Friday, October 07, 2022

Pelawat dari Universiti Mizoram

 


Beberapa minggu lepas, saya telah ditugaskan oleh boss saya untuk membawa pelawat dari sebuah universiti di India iaitu Universiti Mizoram. Universiti ini terletak di sebuah bandar bernama Aizawl. Aizawl beriklim tanah tinggi kerana ianya terletak 1000 meter lebih dari aras laut.

Kesemua pelawat ini merupakan pelajar PhD mereka dan ada 3 orang kesemuanya iaitu 2 orang perempuan dan seorang lelaki. Saya banyak berkomunikasi dengan ketua mereka yang bernama Maya menerusi Whatsapp sebelum mereka hadir ke Malaysia. Seorang lagi pelawat wanita bernama Boro sementara yang lelaki namanya Basu. Buat mereka semua, ini perjalanan pertama mereka ke luar negara dan sudah tentu pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia.

Pada mulanya, flight mereka yang bernama Indigo dijadualkan tiba di KLIA pada jam 10 malam namun flight mereka dibatalkan menyebabkan mereka terpaksa mencari flight baru iaitu Air Asia terus dari Kolkatta ke KLIA 2 dengan ETA jam 0715 keesokan harinya. 

Ketika mereka keluar dari KLIA2 saya telahpun siap menunggu dan membawa mereka sarapan pagi. Rupanya mereka mencari lauk ikan dan ikan kembung menjadi pilihan bersama nasi. Walaupun tidak banyak beza makanan mereka dengan kita, namun ikan merupakan sesuatu yang agak rare bagi mereka. Kenapa? Ini kerana universiti tempat mereka belajar dan juga kampung asal mereka terletak jauh dari pantai/laut sekaligus menjadikan hasil laut mahal harganya.

Setelah bersama mereka selama seminggu banyak juga perkara baru yang saya pelajari. Benda paling utama yang akan ditanyakan oleh semua rakyat Malaysia pada saya ialah raut wajah mereka tidak seperi orang india. Hal ini juga saya ajukan pada Maya, Basu dan Boro ketika breakfast kali pertama. Mereka hanya ketawa mendengar soalan saya. Menurut mereka, terdapat begitu banyak etnik di India. Selain itu terdapat hampir 16,000 dialek di India. Maya kata mereka bertiga adalah dari etnik majoriti di sebuah negeri di Assam, yang terletak di bahagian timur laut. Mereka lebih kelihatan seperti orang di Asia Tenggara. 

Mereka menyambung belajar di Universiti Mizoram, Aizawl kerana PhD dalam bidang mereka ada di sana, tiada di negeri mereka iaitu Assam. Mereka juga mengatakan bahawa kos hidup di Aizawl, Mizoram lebih tinggi dari Kuala Lumpur. Namun kos kehidupan di Assam lebih rendah dari Kuala Lumpur.

Di Malaysia, pelbagai aktiviti yang mereka sertai termasuklah perbincangan akademik dengan pihak saya. Saya juga ditugaskan untuk membawa mereka melawat pelbagai tempat. 

Selamat Jalan Maya, Basu dan Boro


Pelbagai perkara baru saya belajar dengan mereka, terutama tentang Assam dan Mizoram serta India. Saya juga observe yang mereka suka makan yogurt. Dan setelah hampir seminggu mereka di Malaysia, mereka mula kembali mencari makanan India di Brickfields. 

Setelah seminggu di Malaysia, mereka pun pulang ke Mizoram, tempat mereka belajar. Saya hantar mereka jam 1600hrs hari Ahad dan mereka masuk ke terminal jam 1920hrs. ETD flight mereka ke Chennai adalah jam 2200 hrs. Apabila sampai Chennai, mereka akan ke Kolkatta sebelum menaiki flight ke Aizawl, Mizoram. Pada Isnin jam 1800hrs, Maya whatsapp saya bahawa mereka telah selamat sampai di Universiti Mizoram. Satu perjalanan yang jauh. Menurut mereka, perjalanan dari Assam ke Mizoram menaiki flight adalah 1 jam lebih namun jika naik bas, mengambil masa 18 jam. Ini kerana jalanraya menuju ke Aizawl di Mizoram berliku dan berbukit. 

 

No comments:

Post a Comment