Tuesday, October 14, 2025

Teh Chamomile Minuman Bunga yang Menenangkan Jiwa

 



Sejak akhir-akhir ini, saya mula menjadikan teh chamomile sebagai teman hampir setiap malam sebelum tidur. Pada mulanya, saya hanya ingin mencari sesuatu yang boleh menenangkan fikiran selepas seharian bekerja dan berurusan dengan pelbagai perkara. Tapi selepas beberapa malam mencubanya, saya mula rasa beza, tidur saya jadi lebih lena, badan terasa ringan, dan kepala tidak lagi serabut seperti dulu.

Bau bunganya yang lembut dan rasa teh yang ringan memang memberi kesan tenang, seolah-olah membantu saya “slow down” dan bersedia untuk rehat. Dari situ saya mula tertarik untuk tahu lebih banyak tentang teh chamomile ini. Rupa-rupanya, bukan sekadar minuman herba biasa. Ia mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat untuk kesihatan tubuh dan minda.

Teh chamomile berasal daripada bunga Matricaria chamomilla atau Chamaemelum nobile yang dikeringkan. Ia telah digunakan sejak zaman Mesir purba, Greek dan Rom sebagai rawatan semula jadi untuk pelbagai penyakit. Kini, teh ini terkenal sebagai minuman yang membantu tidur dan mengurangkan tekanan, tetapi manfaatnya sebenarnya jauh lebih banyak daripada itu.

Menurut laman web Medical News Today, terdapat beberapa manfaat teh ini iaitu:-

Menstabilkan Paras Gula dalam Darah - Beberapa kajian menunjukkan teh chamomile boleh membantu mengawal gula dalam darah, terutama bagi penghidap diabetes. Ia juga mungkin memperbaiki kesihatan hati dan profil lipid, tetapi tidak boleh menggantikan ubat yang disarankan doktor.

Mencegah Kehilangan Ketumpatan Tulang (Osteoporosis) - Kajian awal mendapati ekstrak chamomile mampu membantu melindungi tulang daripada kerapuhan, terutama pada wanita selepas menopaus. Ia berpotensi menjadi minuman sokongan semula jadi untuk kesihatan tulang.

Mengurangkan Keradangan dalam Tubuh - Kandungan anti-oksidan chamomile membantu melawan keradangan kronik, yang dikaitkan dengan penyakit seperti artritis, penyakit jantung dan alergi. Minum teh ini secara berkala boleh membantu badan lebih seimbang.

Mempunyai Ciri Anti-Kanser - Walaupun kajian masih awal, saintis mendapati beberapa bahan aktif dalam chamomile (seperti apigenin) berpotensi membantu menghalang pertumbuhan sel kanser dalam ujian makmal. Teh ini bukan rawatan utama, tapi boleh menjadi amalan gaya hidup sihat.

Meningkatkan Kualiti Tidur & Menenangkan Minda - Inilah sebab utama ramai orang minum teh chamomile sebelum tidur. Ia membantu mengurangkan kegelisahan dan tekanan, serta memberi rasa tenang. Kajian juga menunjukkan ia membantu meningkatkan kualiti tidur bagi mereka yang mengalami insomnia ringan. 

Menyokong Sistem Imun & Melegakan Selesema - Apabila anda tidak sihat atau rasa perit tekak, secawan teh chamomile panas boleh membantu. Ia melegakan saluran pernafasan, menenangkan tekak dan mungkin menyokong sistem imun secara semula jadi.

Membantu Menjaga Kesihatan Kulit - Selain diminum, chamomile juga digunakan dalam bentuk krim, losyen dan sabun kerana sifat anti-radang dan antibakteria. Ia membantu menenangkan kulit sensitif, jerawat ringan dan kemerahan.

Jujur saya katakan, sejak saya amalkan teh chamomile ni, memang ada malam yang tidur saya terasa lebih nyenyak dan tenang. Kadang-kadang saya sendiri terkejut, baru beberapa minit baring, mata dah rasa berat, dan saya terus hanyut dalam lena yang berkualiti. Esoknya bangun pun badan rasa segar, kepala ringan, tak pening macam selalu.

