Akhirnya Sahak memulakan upacara mengubat Wati. Masa tu Daddy cakap, dia macam tak berapa confident Sahak ni betul-betul nak mengubat Wati. 30 minit pertama Wati cuma resah dan suaminya cuma pegang tangan Wati. Tapi masuk fasa kedua Daddy cakap, dia dan Duan terpaksa bantu suami Wati pegang Wati sebab tenaga luar biasa. 

Saya gerun juga bila Daddy cakap suara Wati berubah garau, mata terbeliak sehingga nampak mata putih dan rambut mengurai. Sesekali Wati jeling arah Daddy macam marah. Banyak kali Daddy cakap Wati menjerit kesakitan. Masa tu pintu rumah jiran kami dibuka luas dan kata Daddy aktiviti di luar sangat lah meriah, boleh dengar suara jiran bersembang, suara anak anak jiran berlari lari. Tapi keadaan dalam rumah ketika itu menyeramkan. Daddy nampak ada lintasan putih di pintu rumah jiran. Rupanya kata Sahak, ada tiga lembaga iaitu lelaki dewasa, perempuan dewasa dan anak berada di pintu rumah jiran. Mula-mula Sahak ingatkan jiran sebelah menyebelah datang nak bantu tapi bila Sahak tengok lama-lama, muka mereka macam muka marah dan tiba-tiba terbang melayang. Yang ini Daddy tak nampak, dia cuma nampak lintasan putih. Dipendekkan cerita segalanya pulih seperti sediakala. Rupanya Wati ni ada membela syaitan (saka) yang diwarisi dan apabila dia berkunjung ke sini, 'benda' di pokok depan rumah kami tu tak suka pada syaitan Wati. Sebab itulah wujud ganggguan. Kata Wati (setelah dia pulih, sejak dia sampai ke rumah abang iparnya, sentiasa ada lembaga lelaki, perempuan dan anak berada di luar rumah dan sehari sebelum berubat, kira-kira jam 2 pagi, kata Wati dia sekali lagi ke sliding door apabila terdengar namanya diseru dan melihat lembaga-lembaga tersebut di luar pagar dengan mata merah dan muka yang marah. Paling Daddy seram apabila Wati kata waktu tu dia nampak Daddy buang sampah (Daddy memang suka buang sampah sebelum tidur), dan lembaga bertiga tu ada berhampiran Daddy. (Daddy kata dia rasa macam biasa je waktu tu).
 
Selepas kes kedua ini, tiada lagi kedengaran apa-apa kes di rumah jiran saya. Rumah jiran saya(sebelah rumah) pun sudah bertukar pemilik. Pemilik baru ini suami isteri kerja syif. Sering balik tengah malam bersama anak kecil mereka sekitar umur 2 tahun. Tiada apa-apa kisah yang berlaku pada mereka setakat ini. Sebenarnya kira-kira dua minggu sebelum kejadian, saya tidur di ruang tamu dan saya bermimpi hari sudah pagi dengan matahari yang sangat cerah dan terik tetapi tidak panas. Di tingkap ruang tamu, saya melihat ada seorang lelaki, seorang wanita tidak bertudung dan seorang kanak-kanak lelaki sekitar umur 5-7 tahun dipimpin oleh wanita tersebut. Ketiga-tiga mereka berdiri dalam jarak yang agak jauh dari tingkap (saya boleh nampak kaki mereka terawang-awangan), dan ketiga-tiga mereka senyum pada saya. Keadaan diluar ketika itu bukanlah seperti keadaan didepan rumah saya tetapi seperti ada padang rumput menghijau, sebatang pokok dan burung-burung terbang berkicauan. Ketika itu lah saya terjaga. Rupanya keadaan diluar rumah dari pandangan tingkap saya, masih gelap. Tengok jam, hampir pukul 4 pagi. Ketika kes kedua diatas berlaku dan apabila di mention tentang lembaga tiga sekeluarga tersebut, saya terkejut dan lantas teringat akan mimpi saya.
 
Sebenarnya, sebelum kes pertama diatas, kami telah mendengar sesuatu di kawasan luar rumah kami, kejadian ketika itu berlaku sekitar bulan Januari 2011 dimana ketika itu anak saya diserang demam panas dan sedang merengek. Jam waktu itu menunjukkan 1.05 pagi saya dan isteri mendengar sekumpulan anjing menyalak mengejar sesuatu dari hujung jalan rumah kami hinggalah dihadapan rumah kami. Mulanya ingatkan pencuri dan saya ingin keluar rumah untuk melihat, tetapi apabila terdengar tangisan wanita mendayu-dayu di celah-celah lolongan kumpulan anjing tersebut, isteri menghalang saya keluar rumah kerana anak masih demam. Itulah pertama kali kami mendengar insiden seperti itu selepas 2 tahun menetap di rumah yang kami duduki sekarang.
 
