Friday, October 16, 2015

Kad Pengenalan Khas Sahihkan Status Pelarian Syria



Baru-baru ini saya diminta mengulas mengenai bagaimana pengurusan rekod membantu pemberian kad pengenalan pelarian Syria oleh kerajaan Malaysia dimana ianya sebagai satu tanda pengenalan terhadap mereka ketika mereka berada di Malaysia. Untuk makluman, Malaysia bersetuju mengambil pelarian Syria dalam jumlah tertentu. Ini sebagai tanda prihatin negara kita terhadap mereka-mereka yang tidak bernasib baik, juga sebagai satu bantuan terhadap saudara seislam yang di timpa musibah. Ulasan saya hanyalah berkisar dari aspek pengurusan rekod. Saya melihat iini sebagai satu peluang bagi kerajaan untuk membuktikan mereka mempunyai pengurusan rekod yang cekap dengan cara menguruskan maklumat setiap pelarian terbabit. Saya sebelum ini pernah dihubungi seorang konsultan dari Australia yang berminat menjalankan kajian mengenai satu bentuk pengenalan diri yang seragam terhadap rakyat sesebuah negara. Saya katakan padanya bahawa Malaysia telah berjaya melakukannya dengan MyKad dan MyKid. Apabila ditanya adakah terdapat pengenalan palsu, saya jawab ada namun pihak berkuasa pantas membanterasnya. Saya juga katakan, dengan pengurusan rekod yang sempurna dan efisiyen, MyKad palsu boleh dikurangkan atau dihapuskan sama sekali, serta mudah dikesan. Konsultan Australia ini menghubungi saya beberapa tahun yang lalu. Kini, saya masih belum mendapat berita kewujudan one id for each Australian citizen, mungkin juga saya terlepas pandang berita ini. Menurut konsultan tersebut, 'our people are afraid that if using one identification, our government may know everything about them, including their financial status, how much money do they have and so on'.

Dibawah merupakan kandungan berita Bernama terbabit :-


Kad Pengenalan Khas Sahihkan Status Pelarian Syria


Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Keputusan Malaysia untuk membuka pintu dengan menawarkan penempatan dan pekerjaan sementara kepada 3,000 pelarian Syria adalah sesuatu di luar jangkaan banyak pihak.

Keputusan yang bertujuan bersama-sama membantu dalam isu kemanusiaan sejagat itu bagaimanapun menimbulkan kekhuatiran sesetengah pihak berikutan hasrat kerajaan untuk mengeluarkan kad pengenalan khas kepada pelarian berkenaan.

Antara persoalan yang dibimbangi adalah kemungkinan kemudahan kad berkenaan disalahgunakan untuk melakukan aktiviti-aktiviti menyalahi undang-undang, selain masalah sosial lain yang mungkin timbul.

Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana, Prof Madya Dr Mohd Sazili Shahibi berkata pemberian kad pengenalan khas kepada pelarian Syria adalah satu langkah yang baik bagi memastikan kesahihan status pelarian serta pengenalan diri.

"Namun kad ini perlu dikawal agar tidak disalahgunakan. Pihak berkuasa perlu mempunyai kaedah untuk memastikan bahawa maklumat di dalam kad ini tidak boleh digunakan oleh orang yang bukan pemiliknya.

"Perlu ada mekanisme rapi dan lengkap untuk menjalankan pemantauan. Kesemua ini boleh dicapai dengan pengurusan maklumat yang sempurna di mana rekod-rekod pelarian bukan sahaja perlu disimpan dengan efisiyen, malah boleh diakses dengan cepat dan tepat jika keadaan memerlukan," katanya kepada Bernama di sini.

PERLUKAN SISTEM MAKLUMAT DATA YANG TEPAT DAN PANTAS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika berucap pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 2 Okt menyatakan bahawa Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian.

