Sunday, January 14, 2024

Pengalaman Menggunakan Jam Garmin Instinct

 

pinjam gambar from website Garmin Official


Garmin merupakan jenama yang pernah saya gunakan kita zaman ketiadaan android player di kenderaan. Zaman tu, GPS di handphone pun tak sehebat sekarang. Potensi ketiadaan signal internet walaupun berada di tengah-tengah bandar masih tinggi.

Saya ingat lagi, waktu saya gunakan GPS Garmin tu, kena lekatkan di cermin kereta. Oleh kerana alat GPS Garmin tersebut menggunakan satelit, bila lalu dalam terowong, signal akan lost. Kadangkala bila mendung atau hujan pun signal akan lost. Kemudian ada pula GPS Tomtom namun saya tetap setia dengan Garmin kerana bagi saya Garmin merupakan antara pioneer GPS ni. 

Garmin bermula pada tahun 1989 dan diasaskan oleh dua orang yang dilahirkan dari dua benua berbeza iaitu Amerika dan Taiwan. Gary Burrell dan Min H. Kao sama-sama belajar di Amerika, namun dia dua institusi berbeza. Mereka berdua berjumpa ketika bekerja di tempat yang sama dan kemudiannya berkongsi idea untuk mencipta satu produk navigasi untuk kenderaan laut, udara dan mereka yang gemar hiking. Nama Garmin itu sendiri berasal dari gabungan nama kedua-dua mereka iaitu Gar dan Min.

Setakat ini Garmin beroperasi 86 lokasi seluruh dunia termasuk di Malaysia dan bilangan keseluruhan staf Garmin adalah 19000. Ini maklumat yang saya perolehi dari laman web Garmin sendiri. 

Jika dahulu, Garmin yang saya kenal hanyalah dengan alatan GPS sahaja, kini Garmin juga mempunyai produk lain seperti jam tangan pintar (Smartwatch). Sebelum saya menggunakan jam Samsung Watch 5, saya telah memerhatikan beberapa jenama jam fitness dan health yang lain seperti Apple, Fitbit, Suntoo dan beberapa lagi yang berasal dari jenama telefon bimbit. 

Ketika saya melakukan aktiviti fizikal seperti indoor cycling atau badminton (yang ini memang peluh), sukar untuk saya menekan touch screen Samsung Watch 5 saya. Ini akibat peluh di skrin dan juga tangan yang basah dek peluh. Yang kedua pula, jika saya ingin travel, saya terpaksa membawa charger jam saya kerana jangka hayat Watch 5 ni tak lama, paling lama saya pakai pun 2 hari. Itupun saya tak pakai lebih dari 12 jam. Yang ketiga, update-update nya menyebabkan jam saya semakin slow, berbanding kita mula-mula beli. Yang keempat pula, ia akan auto sync ke kalendar Google saya setiap kali saya connect ke handphone saya. Agak rimas apabila tiba-tiba keluar notification berkenaan event-event yang tiada kena mengena dengan saya.

Dan yang paling penting ialah, saya lebih mengutamakan maklumat yang diberikan pada saya oleh smartwatch lebih dari kecantikan skrin Amoled. Mengambil kira beberapa faktor ini, saya memilih jam Garmin Instinct 2X Solar Tactical. Sebenarnya saya tak terlintas pun untuk mengambil versi Tactical. Bukan sahaja itu, malahan tak terlintas pun nak guna jenama Garmin. Tetapi, setelah menjalankan sedikit kajian, bateri jam Garmin ni tahan. Ikut spesifikasi pengeluar di website Garmin.com.my, 40 hari merupakan jangka hayat mod smartwatch. Ini adalah mod yang saya akan 99% gunakan. Kalau guna battery saver, 60 hari. Kalau kita sentiasa dedahkan pada cahaya matahari, unlimited days of battery. Ini kerana jam ini boleh charging bateri guna Solar. 

Cerita mengenai Solar ni, memang dah proven, 2 jam Gshock saya adalah solar dan dah bertahun beli tapi bateri steady. Yang Casio ni lagi hebat, guna cahaya lampu rumah pun boleh. Saya jarang guna, so saya letak dalam kotak jam yang cahaya lampu boleh tembus dan letak berhampiran lampu rumah. Cuma Garmin ni kena solar charging guna cahaya matahari dan ada kiraan berapa lama perlu terdedah pada cahaya matahari. Senang cerita, dia nak suruh pemakai buat aktiviti outdoor.

