Monday, June 23, 2014

MoU FPM bersama IJN

Pada 16 Jun lepas bersamaan hari Isnin, saya bersama-sama rakan rakan sekerja ke Institut Jantung Negara bagi menghadiri majlis menandatangani MoU di antara IJN dan UiTM. Kami bertolak dari pejabat pada waktu tengahari menaiki bas. Seronok menaiki bas kerana saya dapat menikmati pelbagai pandangan yang tidak dapat dikecapi ketika memandu. Ditambah lagi dengan keadaan seat bas yang empuk serta penghawa dingin yang sejuk dingin. 

Di Kuala Lumpur
Saya hanya sedar ketika Bas melalui Bukit Jelutong dan kemudiannya tersedar dan melihat pemandangan ini. Sampainya kami disana, solat Zuhur dahulu di surau IJN. Memang pilihan kami tepat ke IJN menaiki bas kerana keadaan tempat letak kereta yang limited. Selesai solat Zuhur, saya bersama Rahman, Nazri, Ahmad Azman dan Riduan terus menghala ke auditorium IJN untuk melihat majlis bersejarah MoU antara IJN dan UiTM. MoU ini diusahakan oleh Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM), UiTM dimana kerjasama berbentuk teknologi maklumat perubatan akan di RnD kan oleh FPM untuk diaplikasikan oleh IJN. Utusan Malaysia turut menyiarkan laporan majlis MoU ini seperti dibawah :-

UTUSAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR 16 Jun - Institut Jantung Negara (IJN) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menggalakkan pemindahan teknologi berkaitan pengurusan maklumat kesihatan.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari berkata, MoU itu merupakan platform pertukaran pengetahuan melalui perkongsian ilmu khususnya dalam pengurusan maklumat.
"Menerusi MoU ini, saya percaya ia mampu melenyapkan sempadan yang menyekat pendekatan perkongsian pengetahuan kerana mampu memberikan peluang situasi menang-menang antara kedua-dua organisasi.
"Pendekatan ini juga dilihat dapat memberi pendedahan terhadap pengurusan maklumat daripada dua perspektif berbeza iaitu fakulti daripada sudut teori manakala IJN pula tertumpu kepada sudut praktikal," katanya dalam majlis menandatangani MoU tersebut di IJN, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Robaayah dan Ketua Pegawai Operasi IJN, Akmal Ariel Mohamad Fauzi menandatangani bagi pihak IJN manakala UiTM pula diwakili Naib Canselor, Tan Sri Prof. Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar serta Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat, Prof. Madya Dr. Laili Hashim.
Robaayah berkata, usahasama itu juga akan membuka jalan bagi IJN untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan dalam menyokong pembangunan modal insan negara dalam bidang tertentu seperti perkhidmatan pengurusan maklumat kesihatan.
"MoU ini merupakan kemuncak kepada kerjasama antara Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM dengan Pusat Pengurusan Maklumat Kesihatan IJN sejak 2011," katanya.
Sementara itu, Sahol Hamid menyifatkan MoU tersebut adalah ikatan rasmi bagi perkongsian tenaga dan kepakaran di antara dua pihak dalam bidang berkenaan.
"Kerjasama dua hala ini merupakan hasrat dan aspirasi UiTM bagi mengukuhkan bidang pengurusan maklumat kesihatan di negara ini.
"Harapan saya pada satu hari nanti kedua-dua agensi ini akan menjadi peneraju utama serta menjadi model ikutan kepada semua profesional pengurusan rekod perubatan, agensi berkaitan dan semua hospital sama ada hospital kerajaan mahupun swasta," jelasnya.

Maklumat perubatan seperti rekod perubatan sebenarnya amat penting untuk diuruskan. Jika maklumat rekod perubatan ini tidak diuruskan dengan betul, berkemungkinan pesakit yang berpindah hospital akan menghadapi kelewatan dari segi bantuan perubatan kerana doktor di hospital baru terpaksa melakukan ujian kesihatan sekali lagi. 
Maklumat rekod perubatan juga perlu dipelihara kerahsiaannya agar dapat melindungi privasi pesakit. Ia juga perlu dipelihara dari musnah atau hilang kerana laporan perubatan yang diperlukan untuk tujuan insurans adalah berdasarkan maklumat rekod perubatan. Ini baru sebahagian kecil kepentingan maklumat rekod perubatan. 
Majlis sudah bermula
Pelajar FPM bergambar selesai majlis

Rush hour ketika perjalanan pulang
Kami sekali lagi menaiki bas yang sama untuk perjalanan pulang dari IJN dan sekali lagi saya hanyut dalam mimpi. Saya hanya tersedar melihatkan panorama diatas. Rupa-rupanya dah sampai di Tol Bukit Jelutong.
Akhirkata tahniah kepada rakan-rakan sekerja yang bertungkus lumus menjayakan MoU ini. Semoga FPM akan berada pada tahap tertinggi. Segala yang dilakukan bukan sahaja untuk masa kini tetapi juga untuk masa hadapan. 

No comments:

Post a comment