 


Gila Kuasa Memang Gila

Saya sukakan quote diatas dan saya sering berjumpa dengan individu-individu seperti ini di mana-mana, samada secara rasmi atau tidak rasmi. Yang lebih aneh, jika ianya berlaku di satu tempat yang tidak langsung mendatangkan wang ataupun di tempat yang sepatutnya menjadi sesuatu yang santai. Jika memang jawatan yang diberikan itu membolehkan seseorang mendapat mandat untuk mengawal sesuatu yang lebih besar, contohnya seluruh kampung, tidak mengapalah namun jika mandat yang diberi itu sekadar untuk mengawal sesuatu lorong tetapi ingin kuasa sebesar satu kampung, ada sesuatu yang aneh tentang dirinya.

Pernah ada satu kes, seseorang yang diberi mandat untuk menjaga pasukan kompang di satu jalan tiba-tiba mencadangkan agar dia juga diberi kuasa untuk menjaga perkara-perkara lain yang melibatkan keseluruhan pasukan kompang kampungnya sedangkan perkara-perkara tersebut telah ada orang yang menjaganya. Alasannya ialah untuk memudahkan dia membantu ahli pasukan kompang di jalannya. Ertinya disini, dia inginkan kuasa untuk menguruskan satu perkara yang melibatkan keseluruhan kampungnya semata-mata untuk menyenangkan kerjanya menguruskan penduduk di jalan yang dijaganya sahaja. Seolah-olah apabila dia diberi kuasa tersebut, penduduk di jalan-jalan lain tidak akan dipedulikannya.  Seperti seorang wakil rakyat inginkan kuasa perdana menteri agar dia boleh suka-suka beri peruntukan pada daerahnya.

Pada hemat saya, sebenarnya dia inginkan kuasa yang lebih dari apa yang diberi mandat olehnya. 

Menurut Shellie R.Warren yang menulis satu artikel pada tahun 2008 bertajuk Are You Power Hungry : 7 signs of Power Hungry People, dia menggariskan 7 tanda seseorang itu sebenarnya gila kuasa.

1. You don’t respect boundaries.
2. You rarely feel satisfied.
3. You sacrifice others (or yourself) to reach your goal. 
4. You expect what you won’t deliver. 
5. You are feared but not respected.
6. You don’t use your power for good.
7. You make up rules more than you follow them    

Ini tanda-tanda mengikut pendapat Warren. Pada pendapat saya pula, tanda paling besar ialah apabila seseorang itu mula melangkah keluar dari sempadan kuasa yang diberikan. Seperti kes ketua jalan di dalam sebuah kampung diatas. Ketua jalan ini sering mendesak agar diberi kuasa lebih dari yang sepatutnya dengan alasan untuk memudahkan kerjanya sedangkan tugas itu, dia sendiri kekurangan infrastruktur dan masa untuk melakukannya. 

Lebih lucu dan aneh kalau perkara ini berlaku bukan di dalam sesuatu yang rasmi, hanya berlaku dalam satu pasukan kompang yang bersifat sukarela, santai dan tempat bersosial. Lain lah kalau berlaku di tempat dia mencari makan dimana dia perlukan kenaikan pangkat untuk mendapat gaji yang lebih supaya dapat support family. 

Kebiasaannya, perbuatan meminta sesuatu yang lebih dari yang sepatutnya ini akan disusuli dengan perbuatan bermegah dengan kedudukannya sebagai ketua kompang jalan. Dimana-mana pun dia akan perkenalkan dirinya sebagai ketua kompang jalan, bukan sebagai diri dia. Kalau boleh dia inginkan anak-anak buahnya memakai baju kompang dengan tertulis nama dia sebagai ketua. Pengalaman saya di tempat kerja, rakan-rakan dan bos-bos hanya perkenalkan jawatan mereka apabila berurusan secara rasmi, itupun ada yang tidak menyebut jawatan mereka sehinggalah keadaan memaksa. Ini tidak, setiap kali ada orang baru masuk kampung, dia dulu akan perkenalkan diri dia sebagai ketua kompang jalan sekian-sekian. 

Ini lah perangai manusia yang perlu kita hadapi. Orang sebegini tidak ramai tetapi akan ada dimana-mana. Pandai-pandailah kita menguruskan orang sebegini.    