Untuk versi Tactical ni pulak, saya dah decide nak ambil versi biasa. Namun, di kedai official Garmin, budak yang jaga tu dah ayat baik punya, sambil beri diskaun, tak pasal-pasal saya ambil juga versi Tactical. Beza sikit sahaja dengan yang norman. Size 50mm tu dah memang standard untuk Instinct 2X. Tactical ni biasanya untuk pihak military atau komando polis. Instinct ni tahan lasak, military grade tapi untuk versi Tactical dia ada mod Stealth dimana jika kita on kan, tiada sebarang alat boleh detect jam kita. Yang kedua ada mod payung terjun dan yang ketiga ada mod balistic dimana ia akan beri maklumat untuk tembakan tepat jarak jauh, yang keempat ada kill switch untuk memadam segala maklumat di jam dengan pantas, yang kelima night vision google friendly dan yang keenam ada lampu suluh led hijau. 

So kesemua penambahan mod dalam jam Tactical ni tak berguna pun dalam kehidupan saya kecuali lampu led hijau. Jam Garmin Instinct ni memang ada lampu Led putih dan kalau versi biasa ada juga merah, kalau Tactical ada versi hijau. Maknanya selain lampu led standard putih, kita boleh tukar warna lampu suluh tersebut ke hijau atau merah, bergantung pada versi jam kita. Dan kewujudan torch light di jam ni memang sangat membantu sebenarnya. Ini antara mod yang kerap saya guna. Memang terang betul lampu dia, boleh kalah lampu di handphone saya.

Akhir kata, antara sebab utama saya pilih Garmin Instinct 2X Solar Tactical ini berbanding dengan Watch 5 saya ialah:-

1. Jangka hayat bateri

2. Nampak lebih lasak (ikut kata pengeluar 'This ultratough watch features a solar charged display and rugged 50 mm polymer case. It’s water-rated to 10 ATM and tested to U.S. military 810 standards for thermal, shock and water resistance'.)

3. Bukan touch screen. Ada 5 button. 

4. Maklumat yang lebih detail untuk pelabagai perkara.

5. Senang nak dihubungkan pada apps di handphone. Lebih pantas sync maklumat antara jam dengan apps di handphone. Saya juga update guna Garmin apps di Macbook saya (guna cable).

6. Health info yang diberi nampak lebih accurate dari Watch 5. Dan lebih detail semestinya.

7. Warna hitam khas untuk versi Tactical. 

Yang nampak tak best berbanding Watch 5 saya :-

1. Skrin tak cantik, macam Gshock. Budak-budak tak suka. Mak budak pun tak suka.

2. Nampak je lasak, tapi risau juga skrinnya calar. Setakat ni tak jumpa lagi youtuber buat ujian tahan calar pada skrin. 

3. Besar dan rasa berat sikit berbanding Watch 5. Awal-awal beli tidur sekali dengan jam sebab nak ukur tidur. Tapi bila dah satu malam tu tidur tanpa jam, lagi selesa, terus dah tak pakai.

4. Info tidur macam tak berapa tepat. Tapi yang ini saya tak dapat compare dengan Watch 5 sebab saya tak pernah tidur pakai Watch 5. Jam Garmin ni pula masih tak detect kalau saya tidur siang hari. Saya belum habis kaji lagi pasal ni.

5. Awal-awal ni masih kelam kabut juga kalau nak cari maklumat di jam. Maklumlah semua pakai button. Baru 2 kali main badminton guna jam ni, setiap kali nak start main kena buka manual dalam fon dulu untuk ingatkan balik cara-cara nak detect badminton. Maklumlah baru seminggu guna jam ni. Kalau smarwatch senang je. 

6. Belum try di luar negara lagi. Kalau ikut manual, jam ni akan auto ikut waktu di lokasi kita berada. Kita boleh guna waktu GPS atau connect ke handphone untuk update waktu. Sebab tahun ni, saya belum lagi ke keluar negara yang berbeza time zone, jadi saya tak dapat nak try dulu fungsi ni. Tapi yang pasti, mesti terkial-kial jugalah nanti. 