Tapi tak semua malam jadi begitu. Ada juga masa-masanya teh chamomile tak beri sebarang kesan, terutama bila saya tersilap langkah, contohnya bila saya tidur siang terlalu lama atau minum kopi lewat petang. Masa tu, walaupun saya minum teh chamomile panas sambil pasang lagu tenang, mata tetap segar, dan otak tak mahu “off”. Saya mula sedar, chamomile bukan ubat tidur ajaib, tapi lebih kepada pembantu yang bekerja bila tubuh dan minda kita pun bersedia untuk berehat. Lagi-lagi sebelum nak tidur, lama sangat melihat iPad sambil scroll social media atau Shopee, memang lewat juga tidurnya. Cuma saya perasan, mata saya lebih cepat mengantuk walaupun tengah layan iPad. 

Saya brew tea brand Heath and Heather yang sememangnya dikatakan organic. Dan semestinya saya brew that tea without sugar, baru ada rasa kenikmatan rasa teh sebenar. Jadi kesimpulannya, teh chamomile ni memang bukan ubat tidur segera, tapi lebih kepada rakan baik sebelum tidur , yang tak banyak cakap, tapi pandai menenangkan. Cuma kalau saya dah terlebih tidur siang atau minum kopi pukul 6 petang, jangan salahkan chamomile kalau mata masih segar macam spotlight. 

Satu lagi yang saya belajar, teh tanpa gula jauh lebih baik. Bukan saja untuk kesihatan, tapi juga untuk rasa asli bunga chamomile tu sendiri. Bila tak letak gula, kita boleh rasa lembut dan wangi semula jadinya lebih tulen, lebih menenangkan. Lagipun, apa gunanya minum teh herba konon nak sihat, kalau akhirnya tambah satu sudu gula besar.

Sekarang, setiap kali saya hirup teh chamomile panas atau suam tanpa gula sebelum tidur, saya anggap ia bukan sekadar minuman tetapi satu lifestyle untuk jaga diri sendiri, biar esok saya bangun dengan tubuh yang segar dan hati yang lebih tenang. 





 


Friday, October 10, 2025

Hidup Harmoni, Stress Pergi

 

pixabay


Dalam dunia yang semakin pantas dan penuh tekanan, hidup dengan harmoni bukan lagi sekadar pilihan, ia adalah keperluan. Harmoni bermaksud keseimbangan antara fikiran, emosi, dan tindakan, antara kerja dan rehat, antara hubungan dengan orang lain dan masa untuk diri sendiri. Apabila keseimbangan ini terganggu, kita mudah hilang fokus, cepat marah, dan merasa kosong walaupun dikelilingi kejayaan.

Hidup harmoni bermula dengan kesedaran diri. Mengenali batas kemampuan, memahami keutamaan, dan belajar untuk berkata 'tidak' apabila perlu adalah langkah awal untuk mengekalkan keseimbangan. Harmoni juga datang daripada hubungan yang sihat, menghargai perbezaan, memaafkan, dan tidak menyimpan dendam. Setiap hubungan yang tenang menyumbang kepada ketenangan dalaman kita sendiri.

Selain itu, mengurus masa dan emosi dengan bijak membantu mencipta ruang untuk kebahagiaan kecil yang sering kita abaikan seperti berjalan pagi, membaca buku, atau sekadar minum teh tanpa gangguan. Di tempat kerja pula, kegembiraan memainkan peranan penting dalam mencipta suasana harmoni. Apabila kita bekerja dengan hati yang gembira, menghargai rakan sekerja, meraikan pencapaian kecil, dan berkomunikasi dengan positif, tekanan dapat dikurangkan, dan produktiviti meningkat secara semula jadi. Lingkungan kerja yang ceria bukan sahaja mengurangkan stres, malah memberi tenaga baharu untuk terus berkarya dengan semangat.

Dalam keharmonian, kita belajar bahawa kebahagiaan bukan terletak pada seberapa banyak yang kita miliki, tetapi sejauh mana kita merasa cukup dan bersyukur dengan apa yang ada. Hidup harmoni menjadikan kita lebih sabar, lebih empati, dan lebih kuat menghadapi cabaran. Ia bukan tentang hidup tanpa masalah, tetapi bagaimana kita mengekalkan ketenangan walaupun di tengah ribut kehidupan.

Apabila hati tenang, keputusan lebih jelas, apabila hidup seimbang, langkah kita lebih mantap.



