Monday, December 07, 2015

Pengalaman Melalui Kawad Cam

image source : guardian.co.tt

Entri di bawah saya ulang siar semula dari domain lama saya. Terdapat pelbagai rencah kehidupan di dunia ini yang tidak dapat dirasai oleh semua orang. Entri di bawah saya coretkan pada tahun 2012.


Sebelum perkara ini dilupakan begitu sahaja oleh saya, biarlah saya coretkan pengalaman yang saya lalui semalam supaya ianya boleh dikisahkan kembali jika diperlukan.
Segalanya bermula pada pagi semalam apabila saya dihubungi rakan saya, Nazrul yang meminta bantuan saya untuk ke sebuah IPD di Lembah Klang. Kebetulan pula kenalan lama saya bernama Johari merupakan anggota polis di IPD terbabit. Saya dan Nazrul tiba di IPD sewaktu makan tengahari kira-kira jam 1.30 dan kami makan bersama-sama Johari di restoran belakang IPD terbabit.
Rupa-rupanya di restoran tersebut terdapat sekumpulan lelaki dari lingkungan 20-an ke 40-an sedang makan dan salah seorangnya merupakan rakan saya dan Nazrul, namanya Dino. Kesemua kumpulan lelaki terbabit merupakan orang-orang Dino.
Menurut Dino, kesemua mereka akan menghadiri kawad cam dalam satu kes pergaduhan. Johari mengakui bahawa rakan-rakannya ada menangkap beberapa orang suspek yang terlibat dalam pergaduhan di kawasan pentadbiran IPD tersebut. Dino merupakan rakan lama saya dan mereka yang ditangkap merupakan kenalan Dino.
Nazrul, Dino dan rakan-rakan mereka yang berada di restoran akan menjadi perserta kawad cam dimana mereka akan berdiri di celah-celah suspek sebenar dan mangsa atau pengadu akan diminta menunjukkan orang yang memukulnya kepada pegawai penyiasat. Kawad cam akan dijalankan dalam beberapa pusingan dimana kedudukan para peserta kawad cam akan berubah. Jika pengadu mengecam orang yang salah dalam setiap pusingan atau gagal mengecam suspek yang sebenar, maka kes akan menjadi lemah atau kes gugur bagaimanapun ia bukanlah satu mekanisma yang muktamad untuk mengugurkan sesuatu tuduhan kerana saya juga tidak begitu arif dalam bidang perundangan, ini hanya penerangan asas yang diberitahu kepada saya sahaja.
Segalanya bermula apabila seorang detektif memanggil Dino, Nazrul dan rakan-rakan mereka untuk ke Bahagian Siasatan Jenayah yang terletak berhampiran. Ketika itu pula Johari meminta diri kerana perlu menghadiri mesyuarat. Ketika itu jam sudah menunjukkan angka 2.30 petang.
Masalah timbul apabila bilangan orang awam yang akan menyertai kawad cam tersebut tidak cukup. Saya tiba-tiba diajak turut serta dan memikirkan bahawa jika saya tolak proses kawad cam tidak akan berlangsung maka saya menerima tawaran terbabit. Lagipun tidak perlu berkira dalam soal ini kerana kita sendiri tidak tahu untung nasib kita satu hari nanti dan siapa yang akan menolong kita. Tidak perlu berlagak sombong.
Sebelum memasuki bilik kawad cam, MyKad kami diserahkan kepada detektif terbabit untuk difotostat. Saya dan rakan-rakan lain kemudiannya memasuki bilik kawad cam tersebut. Suasana ketika itu amat harmonis dan detektif-detektif yang bertugas juga amat professional dan berbual dengan kami. Ada antara detektif yang saya lihat amat menghormati saya, mungkin kerana kesanggupan saya turut dalam kawad cam terbabit yang sekaligus membantu melicinkan kerja mereka.
Apabila masuk sahaja dalam bilik kawad cam, rupa-rupanya kesemua suspek yang terlibat dalam kes pergaduhan terbabit ada di dalam bilik itu dengan baju lokap dan tangan bergari. Saya terkejut melihat salah seorang suspek kerana dia pernah bekerja bersama-sama saya. Dia juga kelihatan terkejut dan terpinga-pinga melihat saya berada dalam bilik kawad cam terbabit.
Perbarisan kawad cam dimulakan dan saya berada di nombor 8 sementara rakan saya Nazrul di nombor 9. Kami berbaris dicelah-celah kesemua suspek yang telah dibuka garinya dan baju lokap telah ditukar kepada t-shirt biasa. Mangsa/pengadu kemudiannya dipanggil dan diiringi pegawai penyiasat kes untuk mengecam kami dari luar bilik, di tingkap kaca. Sememangnya lucu apabila mangsa mengecam rakan saya Nazrul sebagai orang yang memukulnya. Selepas habis pusingan pertama, suspek-suspek lain pula dipanggil masuk (jumlah suspek dalam kes ini agak besar). Orang awam yang akan berbaris bersama suspek pula akan kekal.