7. Harga, lagi mahal dari Watch 5.  





Wednesday, January 10, 2024

Tahun 2024

 



Tahun 2024 telah pun berjalan selama hampir dua minggu di saat blog ini ditulis. Di minggu-minggu ini tugas saya semakin sibuk, lebih kepada menghadiri aktiviti dan mewakili boss saya merasmikan sesuatu majlis. Namun ada juga perkara-perkara yang saya dan rakan-rakan serta boss saya perlu uruskan terutama yang melibatkan kelancaran aktiviti pelajar. 

Bekerja di satu organisasi besar yang mempunyai ribuan insan, puluhan jabatan dan unit serta berbelas-belas cawangan satu Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah. Terdapat pelbagai cabaran yang perlu kami harungi setiap kali ingin memastikan aktiviti dan tugas berjalan dengan lancar.

Ini tidak mengambil kira urusan dengan pihak luar organisasi yang juga mempunyai cabaran dan halangan tersendiri. Kadangkala dah tetapkan tarikh, pihak luar pula mempunyai kekangan. Nampak mudah, tetapi apabila berlakunya perubahan tarikh, kami juga terpaksa berurusan dengan pelbagai pihak di dalam organisasi kami untuk menyelaraskan tarikh yang baru.

Disebabkan kesibukan masa, saya juga terpaksa mencuri-curi untuk update blog ini dari terbengkalai. Ada kalanya idea mencurah-curah untuk dikongsikan dengan pembaca namun masa untuk menulis pula sangat terhad. Ketika ini saya mempunyai kira-kira 10 minit sahaja sebelum saya bergegas ke tempat acara yang saya perlu hadiri mewakili boss saya. Dan setelah saya ke tempat acara, saya diberitahu bahawa penceramah belum hadir kerana ada kesesakan lalulintas luar biasa. 

Insha allah, next post saya akan menceritakan berkenaan pengalaman saya menggunakan jam Garmin, yang saya beli untuk menggantikan jam Samsung Watch 5. 

Wednesday, December 06, 2023

Internet dan Media Sosial

 


Agak lama laman ini terbengkalai dek kerana kesibukan melayani tugas dan kerja hakiki. Kelas saya pada kali ini tidak banyak, hanya dua namun tugas pentadbiran sentiasa ada. Sejak dua menjak ini juga banyak mewakili Boss saya ke acara-acara yang dianjurkan oleh pelajar. Ada yang dibuat di dalam kampus dan ada juga yang dibuat di luar kampus.

Sebagai wakil boss yang kadang kala perlu merasmikan sesuatu acara, saya kena punctual, tidak lewat. Kalau tak merasmikan pun, saya tetap kena punctual. Ketika bulan pertama saya berada dalam tugas ini, saya masih belum mahir dan tiada pengalaman. Ada satu event tu, saya diletakkan dalam senarai jemputan VIP. Wakil event dah call saya tanya saya dimana, saya jawab teruskan dahulu acara, saya sedikit lewat.

Rupanya, acara tetap tak bermula selagi saya tidak sampai. Peristiwa ini membuatkan saya berfikir yang saya tidak lagi boleh lewat. Sebarang masalah dari saya akan melibatkan puluhan orang lain. Memandangkan job scope saya melibatkan kepimpinan, saya perlu berusahan menunjukkan contoh yang baik.

Saya tahu jika saya benar-benar menghadapi kecemasan, mungkin acara boleh bermula tanpa saya, namun saya akui silap saya sengaja melengahkan masa. Sebenarnya secara jujur, saya segan dan malu berada dalam situasi dimana apabila saya masuk, saya diiringi dan hadirin semua bangun memberi penghormatan. Saya lebih selesai muncul secara menyelinap, sama seperti hadirin lain. Namun saya sedar, kini secara tidak sedar, saya kena mengikut protokol majlis.

