Syawal 2026 hadir lagi. Takbir bergema, juadah terhidang, dan jalan raya sesak dengan gelombang anak perantau pulang ke kampung halaman. Dalam suasana yang penuh kegembiraan ini, terselit juga pelbagai cerita dan realiti semasa yang menjadikan Hari Raya kali ini sedikit berbeza daripada sebelumnya.
Saya seperti biasa, mengharungi kesesakan lalulintas di lebuhraya untuk pulang ke kampung. Paling dinantikan adalah iftar di dalam perjalanan pulang. Ini kerana saya sering pulang pada waktu petang. Kali ini, kami iftar di plaza tol dimana saya akan keluar exit paling dekat sewaktu jam hampir ke waktu iftar. Wife dan siap sediakan bekal untuk iftar dan anak-anak pun happy dengan suasana iftar di plaza tol. Bagi mereka, pengalaman seperti ini bukan berlaku hari-hari, hanya setahun sekali.
Hari Raya Aidilfitri tahun ini kita dapat saksikan beberapa perkara yang bukan sahaja melibatkan diri sendiri, tetapi juga negara dan dunia. Antara yang menjadi topik perbualan ialah krisis di negara teluk yang boleh memberi impak kepada ekonomi negara kita. Ia juga secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap diri kita dan perubahan gaya hidup kita. Dan seperti yang kita tahu, penurunan subsidi RON95 dari 300 ke 200 liter telah pun diumumkan. Pada hemat saya, di saat dunia mengalami krisis, perkara ini memang telah dijangka, dan secara tidak langsung memerlukan sedikit adjustment dalam lifestyle sebelum ini.
Saya melihat akan kepentingan merancang perbelanjaan dan kewangan dengan lebih efektif. Jika sebelum ini, saya ada merancang untuk membeli beberapa item, kini saya perlu mendahulukan mana yang lebih utama. Which is bagi saya, bagus juga kerana item-item yang saya rancang nak beli selepas raya ini ada yang tiada keperluan mendesak.
Satu lagi perkara baru yang saya perhatikan kali ini ialah penggunaan AI dalam ucapan hari raya. Semakin ramai rakan-rakan yang menggunakan AI untuk edit gambar sendiri dan keluarga untuk disesuaikan dengan ucapan selamat hari raya. Gambar yang dibantu oleh AI ini antaranya memaparkan diri sendiri dan keluarga, ucapan selamat hari raya dan juga background gambar yang menarik. Kadangkala seperti mengambil gambar di studio. Ada juga yang menggunakan AI untuk menghasilkan video ucapan selamat hari raya. Saya pula guna AI untuk hasilkan lagu raya sendiri. Dapat dilihat bahawa majoritinya mempunyai akses kepada AI tools seperti Gemini, Chatgpt dan lain-lain dan bukan sekadar ada akses, tapi tahu basic prompt untuk hasilkan gambar raya yang menarik.
Lagi satu perkara yang saya lihat pada Hari Raya kali ini ialah lambakan letupan mercun-mercun 'hari merdeka'. Ada yang mempunyai beratus shot. Kalau dulu, bila dengar letupan mercun 'hari merdeka' atau gen saya panggil mercun KLCC, memang auto keluar rumah nak saksikan pesta mercun mahal. Tapi tidak untuk edisi raya tahun ni, merata-rata mercun KLCC ni dimainkan, sampai jadi bosan pula. Main mercun mengalahkan Hari Raya Cina. Itu belum cerita gerai mercun meletup dan terbakar.
Dalam konteks Hari Raya 2026, mungkin sudah tiba masanya kita melihat semula budaya ini, adakah kemeriahan itu perlu dibayar dengan risiko? Atau bolehkah kita meraikan Aidilfitri dengan cara yang lebih selamat, terkawal dan berhemah, tanpa menghilangkan makna sebenar perayaan itu sendiri?
Dari konteks pemakanan ketika Hari Raya kali ini, saya lebih berhati-hati untuk mengambil makanan seperti rendang daging dan any meat based, begitu juga lemang dan ketupat. Memang makan sepotong dua sahaja. Air manis memang saya pangkah terus, kuih raya je masih makan namun kuantiti tak sebanyak tahun sebelum ini. Dan keadaan diri sendiri yang selsema, sore throat dan batuk juga menjadikan selera tak terlalu tinggi ketika ziarah hari raya.
Lalulintas di highway, sesak seperti biasa. Namun saya agak bernasib baik kerana kesesakan yang saya tempuh hanya seperti hujung minggu. Kelewatan yang dihadapi juga sekitar 20-30 minit dari waktu biasa. Masa balik sahaja kelewatan hampir sejam.
Kali ini, berlaku sedikit teka-teki samada Syawal jatuh pada Jumaat atau Sabtu, dan terdapat posting-posting di media sosial menerangkan secara ilmiah beserta bukti bahawa anak bulan belum cukup matang pada waktu ianya diteropong iaitu petang Khamis. Tukang post pula memang sebelum-sebelum ini gemar post tentang astronomi dan meteorologi, bukti bahawa ilmu yang dimiliki lebih dari golongan marhain biasa. Dan ternyata benar, Syawal jatuh pada Sabtu walaupun pagi Khamis masih ada posting yang cuba meyakinkan reader bahawa Syawal jatuh pada Jumaat, dan posting sebegini datang dari orang yang baru 2-3 hari tiba-tiba cerita pasal astronomi.
Hari Raya 2026 hadir dengan pelbagai warna dan realiti, daripada bunyi mercun yang mengundang persoalan keselamatan, juadah enak yang menguji disiplin kesihatan, hingga kesesakan trafik yang mencabar kesabaran sepanjang perjalanan pergi dan balik. Dalam masa yang sama, bayangan krisis ekonomi global turut memberi kesan kepada cara kita berbelanja dan meraikan perayaan.
Namun di sebalik semua itu, nilai sebenar Hari Raya tetap tidak berubah. Ia bukan sekadar tentang kemeriahan, tetapi tentang kesederhanaan, keselamatan, kesihatan dan keinsafan. Mungkin inilah masanya untuk kita kembali kepada asas iaitu meraikan Aidilfitri dengan penuh makna, berpada-pada, dan sentiasa menghargai apa yang kita miliki bersama insan tersayang.
Hari Raya mengajar kita satu perkara penting, kita mungkin boleh kawal perbelanjaan, tapi agak sukar mengawal tangan sendiri bila nampak kuih raya atas meja.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

No comments:
Post a Comment