Namun ketika inilah sesuatu berlaku. Salah seorang suspek tidak dapat memakai baju tshirt biasa untuk menggantikan baju lokap kerana badannya besar. Dan kebetulan badan saya besar, detektif meminta jasa baik saya untuk meminjamkan baju saya kepada suspek. Saya sebenarnya boleh menolak kerana ia bukan arahan tetapi dalam keadaan masing-masing inginkan proses berjalan lancar, tanpa gangguan dan dapat dihabiskan pada waktunya, maka saya memberi kan sahaja tshirt terbabit pada suspek untuk digunakannya. Ketika itu suasana dalam bilik kawad cam amat tengik dan busuk serta panas dan tiada pengaliran udara kerana penghawa dingin rosak.
Maka berdirilah saya tanpa baju di tepi bilik kawad cam menunggu sehingga proses kawad cam selesai dan apabila saya menerima kembali baju saya, segala macam bau tengik dan busuk melekat. Dua kali saya terpaksa mandi sekembalinya di rumah barulah bau tengik dan busuk itu hilang.
Selesailah sudah satu perkara yang saya pasti tidak ramai rakan-rakan ahli akademik saya akan lalui iaitu menjadi seorang suspek yang dicam tanpa perlu melanggar undang-undang. Semestinya ini akan menjadi satu pengalaman sepanjang perjalanan hidup saya.
Tentu anda tertanya-tanya apakah perjalanan kes ini. Oleh kerana kes masih baru dan dalam siasatan, saya tidak akan menceritakan lokasi kejadian.  Sebenarnya, pengadu/mangsa dalam kes ini telah melakukan sesuatu sehingga merosakkan akhlak remaja-remaja di satu komuniti. Telah beberapa kali pengadu/mangsa ditegur oleh komuniti di situ namun pengadu/mangsa hanya berhenti seketika, kemudiannya menjalankan kembali aktivitinya yang salah di sisi undang-undang. Saya difahamkan aduan telah dilakukan namun tidak diendahkan oleh pengadu/mangsa, mungkin kesalahan yang dilakukan kecil di sisi penguatkuasa namun ianya memberi impak negatif yang besar pada remaja di komuniti terbabit.
Berang dengan kejadian salah yang berterusan menyebabkan sekumpulan lelaki dari komuniti terbabit bersemuka dengan pengadu/mangsa. Saya difahamkan  berlaku provokasi hingga menyebabkan pergaduhan dan pengadu/mangsa yang pada mulanya merasakan dirinya kuat akhirnya tumbang dikeroyok oleh kumpulan lelaki dari komuniti tersebut.
Seorang lelaki dari kalangan komuniti tersebut bernama Pak Salim membawa pengadu/mangsa membuat laporan polis. Saya juga difahamkan Pak Salim memang tidak digermari oleh komuniti disitu kerana berperangai seperti samseng (mungkin juga samseng), dan pengadu/mangsa merupakan sumber kewangan tetap Pak Salim.
Apa yang didengar juga ialah pengadu tidak mengalami apa apa kecederaan serius, saya memang ada melihat sendiri pengadu ketika di IPD dan memang tidak kelihatan apa-apa kecederaan pada pengadu.
Apa anasir jahat yang pengadu/mangsa lakukan? Biarlah rahsia kerana kes masih dalam siasatan.
Sebelum kami balik, MyKad kami dipulangkan dan nombor telefon kami dicatit.
Dan ketika saya keluar dari IPD saya lihat anak-anak dan isteri-isteri semua suspek sedang menunggu bapa dan suami masing-masing. Timbul perasaan sayu kerana bapa dan suami masing-masing cuma ingin melindungi komuniti mereka dari anasir jahat, cuma mungkin tindakan mereka agak keras  dan diluar undang-undang.
Moral of the story:-
Yang ditangkap tidak semestinya jahat dan yang mengadu tidak semestinya baik.
Kalau nak masuk kawad cam, pastikan bawa baju tshirt dan seluar lebih, takut jadi insiden macam saya pula.
Jika anda adalah orang awam di kalangan kawad cam dan pengadu asyik menunjukkan bahawa andalah penjenayah, bukan bermakna anda akan ditangkap. Lebih-lebih lagi ketika waktu kejadian anda berada di kawasan lain seperti yang berlaku pada Nazrul.
TERIMA KASIH kerana sudi membaca Nukilan FANTASI dan TAHYUL saya.  Segala diatas adalah rekaan dan ciptaan semata-mata. Sebarang persamaan dari segi nama, hati dan perasaan adalah kebetulan yang menakjubkan.

No comments:

Post a Comment