Berbalik kepada event-event yang saya kerap hadiri sekarang, tadi saya hadir pada event bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau dikenali juga sebagai MCMC. Penceramah iaitu Puan Nailah menerangkan kepada hadirin yang terdiri 90% dari siswa dan siswi tentang perlunya melayari media sosial dan internet dengan bijak. 

Antara yang menarik bagi saya ialah tentang perangai social media user yang gemar update fake status. Seperti diterangkan dalam ceramah tadi, orang sebegini suka hidup dalam kepura-puraan. Realiti luar social media orang sebegini tidak sama dengan di dalam social medianya.

Saya adalah antara manusia yang jarang update Facebook saya. Kalau saya pergi ke satu tempat pun, saya hanya update setelah saya pulang dari tempat tersebut. Instagram saya pula menjadi tempat saya meletakkan gambar-gambar yang saya ambil menggunakan phone saya, tetapi gambar-gambarnya lebih kepada gambar pemandangan. Jarang ada muka saya dalam tu. Tiktok saya pun sama. Itupun dah lama tak berupdate. Youtube pun sama, hanya update video-video yang tiada diri saya.

Seminggu sebelum itu pula, event yang saya hadiri dan rasmikan pula melibatkan penceramah dari PDRM yang menceritakan mengenai Love Scam. Kesemua event ini dijalankan oleh sahabat saya yang saya dah kenali sejak sebelum saya masuk bekerja lagi. Ianya merupakan sebahagian dari pentaksiran kelas beliau. Bagi saya, segala ilmu dan perkongsian sangat bermanfaat. 

Rumusan dari kedua-dua program ini ialah media sosial pada asalnya diwujudkan untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara manusia tanpa mengira sempadan dan geografi namun ianya boleh menjadi tempat yang bahaya. Tanpa ilmu dan pengetahuan yang cukup, kita boleh terjebak dan menjadi samada mangsa atau pemangsa. 

Monday, October 02, 2023

Laos dan Padang

 

Ai generated image



Seperti diduga, tugas dan amanah yang diberikan pada saya ini menyebabkan saya gagal untuk update blog ini. Lebih-lebih lagi apabila saya perlu menyelesaikan pelbagai perkara dan ianya berada dalam mode 'urgent'. Kadangkala idea untuk menulis itu ada, namun untuk menterjemahkan dalam bentuk yang boleh dibaca, memerlukan waktu terluang. Waktu terluang ini lah yang sukar dicari.

Dalam masa 2-3 bulan ini, saya telah 2 kali ke luar negara atas urusan kerja. Yang pertama dari 12 hingga 16 Julai 2023 ke Vientiane, Laos dan yang kedua pada 21 hingga 25 September 2023 ke Padang, Indonesia. Yang kedua ini lebih mencabar kerana saya perlu melakukan pelbagai perkara dalam masa kurang 1 bulan setelah arahan kerja dikeluarkan. Namun ianya merupakan satu pengalaman baru, bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada orang-orang yang menguruskan segala dokumentasi dan urusan kewangan saya. 

Saya ke Laos dibawah pihak AUSC, KPT dimana ianya semua diuruskan oleh pihak mereka sementara ke Padang, Indonesia pula di bawah tempat kerja saya dan saya yang perlu uruskan kebanyakan perkara termasuk tiket dan sebagainya. Kedua-duanya memberi pengalaman yang unik kepada saya. Di Laos, saya menaiki MAS ke Bangkok dan menyambung perjalanan ke Vientiane menaiki Laos Airlines sementara untuk ke Padang, saya menaiki Air Asia. Tidak banyak direct flight ke Padang. 

Untuk ke Laos, saya mengambil masa 7 jam perjalanan, termasuk 4 jam transit di Sivanabhumi Airport, Bangkok. Ini tak termasuk sampai ke KLIA 4 jam awal. Ke Padang, hanya 1 jam perjalanan tidak termasuk sampai ke KLIA 4 jam awal. 

Saya akan menceritakan pengalaman di sana di dalam entri yang lain. 