Monday, February 02, 2015

Petrol Punya Cerita

Apabila kerajaan mengumunkan pemansuhan subsidi petrol, ramai dikalangan kita yang kecewa dengan tindakan itu termasuklah saya namun kekecewaan saya tidaklah sampai berdemo. Sebenarnya, apabila bersembang dengan rakan-rakan penguatkuasa tentang aktiviti penyeludupan petrol, mereka ada menyatakan bahawa sistem subsidi petrol sekarang yang mengakibatkan aktiviti penyeludupan berlaku.
Ramai juga yang saya dengar gemar mengaitkan harga petrol dgn barang-barang. Katanya disebabkan harga petrol tinggi maka barang-barang naik harga. Bila petrol naik, barang-barang pun naik. Perkaitan antara harga petrol seperti yg disimpulkan ialah harga petrol naik maka harga brg naik dan kalau harga petrol turun maka turunlah harga barang-barang.

Sekarang harga petrol dah turun. Sewaktu saya menulis entri ini, harga petrol sudah mencapai paras RM 2 seliter untuk Ron 97 sementara Ron 95 lebih rendah lagi. Persoalan sekarang, harga barangan tidak juga turun, naik lagi adalah. Mungkin ada sedikit barang-barang yang turun tetapi bukan dalam senarai barangan yang saya selalu beli. 

Kelmarin saya beli Hot N Roll, wife saya bisik, harga dah naik la. Saya tak pasti kenapa perkara sebegini berlaku sedangkan harga petrol semakin turun. Seorang rakan ada memberitahu bahawa foreign investor tahu bahawa antara hasil utama Malaysia adalah petroleum. Rakan saya ini merupakan seorang yang kerjanya berurusan dengan saham mengatakan bahawa keuntungan Malaysia semakin turun kerana harga minyak yang dieksport menurun dan oleh kerana ini foreign investor sedikit takut untuk invest di Malaysia kerana ketidakpastian masa hadapan Malaysia yang dilihat bergantung kepada hasil petrol.

Saya bukan pakar ekonomi, mungkin ada kebenarannya kata-kata rakan saya itu. Tapi yang pasti harga kebanyakan barang tetap naik walaupun harga petrol semakin turun. Namun di celah-celah harga barang yang naik, saya jumpa juga harga barang yang turun. Itupun perlu ke kedai-kedai tertentu sahaja. Contoh adalah aksesori handphone. Baru-baru ini saya ke kedai telefon Ustaz di Kota Damansara dan mendapati bahawa barangan aksesorinya adalah murah. Ya, memang namanya kedai telefon Ustaz dan harga memang rumah. Casing handphone saya yang sama saya beli di Digital Mall dengan harga RM 50, di kedai Ustaz cuma RM 15. Benda yang sama, material yang sama.  Saya juga beli MicroSD card 8GB Class 10 Sandisk dengan harga RM 14 sahaja. 

Memang saya kerap dengar aksesori handphone tiruan dan microSD tiruan (akan saya kupas ini di entri akan datang), tetapi perlu saya ingatkan, banyak aksesori handphone sekarang ada fake dan penjual menjualnya dengan harga yang agak tinggi. Monopod set saya beli bersama dengan bluetooth remote untuk camphone, harganya RM 50 iaitu RM 30 untuk monopod set dan RM 20 untuk bluetooth remote, di kedai Ustaz cuma RM 10 untuk monopod set, bluetooth remote yang sama pula harganya RM 8. Memang %^&!3#@!^%^3!!!.

Apa-apa pun, petrol murah barang mahal lebih baik dari petrol mahal barang pun mahal. Sekurang-kurangnya dapat save duit petrol. Saya tidak jangka harga barangan akan kurang naik apabila petrol naik nanti. 

-Masa untuk berjimat-

Monday, January 19, 2015

35 mm Night Photography Handheld

Lama sebenarnya tak menembak malam hari menggunakan 35mm f 1.8. Salah satu lensa dan kondisi waktu dan keadaan yang mencabar untuk dapatkan gambar yang sharp dan tiada light glare. Sangat susah. Dari 100 tembakan cuma 30 je yang layak di touch up sedikit. Dari yang layak di touch up, cuma 5 je yang saya rasa cukup sharp. Bila dah lama tak menembak, setting pun lupa, samada nak guna ISO 800 atau lebih, WB macam mana, matrix macam mana. Kalau semua Auto tak cun. Lagi-lagi guna handheld, tanpa tripod atau monopod.

