Kebelakangan ini, ruang ini agak sepi. Bukan kerana sudah kehilangan minat untuk menulis, dan bukan juga kerana tiada cerita yang mahu dikongsi. Sebenarnya, terlalu banyak perkara yang berlaku dalam satu-satu masa. Tuntutan kerja, tanggungjawab yang semakin bertambah, urusan keluarga serta pelbagai perkara kecil yang perlu diselesaikan setiap hari membuatkan masa terasa bergerak lebih pantas daripada biasa. Ada banyak perkara yang bermain di fikiran dan banyak juga yang ingin ditulis, cuma belum sempat diterjemahkan menjadi kata-kata. Jadi kalau blog ini kelihatan sedikit sunyi sejak akhir-akhir ini, anggaplah saya sedang melalui satu fasa kehidupan yang agak sibuk. Saya masih di sini, masih menulis dalam kepala, cuma belum selalu sempat duduk dan mencatatkannya.
Kerja sekarang pula macam tak putus-putus. Ianya datang silih berganti. Adakala seperti hujan lebat, ada kala seperti kabus. Selesai satu perkara, muncul pula perkara lain yang perlu diberi perhatian. Kadang-kadang bukan satu, tetapi beberapa perkara datang serentak dan semuanya terasa perlu diselesaikan segera. Belum sempat hendak menarik nafas selepas satu urusan selesai, sudah ada perkara lain menunggu di depan. Itu belum dicampur dengan urusan keluarga yang ada kalanya muncul tanpa dirancang dan perlu diutamakan ketika itu juga. Begitulah rutin kebelakangan ini, banyak perkara bergerak dalam satu masa, dan saya pula cuba sedaya upaya memastikan semuanya tetap berjalan seperti sepatutnya.
Dalam kesibukan, satu lagi perkara yang kadang-kadang lebih mencabar daripada kerja itu sendiri ialah apabila berhadapan dengan pelbagai ragam dan karenah manusia. Masing-masing datang dengan cara, kehendak, jangkaan dan cerita yang berbeza, dan semuanya perlu disantuni sebaik mungkin. Ada masa kita boleh membantu, ada masa kita cuba mencari jalan tengah, dan ada juga ketika kita terpaksa menerima hakikat bahawa ianya tidak berada dalam kawalan kita. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara di luar bidang dan kemampuan sendiri. Pada ketika itu, selepas segala usaha yang termampu dibuat, yang tinggal hanyalah sabar, tawakal dan berserah kepada Allah. Mungkin ini semua sebahagian daripada proses kehidupan agar saya mengetahui bila masanya kita perlu terus berusaha, dan bila masanya kita perlu reda dengan perkara yang memang tidak mampu kita tentukan.
Walau sesibuk mana pun hari-hari yang dilalui, saya tetap bersyukur dengan segala yang Allah aturkan. Di sebalik kepenatan dan pelbagai perkara yang perlu difikirkan, ada kepuasan tersendiri apabila apa yang kita lakukan dapat memudahkan urusan orang lain. Kadang-kadang bantuan itu mungkin kecil pada pandangan kita, tetapi besar maknanya kepada mereka yang memerlukan. Itu yang membuatkan segala kesibukan terasa lebih berbaloi. Selagi masih diberi kesihatan, kekuatan dan kesempatan untuk memberi manfaat kepada orang lain, saya anggap semuanya sebagai satu nikmat. Penat itu pasti ada, tetapi rasa gembira tumbuh sendiri apabila dapat membantu orang lain.

No comments:
Post a Comment