Sunday, August 06, 2023

MacBook Air M2 dan Printer HP 2300




Baru-baru ini saya sekali lagi membeli laptop melalui Apple.com . Kali ini pilihan saya adalah Macbook Air M2. Saya pernah membeli Macbook menerusi website rasmi Apple sebelum ini dan pengalaman yang dilalui adalah sangat menyeronokkan. Kali ini saya sekali lagi menggunakan website rasmi Apple. Selain dari tidak urgent untuk menggunakan Macbook kerana Macbook Air 2020 Intel masih lagi ‘power’ dan boleh digunakan, saya juga ingin menggunakan kelebihan diskaun education store. 


Kali ini Macbook Air M2 saya datang sekali dengan Airpod 3rd Gen. Macbook ini saya upgrade RAM kepada 16GB dan juga saya upgrade charger kepada 70 watt GAN. Kalau charger standard yang diberi sekali tanpa sebarang penambahan wang adalah berkuasa 30 watt. Macbook Air 2020 saya menggunakan charger 30 watt.


Saya memesan Macbook Air M2 menerusi website Apple pada hari Khamis dan pada hari Selasa, Airpod saya sampai dahulu dari Singapore. Macbook saya pula hanya sampai ke tangan saya pada hari Rabu dan diterbangkan dari kilang Macbook di Shanghai, China. Sebenarnya Macbook ini telah selamat mendarat di Malaysia pada hari Selasa namun perlu melalui clearance kastam terlebih dahulu. Untuk Airpod, kurier yang digunakan adalah GDex untuk penghantaran di Malaysia sementara untuk Macbook, kurier yang digunakan adalah DHL. 


Pada entri sebelum ini ada yang bertanya pada saya adakah selamat membeli melalui website Apple dan jawapan saya adalah selamat kerana ini adalah kali kedua saya membuat pembelian Macbook dalam masa 3 tahun dan pengalaman yang saya lalui untuk pembelian kali ini adalah hampir sama dengan yang pertama. Cuma bezanya adalah kali ini delivery Macbook adalah menggunakan DHL, sebelum ini menggunakan UPS.


Sebenarnya saya mengharapkan delivery menggunakan UPS kerana saya merasakan bahawa UPS amat professional dalam urusan penghantaran. Namun pengalaman kali ini dengan DHL pun tak kurang hebat.


Saya tidak akan menyentuh tentang prestasi dan pengalaman menggunakan Macbook Air M2 ini kerana ada banyak website dan Youtuber yang dah melakukan reviu tentang kesemua ini. Malah ada yang melakukan benchmark lagi. Cuma apa yang boleh saya katakan ialah, Macbook kurang menggunakan memori serta bateri lebih tahan berbanding Windows based. Saya ada satu lagi laptop Windows based dan desktop di bilik ofis saya juga menggunakan windows. Saya encounter some minor errors dengan Windows dan benda ini tidak berlaku di Macbook. But my main thing to buy Mac Ialah MacOS conserve power.


Apa-apa pun, saya dah consider beberapa pesaing Macbook Air M2 ini dari jenama Dell, Asus terutama Asus S13 OLED yang lebih nipis dan ringan dari Macbook Air M2, HP dan Lenovo. In the end saya pilih Macbook. 


Saya juga couplekan Macbook saya dengan multiport hub jenis J5 Create series JCD353 dan juga bluetooth mouse Targus B582. Mula-mula nak beli Microsoft Mouse tapi yang saya nak tiada di kedai All IT. Nak juga couplekan hardware Mac dan Microsoft.


Dan sekali lagi masalah yang sama menimpa Macbook Air ini dengan Printer HP 2336 saya di rumah iaitu selepas install printer driver, printer tidak dapat print. Baru saya teringat masalah yang sama juga berlaku dengan Macbook Air 2020 Intel based saya. 


Solusinya sama sahaja iaitu download updated HP printer driver dari Apple di link ini atau ini. Kemudian add printer akan keluar HP 2300 (auto detect dari connection USB di Mac dan printer), pilih add software dan cari HP 2540 kemudian add pada printer di Mac. Selepas add, barulah printer HP 2336 boleh guna. 


Ingatkan selepas 3 tahun masalah selesai, rupanya sama je. Apa yang merugikan menggunakan cara ini ialah scanner di printer HP 2336 tak boleh guna. Print boleh guna, dan untuk check supply ink pun boleh. Nasib baik Macbook Air M2 ni ringan dan more powerful than the 2020 intel, ditambah pula dengan add on RAM. 