Najib berkata negara-negara Islam sebahagiannya bertanggungjawab memastikan kesejahteraan warga Syria yang terpinggir setelah melarikan diri dari negara mereka dalam jumlah yang besar sehingga mengakibatkan tekanan ekonomi dan sosial di Eropah.

Sejak empat tahun lepas, dilaporkan kira-kira empat juta pelarian Syria berhijrah untuk mencari perlindungan di beberapa negara berhampiran seperti Jordan, Turki, German dan Austria yang membuka pintu untuk mereka meneruskan kehidupan.

Berikutan pengumuman itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa kerajaan akan menyediakan penempatan, peluang pendidikan dan pekerjaan sementara kepada pelarian Syria yang akan masuk ke negara ini secara berperingkat-peringkat.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan kad pengenalan khas bagi pelarian Syria yang masuk ke negara ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sazili berkata sistem maklumat yang menyimpan rekod rekod pelarian Syria perlu berkeupayaan memberikan data dengan tepat dan pantas yang memerlukan asas infrastruktur telekomunikasi yang stabil supaya boleh diakses di mana-mana.

"Sebagai contoh, apabila pihak berkuasa ingin memeriksa kesahihan kad pengenalan khas pelarian berkenaan, mereka boleh mendapatkan maklumat daripada rekod yang disimpan.

"Jika rekod berkenaan tidak sama dengan kad pengenalan yang diperiksa, maka pihak berkuasa bertindak segera terhadap pemegang rekod tersebut," katanya.

TERDEDAH KEPADA MANIPULASI

Mohd Sazili berkata tanpa pengurusan maklumat dan rekod yang betul dan tepat, rekod pengenalan diri individu boleh dimanipulasi.

"Ia juga boleh diwujudkan secara 'diam-diam' (sembunyi) agar sesuatu pengenalan diri dapat dikeluarkan dan seterusnya disalahgunakan. Aspek keselamatan maklumat harus diberikan penekanan kerana bagi memelihara integriti dokumen.

"Integriti dokumen adalah penting untuk memastikan tiada sebarang kekeliruan dan demi menjamin keselamatan negara," kata beliau.

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Kampus Puncak Perdana, Mohd Nizam Yunus pula menyarankan agar kerajaan mewujudkan suatu pangkalan data penerimaan kemasukan pelarian Syria yang boleh diakses oleh semua agensi penguatkuasaan.

Beliau berkata pangkalan data bersepadu itu penting bagi memastikan maklumat pelarian tidak dapat dipinda sewenang-wenangnya atau disalahgunakan untuk kegiatan menyalahi undang-undang.

"Mungkin sesetengah pelarian Syria yang tiba di sini membawa dokumen diri, manakala sebahagiannya mungkin tidak, dan golongan kedua inilah yang menyukarkan proses dokumentasi dilakukan.

"Pun begitu, Malaysia perlu melakukan tapisan rapi agar elemen seperti IS tidak dibawa oleh pelarian Syria," katanya kepada Bernama.


Ahmad Zahid pada 8 Okt lepas berkata Malaysia akan mengutamakan pelarian Syria daripada kumpulan profesional atau separa mahir dalam pengambilan yang akan dilakukan secara berperingkat-peringkat selama tiga tahun.

KDN akan menguruskan kemasukan pelarian Syria menerusi Jabatan Imigresen melalui Akta Imigresen dan peraturan yang sedia ada.

Beliau berkata kementerian juga akan mengadakan kerjasama dengan International Organisation for Migration dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi mengeluarkan kad pelarian yang mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi.

Sementara itu, wakil Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) Richard Towle pada 3 Okt dilaporkan berkata bahawa pihaknya bersedia memberi kerjasama dalam usaha kerajaan Malaysia menerima pelarian berkenaan.

Setakat Ogos lalu, terdapat 153,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNCHR di Malaysia. Majoriti daripada mereka iaitu 93 peratus adalah dari Myanmar dan bakinya antara lain dari negara Sri Lanka, Pakistan, Somalia, Syria, Iraq, Iran dan Palestin.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment