Wednesday, August 17, 2016

Isu Penjualan Data Peribadi

Data peribadi tidak boleh dijual, kata ahli akademik



SEREMBAN, 6 Jul ― Isu penjualan data peribadi individu yang pernah dilaporkan masih terus berlaku walaupun pernah didedahkan media sebelum ini.
Mesej berbentuk tawaran pinjaman, insurans, loteri, scam cinta serta tuntutan hadiah cabutan bertuah dan pelbagai lain pastinya pernah diterima oleh ramai anggota masyarakat.
Persoalan yang timbul, adakah data peribadi pelanggan sesuatu syarikat itu boleh dijual sewenang-wenangnya untuk tujuan promosi atau kegunaan syarikat lain?
Mengulas persoalan itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Rekod, Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor, Dr Irwan Kamaruddin Abd Kadir berkata walau apapun cara, rekod peribadi seseorang tidak boleh dijual.
“Rekod tidak boleh dijual kerana ia ditadbir oleh pelbagai perundangan yang ada seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” katanya kepada Bernama.             
Mengulas lanjut, beliau berkata rekod peribadi seseorang tidak berguna kepada orang lain kecuali individu itu sendiri.
“Jadi atas dasar apa ia perlu dijual? Walaupun kalau kita bersetuju rekod kita dijual, organisasi yang menjual rekod tidak berhak menjualnya,” katanya.
Seorang lagi pensyarah kanan di fakulti sama, Mohd Nizam Yunus pula menyifatkan penerimaan mesej yang tidak diingini oleh seseorang individu adalah satu perlanggaran privasi.
“Penjualan rekod terutama rekod peribadi oleh pihak yang mewujudkan rekod kepada pihak luar merupakan satu perkara yang tidak patut berlaku terutama jika individu yang datanya direkodkan itu tidak langsung mengetahui tentang urusan jual beli ini.
“Ia juga menyebabkan berlaku pelanggaran privasi. Kadangkala pihak yang mewujudkan rekod ini akan meminta kebenaran dari individu bahawa rekodnya akan digunakan untuk tujuan promosi.
“Namun kita tidak tahu apakah promosi ini dilakukan oleh pihak pewujud rekod atau pihak luar,” katanya.
Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 diwujudkan bertujuan untuk mencegah penyalahgunaan data peribadi orang awam untuk tujuan komersial. ― Bernama

No comments:

Post a comment