Bidang keusahawanan telah mengalami perkembangan pesat dalam dunia akademik dan praktikal sejak dua dekad yang lalu. Sebelum ini, penyelidikan keusahawanan lebih tertumpu kepada aspek ekonomi dan penciptaan perniagaan baharu. Namun, kini pendekatan penyelidikan semakin meluas merangkumi pelbagai disiplin seperti psikologi, sosiologi, pengurusan dan teknologi.
Baru-baru ini saya ada membaca satu artikel berkenaan trend penyelidikan di dalam bidang keusahawanan. Artikel yang ditulis oleh Duan pada tahun 2023 yang bertajuk Knowledge mapping of entrepreneurship research during COVID-19 and forecasting research directions for the post-pandemic era sangat menarik untuk dikupas. Duan menganalisis struktur, perkembangan dan trend masa depan penyelidikan keusahawanan menggunakan kaedah bibliometrik. Sumber data yang dianalisa oleh Duan adalah sebanyak 3,078 dokumen dari pangkalan data Web of Science (WOS). Artikel yang dianalisa adalah dalam tempoh masa 1990 hinggalah 2019 dan beliau menggunakan perisian CiteSpace serta teknik bibliometrik.
Duan juga mendapati bahawa penyelidikan keusahawanan semakin berkembang sejak tahun 2000 dimana topik penyelidikan berubah daripada teori ekonomi kepada perspektif psikologi, sosiologi dan pengurusan. Ini secara tidak langsung telah menghasilkan kluster penyelidikan keusahawanan yang terdiri dari:-
- Opportunity recognition
- Entrepreneurial orientation
- Social entrepreneurship
- Corporate entrepreneurship
- Institutional theory
- Effectuation theory
Duan juga mendapati bahawa trend penyelidikan baru yang meningkat ialah social and sustainable entrepreneurship, inovasi dan juga entrepreneurial ecosystems. Teori effectuation serta institutional logic juga semakin mendapat perhatian. Saya tertarik dengan dua perkara di sini iaitu social entrepreneurship dan teori effectuation. Berdasarkan pembacaan saya, teori effectuation menekankan bahawa keusahawanan bukan hanya tentang merancang masa depan, tetapi mencipta masa depan berdasarkan apa yang ada sekarang. Ia sangat berguna dalam dunia yang kompleks dan berubah-ubah seperti yang kita sedang hadapi.
Sementara itu, social entrepreneurship atau keusahawanan sosial merujuk kepada aktiviti keusahawanan yang bukan sahaja bertujuan untuk menjana keuntungan, tetapi juga menyelesaikan masalah sosial, ekonomi, atau alam sekitar dalam masyarakat. Usahawan sosial menggunakan pendekatan inovatif untuk memberi impak positif dan mampan kepada komuniti. Keusahawanan sosial, selain keuntungan, memberi perhatian lebih kepada perubahan sosial sesuatu komuniti. Kejayaan usahawan sosial ini lebih kepada perubahan sosial dan bukan keuntungan semata-mata.
Usahawan sosial membantu masyarakat, seperti orang miskin, pelajar tercicir, orang kurang upaya atau menjaga alam sekitar. Mereka guna idea kreatif dan tetap menjana duit, namun matlamat utama ialah memberi kebaikan kepada orang lain, bukan untuk jadi kaya. Contohnya, kafe yang mengambil Orang Kurang Upaya sebagai pekerja mereka.
Berbalik pada artikel Duan ini, beliau memberi beberapa recommendation untuk para penyelidik di dalam bidang keusahawanan antaranya menggalakkan penyelidikan berbentuk inter disciplinary atau rentas disiplin dan kajian tentang keusahawanan digital dari segi daya tahan dan dynamic resilience mereka.
Secara keseluruhannya, trend penyelidikan dalam bidang keusahawanan menunjukkan perkembangan yang semakin luas dan pelbagai. Kajian kini tidak lagi terbatas kepada penciptaan perniagaan semata-mata, tetapi turut melibatkan aspek sosial, teknologi, kelestarian, dan tingkah laku usahawan dalam dunia yang sentiasa berubah. Perkembangan ini mencerminkan keperluan untuk pendekatan penyelidikan yang lebih holistik dan merentas disiplin, agar bidang keusahawanan terus relevan dan memberi impak yang besar kepada pembangunan ekonomi dan sosial. Para penyelidik digalakkan untuk meneroka bidang-bidang baharu dan memberi tumpuan kepada isu-isu semasa yang dapat menyumbang kepada pemahaman dan pengukuhan ekosistem keusahawanan secara menyeluruh.
Sumber rujukan : Duan, C. (2023). Knowledge mapping of entrepreneurship research during COVID-19 and forecasting research directions for the post-pandemic era. Aslib Journal of Information Management. https://doi.org/10.1108/ajim-11-2022-0504
No comments:
Post a Comment