Baru-baru ini, saya berpeluang ke Jakarta selama 5 malam atas urusan kerja, dengan semua kos perjalanan ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan. Perjalanan ini bukan sahaja memenuhi tuntutan tugas, tetapi juga menjadi peluang untuk merasai sendiri suasana, budaya dan gaya hidup di kota metropolitan terbesar di Indonesia.
Hari pertama bermula seawal subuh. Sekitar jam 6.30 pagi saya sudah berada di pintu pelepasan untuk proses boarding, dan tepat jam 6.55 pagi pesawat berlepas meninggalkan Kuala Lumpur menuju Bandar Udara Internasional Soekarno Hatta, Jakarta. Cuaca cerah memberi pemandangan indah dari udara, dan selepas hampir dua jam penerbangan, kami selamat mendarat di Terminal 2 pada jam 8.05 pagi. Selesai urusan imigresen dan pengambilan bagasi, kami disambut oleh wakil Universitas Negeri Jakarta yang membawa kami menaiki bas terus ke penginapan di Malaysia Hall, Menteng.
Sepanjang berada di Jakarta, urusan kerja dijalankan di beberapa lokasi utama termasuk Universitas Negeri Jakarta dan Bekasi. Lalulintasnya memang boleh tahan teruk, typical Jakarta traffic jam yang kadang-kadang membuat perjalanan terasa berganda lebih lama berbanding jarak sebenar. Ada masa kami bergerak dengan bas universiti, ada masa kami memilih Grab untuk lebih fleksibiliti. Menariknya, aplikasi Grab yang sudah dipasang di telefon di Malaysia boleh terus digunakan di Jakarta tanpa sebarang tetapan tambahan hanya buka aplikasi, set lokasi dan terus book ride.
Waktu siang biasanya penuh dengan mesyuarat dan tugasan rasmi, tetapi sebaik selesai urusan kerja, kami tidak lepaskan peluang untuk explore Jakarta. Antara tempat yang sempat kami lawati termasuk Thamrin City, Grand Indonesia, Plaza Indonesia, Sarinah, Blok M, dan Pasar Tanah Abang.
Ketika berjalan di Blok M, saya tertarik dengan deretan t-shirt murah yang cantik, termasuk satu t-shirt bertulis “Jakarta” dengan harga hanya RM20, dan datang dengan pelbagai design. Kalau di Malaysia, harganya boleh mencecah RM30 hingga RM50. Cuma size XL nya lebih kurang size L di Malaysia. Saya terus beli lima helai dan dapat diskaun lagi. Proses bayaran juga mudah, saya gunakan QR Maybank. Sebenarnya, di hampir semua tempat di Jakarta, pembelian boleh dibuat menggunakan debit kad Malaysia atau pembayaran QR. Malah, kawan saya hanya menggunakan TnG eWallet dari Malaysia untuk semua transaksi, sehingga habis baki dalam e-walletnya.
Dari segi makanan, kami berpeluang menikmati Iga Bakar di dua restoran berbeza pada dua malam berasingan, setiap satu dengan rasa dan gaya tersendiri. Sedap dan murah, tak dapat harga macam tu di tempat kita. Pada satu petang, kami makan di restoran Pagi Sore yang terkenal dengan masakan Padang, dan pada satu tengah hari, kami mencuba menu di Tuan Mudo di kawasan Pantai Indah Kapuk (PIK).
Kalau mahu lebih bajet, memang kena cuba street food. Salah satu pengalaman yang saya dan kawan saya cuba ialah makan di lorong penuh gerai tepi jalan betul-betul di hadapan Grand Indonesia. Suasananya meriah dengan bau sate yang dibakar, bakso yang sedang mendidih, nasi ayam gepuk yang harum bersama sambal pedas menyengat, semuanya bercampur memenuhi udara malam. Saya tidak berani mencuba kerana mahu menjaga perut sepanjang travel, tetapi kawan saya makan dengan selera dan alhamdulillah perutnya baik-baik sahaja. Untuk minuman, kami kekal dengan air botol demi keselamatan perut. Prinsipnya mudah, bila travel, kena jaga kesihatan.
Dari segi kos, banyak perkara di Jakarta jauh lebih murah berbanding Kuala Lumpur. Contohnya, makan di Pagi Sore untuk lima orang lengkap dengan pelbagai lauk hanya menelan kos kurang daripada RM300. Untuk ole-ole, saya membeli beberapa botol perfume Alchemist untuk keluarga dan rakan-rakan pada harga sekitar RM50 sebotol. Di Grand Indonesia, saya membeli perfume HMNS dengan harga yang lebih kurang sama.
Hampir setiap malam sebelum pulang ke Malaysia Hall, kami akan singgah di Indomaret, ibarat 7-Eleven versi Indonesia untuk membeli coklat, roti dan kudapan bagi sarapan esoknya, memandangkan Malaysia Hall tidak menyediakan sarapan. Walaupun begitu, kos penginapan di sini sangat berpatutan, dan biliknya selesa seperti hotel lengkap dengan penghawa dingin, menjadikan rehat malam kami lebih berkualiti.
Selain itu, kami turut ke PIK By The Sea di mana saya membeli dua beg tangan jenama KAMI untuk keluarga dengan harga sekitar RM250 untuk dua, murah dan berkualiti. Di lokasi sama, saya membeli beberapa botol kecil perfume Saff&Co pada harga sekitar RM20 setiap satu. Bau semua local brand perfume ini sangat wangi dan unik, cuma jangan sembur terlalu banyak kerana baunya agak kuat jika berlebihan. Ini nak bagi souvenir pada jiran-jiran.
Secara keseluruhannya, local brand Indonesia sangat menarik, harga mesra poket rakyat Malaysia dan kualitinya pula not bad at all. Satu-satunya kekurangan ketara di Jakarta ialah lalu lintasnya yang sesak, malah boleh dikatakan berganda dari Kuala Lumpur. Waktu puncak, perjalanan sejauh 3km dengan Grab pun boleh mengambil masa sehingga 20–30 minit. Namun, gabungan harga yang berpatutan, pengalaman membeli-belah yang memuaskan, makanan yang lazat, dan suasana bandar yang penuh warna-warni tetap menjadikan kunjungan ke Jakarta ini pengalaman kerja dan kembara yang sangat berbaloi.
Repeat? Sudah tentu bersama famili pula.
No comments:
Post a Comment