Wednesday, September 24, 2025

Pengalaman Ke Jakarta

 



Baru-baru ini, saya berpeluang ke Jakarta selama 5 malam atas urusan kerja, dengan semua kos perjalanan ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan. Perjalanan ini bukan sahaja memenuhi tuntutan tugas, tetapi juga menjadi peluang untuk merasai sendiri suasana, budaya dan gaya hidup di kota metropolitan terbesar di Indonesia.



Hari pertama bermula seawal subuh. Sekitar jam 6.30 pagi saya sudah berada di pintu pelepasan untuk proses boarding, dan tepat jam 6.55 pagi pesawat berlepas meninggalkan Kuala Lumpur menuju Bandar Udara Internasional Soekarno Hatta, Jakarta. Cuaca cerah memberi pemandangan indah dari udara, dan selepas hampir dua jam penerbangan, kami selamat mendarat di Terminal 2 pada jam 8.05 pagi. Selesai urusan imigresen dan pengambilan bagasi, kami disambut oleh wakil Universitas Negeri Jakarta yang membawa kami menaiki bas terus ke penginapan di Malaysia Hall, Menteng.

Sepanjang berada di Jakarta, urusan kerja dijalankan di beberapa lokasi utama termasuk Universitas Negeri Jakarta dan Bekasi. Lalulintasnya memang boleh tahan teruk, typical Jakarta traffic jam yang kadang-kadang membuat perjalanan terasa berganda lebih lama berbanding jarak sebenar. Ada masa kami bergerak dengan bas universiti, ada masa kami memilih Grab untuk lebih fleksibiliti. Menariknya, aplikasi Grab yang sudah dipasang di telefon di Malaysia boleh terus digunakan di Jakarta tanpa sebarang tetapan tambahan hanya buka aplikasi, set lokasi dan terus book ride.

Waktu siang biasanya penuh dengan mesyuarat dan tugasan rasmi, tetapi sebaik selesai urusan kerja, kami tidak lepaskan peluang untuk explore Jakarta. Antara tempat yang sempat kami lawati termasuk Thamrin City, Grand Indonesia, Plaza Indonesia, Sarinah, Blok M, dan Pasar Tanah Abang.

Ketika berjalan di Blok M, saya tertarik dengan deretan t-shirt murah yang cantik, termasuk satu t-shirt bertulis “Jakarta” dengan harga hanya RM20, dan datang dengan pelbagai design. Kalau di Malaysia, harganya boleh mencecah RM30 hingga RM50. Cuma size XL nya lebih kurang size L di Malaysia. Saya terus beli lima helai dan dapat diskaun lagi. Proses bayaran juga mudah, saya gunakan QR Maybank. Sebenarnya, di hampir semua tempat di Jakarta, pembelian boleh dibuat menggunakan debit kad Malaysia atau pembayaran QR. Malah, kawan saya hanya menggunakan TnG eWallet dari Malaysia untuk semua transaksi, sehingga habis baki dalam e-walletnya.

Dari segi makanan, kami berpeluang menikmati Iga Bakar di dua restoran berbeza pada dua malam berasingan, setiap satu dengan rasa dan gaya tersendiri. Sedap dan murah, tak dapat harga macam tu di tempat kita. Pada satu petang, kami makan di restoran Pagi Sore yang terkenal dengan masakan Padang, dan pada satu tengah hari, kami mencuba menu di Tuan Mudo di kawasan Pantai Indah Kapuk (PIK).

Kalau mahu lebih bajet, memang kena cuba street food. Salah satu pengalaman yang saya dan kawan saya cuba ialah makan di lorong penuh gerai tepi jalan betul-betul di hadapan Grand Indonesia. Suasananya meriah dengan bau sate yang dibakar, bakso yang sedang mendidih, nasi ayam gepuk yang harum bersama sambal pedas menyengat, semuanya bercampur memenuhi udara malam. Saya tidak berani mencuba kerana mahu menjaga perut sepanjang travel, tetapi kawan saya makan dengan selera dan alhamdulillah perutnya baik-baik sahaja. Untuk minuman, kami kekal dengan air botol demi keselamatan perut. Prinsipnya mudah, bila travel, kena jaga kesihatan.