Seksa nak dapatkan tulisan Setia City tu muncul. Asyik tenggelam dalam cahaya je. Banyak shot kat sini. Ini je yg terbaik dapat.

Reduced noise. WB auto, Warna putih jadi kekuningan hasil cahaya lampu jalan.
Kena selalu menembak balik baru la dapat rentak. Last saya menembak outdoor rasanya beberapa bulan lepas. Ada perancangan untuk beli SDHC baru kerana saya baru perasan bahawa saya punya adalah class 6, bukan class 10. Lensa pun berabuk. Kena bersihkan filter dia dan kena cari filter untuk telephoto saya.

Friday, January 16, 2015

Pustaka Wakaf




Sebenarnya dah beberapa kali saya ingin menulis tentang keunikan pustaka ini yang terletak di Wisma Mais Seksyen 3 Shah Alam, Selangor tetapi tidak berkesempatan. Saya memang sudah lama berkunjung ke sini terutama apabila kadangkala merasa ingin mencari mood baru untuk buat kerja-kerja penulisan dan penyelidikan saya. Pengurus library ini juga merupakan ex-student saya iaitu Hafiz. Dia pernah berkerja sebagai conservator di Muzium Kesenian Islam sebelum bekerja di Pustaka Wakaf ini. 

Alhamdulillah beliau berjaya menguruskan library ini dengan baik. Ini antara special library yang bukan sahaja untuk kegunaan staf tetapi juga dibuka kepada orang ramai. Menariknya di sini, selain patron library beragama Islam, Non Muslim juga mengunjungi library ini dan menjadi ahli library. Saya juga telah menjadi ahli library dengan bayaran RM 10 sahaja. Rm10 itu pun dimasukkan dalam waqaf. 

Selain menawarkan library services seperti library-library lain, Pustaka Wakaf ini menerima sumbangan buku-buku dari orang ramai dan buku-buku tersebut samada di simpan sebagai koleksi di library ataupun disumbangkan ke badan-badan amal yang lain. 

Di bawah merupakan maklumat lanjut mengenai Pustaka Wakaf. 



Sunday, January 11, 2015

Photo Repost from The Past

Lorong di chalet yang saya sewa ketika melancong. Lorong keluar melalui celah-celah bangunan.

Ini pula gambar ketika saya melihat pertunjukan belon di Putrajaya beberapa tahun lepas. Kebetulan cuaca ketika ini agak kurang 'mood' kerana matahari tidak menampakkan diri. The good thing is the balloons were colourful.

Gambar ini diambil dalam perjalanan pulang dari majis resepsi ex student saya. Saya melihat gambar ini seperti suasana petang yang tenang di kawasan urban.

Wednesday, January 07, 2015

Manuskrip Mistik

Ketika sedang melakukan sedikit 'research' mengenai cultural heritage di Malaysia, saya menjumpai berita di bawah. Tajuknya adalah Manuskrip Melayu Yang Menggemparkan. Setelah dibaca, memang menarik kandungannya cuma saya tidak memuatkan di dalam penulisan saya kerana ianya tidak begitu relevan. 


