Monday, April 10, 2023

Selamat Hari Raya 2023

 


Pejam celik hanya tinggal tidak sampai 2 minggu kita berpuasa di bulan Ramadhan. Tarikh lihat anak bulan Syawal ialah pada hari Khamis 20 April 2023. Rasa sedih kerana Ramadhan meninggalkan kita. 

Saya melakukan persiapan yang sederhana sahaja. Hanya sekali dua sahaja mengunjungi bazar Ramadan. Itupun beli roti john sahaja. Untuk makanan berat, isteri masak di rumah. Kalau nak topup sikit-sikit lauk pun, beli di medan selera yang hanya terletak tidak sampai 2 km dari rumah. Simpang masuk taman perumahan saya pun ada beberapa gerai menjual juadah. Jiran saya pun ada berniaga disitu. Jadi rasanya tak perlu nak pergi jauh-jauh ke bazar. 

Kadangkala bila dah sampai, tak tau apa nak beli. Ada sekali dua beli air kelapa. Beli 4 tapi saya perasan dia cuma belah 3 biji. Dia tengok 3 biji tu cukup 4 gelas, dibungkus dan beri pada saya. Sebungkus 5 ringgit. Itulah kali pertama dan terakhir saya beli disitu. Tengok orang pun tak berapa ramai beli. Waktu saya datang dekat-dekat pukul 7 lebih pun kelapa dan air tebu dia masih ada lagi. 

In the end, nampak jiran saya letak dalam whatsapp statusnya. Jiran saya pun meniaga kelapa hujung minggu. Dan memang kelapa dia telah terbukti air banyak, sedap dan dia jual tak ikut gelas tapi ikut biji. Saya terus order 4 biji. Saya tanya dia kenapa tak jual tempat biasa, dia cakap sebab dia tengok bulan puasa ni tiba-tiba dah ada orang luar ambil tempat tu jual air kelapa, so dia jual online sahaja lah. Alhamdulillah licin kelapa dia. Cuma masalahnya, jiran saya ni jual hujung minggu sahaja. 

Apa-apa pun memang beza sangat dari segi kuantiti air. Kami sekeluarga siap boleh minum ketika iftar dan sahur. Rakan-rakan yang regular berniaga bazar pun menyatakan bahawa sales kurang, tak macam biasa. Barang pula mahal. Iya lah, nak salahkan pelanggan pun susah. Mereka juga berjimat cermat. 

Beberapa hari ini, saya gemar keluar malam bersama isteri selepas solat tarawih. Jalan raya banyak kereta, kami agak terkejut. Nak bandingkan dengan minggu pertama puasa, kenderaan meningkat di waktu selepas solat tarawih. Bukan sahaja hujung minggu, malah hari biasa. Ada kedai-kedai kopi yang beroperasi sehingga pukul 12 tengah malam ketika bulan Ramadan. Namun hanya dua kali sahaja saya melepak di kedai kopi hipster ini. Itupun beli air hot chocolate less sugar. Saya minta no sugar tapi orang kedai cakap chocolate tu dah ada sugar so dia buat less chocolate sekali. 

Membawa kenderaan sewaktu bulan Ramadan juga mencabar. Ada yang fokusnya hilang kerana lapar dan dahaga. Sudahlah fokus hilang, bawa pun laju. Tanggal 7 April 2023, Allah menyelamatkan saya daripada satu bencana. Kisahnya, saya menaiki skuter 125cc saya pergi servis tukar minyak hitam tidak jauh dari rumah saya, kira-kira 6km dari rumah saya. 

Balik dari servis, saya kena melalui satu traffic light simpang tiga yang sangat bahaya. Di traffic light itu, kami akan belok ke kanan. Apabila untuk keluar ke kanan ini hijau, mereka yang berada di laluan utama akan merah. Paling bahaya adalah kenderaan dari kiri kerana ada 2 laluan iaitu satu terus dan satu lagi untuk masuk ke simpang tempat saya keluar. Yang nak masuk simpang memang akan berhenti tetapi yang di laluan terus ini kadangkala mereka memecut laju. Alasannya ialah mereka tak nampak lampu merah. 

Saya telah beberapa kali lihat kemalangan di situ, dengan cara itu. Pada hari kejadian, saya berada di hadapan sekali. Mula-mula saya ingin himpit ke kanan tetapi ada sebuah kereta yang berhenti terlebih dari garisan hingga motosikal saya tiada ruang. Lagipun ada motosikal lain disitu. Saya pun berhenti di sebelah kiri. Tepi saya adalah sebuah lori tanah, yang saya tahu pemandunya tidak akan dapat melihat saya jika saya berhenti di hadapan lori beliau. 

Apabila lampu kami hijau, saya tidak terus keluar, saya lihat dulu sebelah kiri untuk pastikan tiada kenderaan meluncur laju langgar lampu merah. Agak risau sebab pandangan agak terhalang dengan deretan kenderaan yang dah sedia berhenti untuk masuk ke simpang tempat saya keluar ini. Lagi saya risau kerana laluan terus itu kosong, tiada kenderaan yang berhenti. Ini bahaya kerana kalau ada kereta yang tak perasan lampu merah, dia akan terus meluncur laju dan boleh membahayakan saya. Lagi pula sudah tentu saya akan masuk ke laluan tersebut kerana saya berada di kiri simpang. Nak himpit kekanan pun bahaya kerana kenderaan-kenderaan di sebelah kanan saya akan langgar saya pula.

Jadi setelah beberapa saya pun keluar sambil tengok ke kiri. Memang tak nampak apa-apa kenderaan. Lagipun kenderaan di sebelah kanan pun dah keluar juga dari simpang. Dalam hati, mesti kenderaan dari laluan utama akan nampak kami dah keluar. Rupanya tidak. Apabila motosikal saya dah berada di laluan utama sebelah kiri, dari belakang saya nampak ada kereta gelap dalam keadaan huyung hayang menekan brek, kuat bunyinya, hinggakan kenderaan yang sama-sama keluar dengan saya sampai brek juga. Motosikal sebelah kanan saya juga kelam kabut mengelak. Saya sempat lihat side mirror saya dan melihat kereta gelap tersebut, terus terbabas ke tepi jalan mengelak kami. Saya pun termasuk ke tepi jalan walaupun tak terbabas. 

Memang kecut jantung saya. Saya pergi ke kereta gelap tersebut. Pemandu seorang perempuan melayu seperti mahu menangis minta maaf pada saya. Dia kata dia tak perasan lampu dah merah. Memang kena bebel lah dengan saya. Saya kata kalau beginilah cara pemanduan awak, memang lepas ni awak akan kena lagi. Saya suruh dia ubah cara pemanduan. Berkali-kali dia minta maaf pada saya. Katanya itu memang laluan dia tapi pada kali ini dia seperti tak perasan lampu dah merah.

Selepas segalanya selesai, sampai rumah saya terus sujud syukur dan memeluk isteri dan anak anak saya. Berjumpa rakan-rakan semua saya gembira kerana masih diberi peluang. Syukur kepada Allah. 

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Hati-hati di jalan raya. Kadangkala kita berhati-hati tapi orang lain pula yang cuai. Marilah kita berdoa agar kita dan keluarga kita dilindungi.

No comments:

Post a Comment