Dari segi kos, banyak perkara di Jakarta jauh lebih murah berbanding Kuala Lumpur. Contohnya, makan di Pagi Sore untuk lima orang lengkap dengan pelbagai lauk hanya menelan kos kurang daripada RM300. Untuk ole-ole, saya membeli beberapa botol perfume Alchemist untuk keluarga dan rakan-rakan pada harga sekitar RM50 sebotol. Di Grand Indonesia, saya membeli perfume HMNS dengan harga yang lebih kurang sama.

Hampir setiap malam sebelum pulang ke Malaysia Hall, kami akan singgah di Indomaret, ibarat 7-Eleven versi Indonesia untuk membeli coklat, roti dan kudapan bagi sarapan esoknya, memandangkan Malaysia Hall tidak menyediakan sarapan. Walaupun begitu, kos penginapan di sini sangat berpatutan, dan biliknya selesa seperti hotel lengkap dengan penghawa dingin, menjadikan rehat malam kami lebih berkualiti.

Selain itu, kami turut ke PIK By The Sea di mana saya membeli dua beg tangan jenama KAMI untuk keluarga dengan harga sekitar RM250 untuk dua, murah dan berkualiti. Di lokasi sama, saya membeli beberapa botol kecil perfume Saff&Co pada harga sekitar RM20 setiap satu. Bau semua local brand perfume ini sangat wangi dan unik, cuma jangan sembur terlalu banyak kerana baunya agak kuat jika berlebihan. Ini nak bagi souvenir pada jiran-jiran.

Secara keseluruhannya, local brand Indonesia sangat menarik, harga mesra poket rakyat Malaysia dan kualitinya pula not bad at all. Satu-satunya kekurangan ketara di Jakarta ialah lalu lintasnya yang sesak, malah boleh dikatakan berganda dari Kuala Lumpur. Waktu puncak, perjalanan sejauh 3km dengan Grab pun boleh mengambil masa sehingga 20–30 minit. Namun, gabungan harga yang berpatutan, pengalaman membeli-belah yang memuaskan, makanan yang lazat, dan suasana bandar yang penuh warna-warni tetap menjadikan kunjungan ke Jakarta ini pengalaman kerja dan kembara yang sangat berbaloi.

Repeat? Sudah tentu bersama famili pula. 


Monday, August 25, 2025

Fitnah: Satu Sifat Keji Yang Boleh Hancurkan Hidup


 



Pernah dengar orang kata, “fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh”? Memang betul. Fitnah ni antara sifat paling keji sebab dia bukan saja jatuhkan maruah orang, tapi boleh runtuhkan kepercayaan dalam masyarakat. Senang cerita, fitnah ibarat virus, cepat merebak, susah nak rawat.

Bila seseorang kena fitnah, hidup dia boleh terus berubah. Bayangkan orang tuduh benda yang kita tak buat,  reputasi rosak, kawan menjauh, kerja pun boleh hilang. Kadang-kadang sampai orang tu down, hilang keyakinan diri. Itu baru satu individu, belum kira kesannya pada keluarga dan masyarakat. Belum cerita mangsa fitnah mengamuk balas dendam lagi. 

Sekarang ni lagi bahaya sebab kita ada social media. Dengan satu klik “share”, cerita palsu boleh sampai ke ribuan orang dalam masa beberapa saat. Yang sedihnya, ramai percaya tanpa semak fakta dulu. Inilah punca pergaduhan, unfollow, unfriend, sampai ada yang bermusuhan bertahun-tahun. All just because of a lie.

Padahal, kalau kita semua amalkan simple habit, check dulu info, jangan cepat trigger dengan cerita sensasi, dan fikir dua kali sebelum post, banyak masalah boleh elak. Think before you click.

Masyarakat yang sihat lahir daripada nilai honesty, trust, dan respect. Bila fitnah berleluasa, semua tu hilang. Sebab tu elakkan fitnah bukan saja tuntutan agama, tapi juga tanggungjawab sosial kita. Kalau kita jaga lidah dan jari (keyboard), kita bukan saja selamatkan maruah orang lain, tapi juga cipta suasana yang lebih tenang dan harmoni untuk semua.

So next time dengar gosip atau cerita pelik, jangan terus percaya. Kadang-kadang, diam itu lebih baik daripada kita jadi penyebar fitnah. 

Spread kindness, not lies.