BANGI, 8 Okt 2013 – Sebuah manuskrip lama Melayu mengenai ilmu ghaib yang dihasilkan lebih seratus tahun lalu untuk seorang bilal masjid, menunjukkan gambar dan grafik yang jelas dipengaruhi agama Hindu dan Buddha.
Penyelidik budaya dan manuskrip Melayu, Dr Farouk Yahya berkata manuskrip itu menunjukkan bagaimana orang Melayu zaman lampau meminati amalan sihir dan jampi serapah yang menyimpang dari asas Islam.
Dalam wacana beliau mengenai manuskrip Mantera, Azimat dan Ramalan Berilustrasi Dalam Koleksi The School of Oriental And African Studies (SOAS) di London, Dr Farouk berkata naskah itu merupakan buku panduan untuk amalan sihir dan tilik.
Wacana dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM (ATMA).
Dr Farouk, yang membuat penyelidikan di SOAS,  berkata gambar-gambar dan rajah yang dilukis dengan tangan ada banyak kesamaan dengan bentuk tubuh lukisan yang digunakan dalam sihir untuk dera atau bunuh orang melalui sumpahan dalam budaya Siam dan Kemboja.
Ia seakan-akan pujaan voodoo dan Sante Ria di negara-negara Caribbean Amerika tengah.
Apa yang berlainan ialah ayat-ayat suci Al Quran ditulis dalam bentuk badan lukisan itu, bersama dengan tulisan Hindu yang merupakan mantera.
Dr Farouk berkata di antara manuskrip Melayu yang berkaitan dengan ilmu mantera, azimat dan tilikan, naskah asli itu yang digelar MS 25030 telah banyak mendapat perhatian pengkaji tamadun Melayu di Eropah.
Ramai yang meminati isi kandungan MS 25030 kerana teks dan grafik yang memaparkan contoh-contoh berunsur ajaib dan mistik budaya Melayu.
Tambahan pula, penyalinan manuskrip telah ditugaskan oleh seorang pegawai masjid. Ia menunjukkan satu “Syncretism”, ia itu percampuran antara kepercayaan sihir dan Islam, yang merupakan satu percanggahan.
Dalam wacana beliau, Dr Farouk membincangkan latar belakang manuskrip dan menyiasat lukisan dan rajah yang terkandung di dalamnya, yang berkait dengan karya lain mengenai sihir dan tilikan Melayu kuno.
Apa yang memeranjatkan para hadirin di wacana itu ialah bagaimana manuskrip yang dimiliki orang Islam itu memberi keterangan bagaimana untuk “membuat” orang melalui jampi. Menurut naskah itu, rajah dan gambar tubuh manusia hendak dilukis di atas tanah dengan nama simangsa dan ayat-ayat suci Al-Quran tertentu, lalu orang yang hendak membuat sihir perlu buang air besar atau kecil atau ludah ke atas lakaran.
Mengikut manuskrip itu, orang yang hendak di dera akan jatuh sakit atau meninggal dunia dalam keadaan penuh penderitaan.
Manuskrip itu pernah dimiliki oleh seorang warga Kota Baru, Kelantan yang dikenali sebagai Tuan Bilal Hj Yusuf Bilal di antara tahun 1906 dan 1907.Beliau dipercayai bilal di sebuah masjid yang dinamakan masjid raja di bandar itu. Bagaimana pun kajian menunjukkan tidak ada masjid demikian 100 tahun lalu di seluruh Kelantan.
Manuskrip itu disalin oleh seorang yang dikenali sebagai “Sa”, mungkin ringkasan untuk nama Hasan Hj San Lindang, yang tertera pada naskah itu. Manuskrip itu kemudiannya sampai ketangan seorang pekerja hospital yang baru ditubuhkan di Kota baru. Nik Ismail telah berkhidmat sebagai kerani gaji dan elaun kerja pada tahun 1918.
Menurut Nik Ismail, bapanya Hj Mohamad adalah adik kepada Hasan dan mungkin mewarisi buku itu. Nik Ismail kemudian memberi salinannya kepada Dr Desmond Gimlette, pakar bedah negeri Kelantan yang menyampaikan karya itu kepada Sir Richard Olaf Winstedt, pakar kajian Asia yang tersohor di Eropah. Beliau menderma naskah itu kepada SOAS.
Namun demikian ramai penyelidik di Malaysia tidak mengetahui mengenainya, mungkin kerana ia disimpan dan dimiliki oleh SOAS di London.
Ketika sesi soal jawab, para akademik dari ATMA dan Fakulti Pengajian Islam UKM yang hadir berasa hairan dengan niat sebenar “orang masjid” yang memesan supaya naskah itu ditulis untuknya.
Dr Farouk, berkata kajiannya hanyalah mengenai gambar dan rajah manuskrip. Beliau tidak pula menilaikan watak atau peribadi pemilik manuskrip itu.
Dr Farouk Yahya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari London School of Economics (LSE), University of London dalam jurusan perakaunan. Beliau juga seorang ahli Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).
Bagaimana pun, setelah berkhidmat selama empat tahun sebagai akauntan di syarikat muzik di London, Dr Farouk mengambil keputusan untuk mengkaji secara lebih mendalam hobinya, iaitu kesenian Melayu.
Beliau memperolehi ijazah Doktor falsafah dari SOAS dengan tesis bertajuk“ Magic and Divination: The Malay Tradition In Illustrated Manuscripts”.
Selain daripada bertugas sebagai pensyarah sambilan di SOAS, beliau juga adalah penolong kurator pameran Gifts Of Recognition, yang memaparkan pelbagai jenis anugerah dan hadiah tradisional Melayu.
Beliau masih mengekalkan kerakyatan Malaysia tetapi adalah pemastautin tetap di Britain. Ibu Bapanya tinggal di Shah Alam.
 
Sumber dari http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-kampus/1574-manuscript-of-malay-magic-that-caused-a-stir.html