Saturday, September 20, 2014

Di Seminar

 

Sesi forum. Gambar dari penganjur


Salah satu tugas saya ialah untuk menghadiri konferen atau seminar di mana-mana yang berkaitan dengan bidang. Tujuannya untuk memastikan saya sentiasa update dengan isu dan trend terkini. Pada 11 September lalu, saya ke satu konferen di Pullman Putrajaya. Tajuk konferen ini ialah World Continuity Congress 2014 yang bertemakan SECURING YOUR ORGANIZATION AGAINST FUTURE DISASTERS AND CRISES. Ini merupakan satu bidang penting dalam pengajian PhD saya yang berlandaskan bidang Pengurusan Bencana dan Risiko. 

Pembentang-pembentang pada konferen ini terdiri dari pakar-pakar pengurusan bencana di organisasi masing-masing. Ada yang datang dari dalam negara dan ada yang datang dari luar negara. Pembentang luar negara pula datang dari tempat yang negara mereka sentiasa dilanda bencana besar seperti dari Jepun, Thailand dan Greece. 

Antaranya ialah Prof Kenji Watanabe dari Nagoya Institute of Technology Japan yang membentangkan mengenai permasalahan di Jepun yang dilanda gempa dan tsunami. Prof Kenji menceritakan pengalaman beliau melihat bagaimana Jepun memastikan kelancaran produksi sesuatu kilang mereka yang akan mula beroperasi secepat mungkin selepas berlakunya sesuatu bencana. Setiap kilang akan mempunyai standard business continuity dan standard yang sama akan digunapakai oleh pembekal-pembekal bahan mentah untuk kilang serta pengedar-pengedar hasil produksi kilang.Prof Kenji juga ada menyatakan bahawa syarikat-syarikat besar di sana termasuk hypermarket mempunyai MOU dengan PBT untuk membekalkan makanan dan bantuan lain secepat mungkin kepada mangsa gempa. 

Gambar dari penganjur
Dr.Goh Moh Heng merupakan Presiden Business Continuity Management Institut memberi pendapat bahawa terdapat perbezaan antara krisis dan bencana di mana krisis merupakan sesuatu kejadian yang berlaku secara internal dimana staf mempunyai akses terus kepada lokasi kejadian sementara bencana merupakan kejadian besar yang berlaku dimana staf tidak mempunyai akses kepada lokasi kejadian sehinggalah pihak berkuasa selesai menjalankan tugas mereka.

Bhakorn Vanuptikul. Gambar dari Penganjur


Bhakorn Vanuptikul dan Stelios Aronis berkongsi pengalaman yang hampir sama iaitu bagaimana mereka membantu organisasi mereka bangun kembali selepas diserang perusuh. Bhakon dari Thailand dan merupakan Executive VP Bangkok Bank sementara Stelios dari Greece merupakan Head of Business Continuity dari Alpha Bank dan kedua-dua negara ini menghadapi masalah rusuhan-rusuhan yang berskala besar di mana terdapat cawangan bank mereka yang dimusnahkan oleh perusuh. Cabaran besar mereka ialah untuk memulihkan operasi bank mereka selepas dimusnahkan perusuh.

Tidak banyak yang dikongsi oleh mereka berkaitan dengan pengurusan rekod bagaimanapun kesemua mereka mementingkan backup site. 



Gambar dari Penganjur
Konferen sebegini sebenarnya mempunyai kelebihan dimana organisasi-organisasi di Malaysia dapat mengambil iktibar agar diberi keutamaan untuk mempunyai satu pengurusan bencana dan business continuity plan yang sempurna agar organisasi mereka masih boleh berjalan dengan lancar dan operasi tidak terganggu ketika dan selepas bencana berlaku. 
 
Stelios Aronis. Gambar dari Penganjur.


Pengurusan organisasi juga jangan terlalu kedekut untuk berbelanja lebih bagi memastikan organisasi mempunyai program pengurusan bencana dan business continuity yang bagus. Para pembentang juga nampak bersetuju bahawa program business continuity adalah hampir sama cuma ianya perlu disesuaikan atau localize dengan sesuatu organisasi. Hal ini juga pernah saya tanyakan kepada mereka-mereka yang terlibat dalam menguruskan bencana untuk rekod jabatan kerajaan dan mereka menyatakan bahawa perlunya localization pada pelan yang dibuat. 

Bertindak sebelum terlambat. Jangan biarkan bencana melumpuhkan organisasi anda. Bangunan mungkin sudah jatuh menyembah bumi bagaimanapun operasi organisasi masih boleh berjalan seperti biasa. Itulah kelebihan pengurusan bencana dan business continuity plan yang efektif dan efisiyen. Ingin juga saya kongsi kenyataan Prof Kenji bahawa dari pemerhatian beliau adakalanya sesuatu pelan yang dimiliki amat komprehensif dan bagus tetapi apabila ianya diaktifkan, kekeliruan tetap menjelma dan ketika inilah pentingnya kerjasama yang utuh antara agensi untuk meminimumkan kekeliruan. 


 

No comments:

Post a Comment