Tuesday, August 05, 2025

GPT Plus ada Limit?




Kalau anda biasa guna ChatGPT versi percuma, ChatGPT Plus ni ibarat naik taraf ke “first class”. Dengan langganan ni, anda akan dapat akses kepada model lebih pintar iaitu GPT 4o, yang bukan sahaja lebih bijak, tapi juga lebih laju dan stabil walaupun waktu ramai orang tengah guna.

Selain respons yang pantas, ChatGPT Plus juga bagi peluang anda cuba ciri-ciri baru lebih awal sebelum pengguna percuma. Memang sesuai untuk penulis, pelajar, peniaga online, atau sesiapa sahaja yang nak idea cepat tanpa perlu tunggu lama. Pendek kata, kalau anda selalu bergantung pada ChatGPT untuk kerja atau projek, ChatGPT Plus memang berbaloi untuk dipertimbangkan.

Tapi ada satu benda yang ramai tak tahu, walaupun guna ChatGPT Plus, fungsi image generation (cipta imej AI) masih ada had penggunaan. Baru-baru ni saya sendiri kena “time-out”. Tengah syok minta ChatGPT buat gambar, tiba-tiba keluar mesej yang kata saya dah capai limit. Kena tunggu 30 hari baru boleh guna semula.

Limit ni dibuat supaya sistem tak terlalu dibebankan, terutamanya bila ramai pengguna serentak buat permintaan imej. Jadi walaupun kita guna Plus, tetap ada kuota tertentu setiap bulan. Bila kuota habis, semua permintaan gambar akan “pause” sampai kitaran seterusnya bermula.

Tip saya, guna fungsi image generation ni secara bijak, simpan permintaan untuk projek penting atau idea yang betul-betul nak guna, bukan semua benda nak jadikan gambar (macam saya yang minta lukis kopi panas dalam 10 gaya berbeza ).

Secara keseluruhannya, ChatGPT Plus memang satu pelaburan yang bagus kalau anda kerap guna ChatGPT untuk kerja, belajar, atau projek kreatif. Ia memberi kelajuan, kestabilan, dan akses kepada teknologi AI yang lebih pintar. Walaupun ada had untuk generate imej, kelebihan lain yang ditawarkan memang berbaloi dan boleh menjadikan pengalaman anda dengan ChatGPT jauh lebih lancar dan menyeronokkan.


Sunday, June 29, 2025

Satu Aplikasi untuk Semua? Menangani Kepenatan Loyalty App di Telefon Anda

 


                                  


Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, program loyalty “kumpul points” telah berkembang dengan pesat di pelbagai sektor, daripada kafe kopi dan restoran hingga ke pasaraya dan juga pelbagai bisnes lain. Setiap jenama berlumba-lumba menawarkan ganjaran menarik untuk mengekalkan pelanggan, menyebabkan pengguna kini mempunyai puluhan aplikasi loyalty di telefon pintar mereka. Walaupun matlamatnya ialah meningkatkan customer engagement dan meningkatkan  pembelian berulang, ledakan ini turut menimbulkan cabaran baru seperti kebanjiran aplikasi dan kesukaran menjejaki mata ganjaran. 

Saya tidak pasti samada Malaysia pernah mempunyai satu apps loyalty yang menempatkan pelbagai merchant. Tetapi seingat saya, sejak berakhirnya era kad loyalty dan diganti dengan apps ini, saya berhadapan dengan pelbagai jenis apps loyalty yang berbeza. 

Saya sendiri mempunyai pelbagai apps loyalty yang berbeza di telefon saya. itu tak termasuk apps yang saya belum install dan purposely tak install sebab kena bayar yearly fee. Bayangkan satu telefon penuh dengan notification “You’ve earned 10 points!” setiap kali buka app. Adakalanya saya confuse nak check point balance kat mana, expired bila, atau nak redeem guna app yang mana. Dah la setiap apps berbeza-beza interfacenya. Ada yang langsung tak user friendly. Nak scan apps untuk collect points pun susah. Storage penuh, battery cepat habis, dan notification overload buat saya rasa app fatigue. Kalau saya tambah satu atau dua apps lagi sebab promo menarik, saya risau nanti susah nak manage semuanya, so sometimes I just ignore new loyalty offers altogether.

Kadangkala terfikir ada baiknya untuk buat satu apps yang boleh integrasikan semua apps loyalty di Malaysia ini. Lagi cantik kalau boleh integrasikan apps loyalty ini merentas sempadan negara. Antara beberapa perkara positif yang terhasil dengan penggunaan 1 apps loyalty untuk semua merchant ini ialah:-

Pengurusan Mata Ganjaran Yang Mudah

Pengguna hanya perlu buka satu aplikasi untuk semak baki, tarikh luput, dan tawaran terkini dari semua program loyalty. Tiada lagi perlu bertukar-tukar antara pelbagai apps atau risau terlupa ganjaran mana yang hampir luput. Kadang-kadang masa nak bayar di cashier, masa tu la kelam kabut cari apps loyalty kedai yang kita pergi tu. 

Penjimatan Storan dan Prestasi Telefon

Dengan hanya satu aplikasi utama, storan peranti tidak akan cepat penuh dan prestasi telefon pintar kekal lancar. Ini juga mengurangkan penggunaan data dan bateri berbanding menjalankan berbilang aplikasi berlainan. 

Insight & Tawaran Yang Lebih Personal

Penggunaan 1 sahaja apps boleh mengumpul data ganjaran dari semua merchant untuk membina profil pembelian pengguna. Ini membolehkan penawaran promosi yang lebih relevan dan waktu terbaik untuk double-points, sekali gus meningkatkan engagement dan kepuasan pelanggan.

Namun perlu diingatkan kepada apps developer akan beberapa cabarang yang perlu mereka hadapi. Saya sertakan 3 cabaran utama. Mungkin ada lagi cabaran yang wujud.

Berikut tiga cabaran utama bagi membangunkan dan mengoperasikan aplikasi agregator loyalty di Malaysia:

Integrasi Data dan API Merchant

Setiap jenama loyalty menggunakan sistem dan format data berbeza, mungkin ada yang tiada API langsung dan ini menyukarkan proses penyelarasan data secara real-time. Pasukan app developer perlu membina 'connectors' khusus, serta menguruskan perubahan berkala pada sistem merchant.

Keselamatan & Privasi Pengguna

Penggunaan satu platform untuk menyimpan maklumat peribadi, credential dan baki mata ganjaran melibatkan data sensitif. Menjamin data encryption, kepatuhan kepada PDPA, dan key management yang selamat adalah kritikal bagi mengekalkan kepercayaan pengguna.

Sokongan dan Kerjasama Merchant

Untuk memastikan kelancaran pengumpulan dan penebusan points, aplikasi perlu mendapat kerjasama aktif semua merchant terlibat. Ini memerlukan rundingan komersial, perjanjian revenue share, dan komitmen merchant dari segi teknikal dan operasi.


Dengan hanya satu aplikasi loyalty yang menempatkan pelbagai merchant, pengguna di Malaysia mampu menikmati kemudahan mengurus semua mata ganjaran dalam satu platform yang mesra pengguna, tanpa perlu risau tentang masalah mencari apps loyalty berbeza bagi setiap merchant, kebanjiran apps di skrin phone dan notifikasi berlebihan. Merchant pula dapat memfokuskan sumber kepada memperkukuh tawaran ganjaran dan analisis data pelanggan, bukannya menyelenggara pelbagai apps berasingan. Walaupun cabaran teknikal dan kerjasama dengan pelbagai jenama perlu diatasi, potensi untuk meningkatkan engagement pelanggan serta merangsang pertumbuhan ekosistem perniagaan tempatan menjadikan inisiatif ini sangat berbaloi untuk diterokai.






Thursday, June 12, 2025

Trend Penyelidikan Keusahawanan

 



Bidang keusahawanan telah mengalami perkembangan pesat dalam dunia akademik dan praktikal sejak dua dekad yang lalu. Sebelum ini, penyelidikan keusahawanan lebih tertumpu kepada aspek ekonomi dan penciptaan perniagaan baharu. Namun, kini pendekatan penyelidikan semakin meluas merangkumi pelbagai disiplin seperti psikologi, sosiologi, pengurusan dan teknologi.

Baru-baru ini saya ada membaca satu artikel berkenaan trend penyelidikan di dalam bidang keusahawanan. Artikel yang ditulis oleh Duan pada tahun 2023 yang bertajuk Knowledge mapping of entrepreneurship research during COVID-19 and forecasting research directions for the post-pandemic era sangat menarik untuk dikupas. Duan menganalisis struktur, perkembangan dan trend masa depan penyelidikan keusahawanan menggunakan kaedah bibliometrik. Sumber data yang dianalisa oleh Duan adalah sebanyak 3,078 dokumen dari pangkalan data Web of Science (WOS). Artikel yang dianalisa adalah dalam tempoh masa 1990 hinggalah 2019 dan beliau menggunakan perisian CiteSpace serta teknik bibliometrik.

Duan juga mendapati bahawa penyelidikan keusahawanan semakin berkembang sejak tahun 2000 dimana topik penyelidikan berubah daripada teori ekonomi kepada perspektif psikologi, sosiologi dan pengurusan. Ini secara tidak langsung telah menghasilkan kluster penyelidikan keusahawanan yang terdiri dari:-

  • Opportunity recognition
  • Entrepreneurial orientation
  • Social entrepreneurship
  • Corporate entrepreneurship
  • Institutional theory
  • Effectuation theory

Duan juga mendapati bahawa trend penyelidikan baru yang meningkat ialah social and sustainable entrepreneurship, inovasi dan juga entrepreneurial ecosystems. Teori effectuation serta institutional logic juga semakin mendapat perhatian. Saya tertarik dengan dua perkara di sini iaitu social entrepreneurship dan teori effectuation. Berdasarkan pembacaan saya, teori effectuation menekankan bahawa keusahawanan bukan hanya tentang merancang masa depan, tetapi mencipta masa depan berdasarkan apa yang ada sekarang. Ia sangat berguna dalam dunia yang kompleks dan berubah-ubah seperti yang kita sedang hadapi. 

Sementara itu, social entrepreneurship atau keusahawanan sosial merujuk kepada aktiviti keusahawanan yang bukan sahaja bertujuan untuk menjana keuntungan, tetapi juga menyelesaikan masalah sosial, ekonomi, atau alam sekitar dalam masyarakat. Usahawan sosial menggunakan pendekatan inovatif untuk memberi impak positif dan mampan kepada komuniti. Keusahawanan sosial, selain keuntungan, memberi perhatian lebih kepada perubahan sosial sesuatu komuniti. Kejayaan usahawan sosial ini lebih kepada perubahan sosial dan bukan keuntungan semata-mata. 

Usahawan sosial membantu masyarakat, seperti orang miskin, pelajar tercicir, orang kurang upaya atau menjaga alam sekitar. Mereka guna idea kreatif dan tetap menjana duit, namun matlamat utama ialah memberi kebaikan kepada orang lain, bukan untuk jadi kaya. Contohnya, kafe yang mengambil Orang Kurang Upaya sebagai pekerja mereka. 

Berbalik pada artikel Duan ini, beliau memberi beberapa recommendation untuk para penyelidik di dalam bidang keusahawanan antaranya menggalakkan penyelidikan berbentuk inter disciplinary atau rentas disiplin dan kajian tentang keusahawanan digital dari segi daya tahan dan dynamic resilience mereka. 

Secara keseluruhannya, trend penyelidikan dalam bidang keusahawanan menunjukkan perkembangan yang semakin luas dan pelbagai. Kajian kini tidak lagi terbatas kepada penciptaan perniagaan semata-mata, tetapi turut melibatkan aspek sosial, teknologi, kelestarian, dan tingkah laku usahawan dalam dunia yang sentiasa berubah. Perkembangan ini mencerminkan keperluan untuk pendekatan penyelidikan yang lebih holistik dan merentas disiplin, agar bidang keusahawanan terus relevan dan memberi impak yang besar kepada pembangunan ekonomi dan sosial. Para penyelidik digalakkan untuk meneroka bidang-bidang baharu dan memberi tumpuan kepada isu-isu semasa yang dapat menyumbang kepada pemahaman dan pengukuhan ekosistem keusahawanan secara menyeluruh.

Sumber rujukan : Duan, C. (2023). Knowledge mapping of entrepreneurship research during COVID-19 and forecasting research directions for the post-pandemic era. Aslib Journal of Information Management. https://doi.org/10.1108/ajim-11-2022-0504