Monday, July 03, 2023

Tanggungjawab dan Amanah

 


Baru-baru ini saya telah diberikan tugas untuk menguruskan perihal kepimpinan dan pembangunan pelajar di tempat saya. Secara tidak langsung, saya akan berada dalam kancah Hal Ehwal Pelajar (HEP). Berada di dalam HEP bukan sesuatu yang asing bagi saya kerana saya telah membantu HEP sejak dari tahun 2002 lagi, iaitu ketika Fakulti (kini menjadi Pusat Pengajian) kami berada di Shah Alam.

Masih saya ingat ketika itu rakan saya yang bertindak sebagai penasihat pertama IMSA (Information Management Student Association) menyerahkan 'baton' kepada saya kerana beliau akan cuti belajar. Dan saya kemudiannya menjadi penasihat kedua IMSA. Saya tidak ingat samada ketika itu ada surat lantikan atau tidak. Kalau ada pun mungkin dah hilang ke mana. Yang pasti, poster lama IMSA ketika saya menjadi penasihat kedua masih ada lagi di bilik saya. Kesemua AJK Tertinggi IMSA yang ada dalam poster tersebut telah menjadi orang-orang yang berjaya dalam karier dan bidang masing-masing.

Ketika menjadi penasihat IMSA, saya beberapa kali berulang alik ke HEP Induk. Di sana, saya berjumpa seseorang yang mencadangkan agar ditubuhkan pula persatuan dalaman di Fakulti saya. Saya tak ingat siapa orang itu, namun ideanya ialah untuk mendapatkan lebih banyak bajet. Jika hanya ada IMSA sahaja di Fakulti, maka hanya ada bajet untuk IMSA sahaja yang turun. Begitulah seingat saya kata insan terbabit. Dia juga memberi contoh beberapa Fakulti lain yang ada beberapa persatuan dalaman. 

Ketika itu saya terfikir yang Fakulti saya mempunyai 4 program dan IMSA ketika itu agak struggle untuk buat program yang cenderung ke arah sesuatu program akademik kerana IMSA perlu menjadi satu persatuan yang bersifat am, bukan khusus kepada sesuatu bidang. Saya memberi cadangan kepada IMSA agar ditubuhkan persatuan dalaman berteraskan setiap program akademik. IMSA akan kekal tetapi menganjurkan program-program yang boleh melibatkan semua pelajar di Fakulti.

Saya tidak ingat bila wujudnya setiap persatuan berteraskan program akademik ini kerana saya secara jujur tidak terlibat. Saya hanya menyalurkan cadangan yang saya dapat dari insan di HEP Induk ketika itu. Apa-apa pun, saya kagum dan respect pada mereka-mereka yang berjaya menubuhkan persatuan berteraskan program akademik di Fakulti saya. Akhirnya cadangan insan dari HEP Induk tersebut berjaya direalisasikan oleh rakan-rakan sekerja saya. 

Berbalik pada tugas saya sekarang iaitu membabitkan kepimpinan dan pembangunan pelajar, secara jujurnya ia lebih mencabar kerana saya bukan sahaja perlu uruskan pelajar di Pusat Pengajian saya sahaja, yang mana ramai telah saya kenali, namun juga perlu uruskan pelajar di 2 pusat pengajian lain. Ada lebih kurang 7k kesemuanya. Ini kerana Pusat Pengajian saya telah digabungkan dengan dua Pusat Pengajian lain dan diletakkan di dalam satu Kolej Pengajian.

Saya masih dalam proses pembelajaran untuk memahami aktiviti pelajar Pusat Pengajian selain dari Pusat Pengajian saya. Ini kerana mereka mempunyai sekumpulan pelajar serta pengajian yang sedikit berbeza (ada juga yang langsung berbeza) dari Pusat Pengajian saya. Lebih menyulitkan adalah kerana lokasi fizikal juga berbeza, iaitu kira-kira 20 minit pemanduan. Lagi sukar kerana satu pusat pengajian berada dibawah pentadbiran cawangan lain, sementara dua lagi berada dibawah pentadbiran cawangan lain. Jika kita mohon kenderaan seperti bas, kita perlu mohon kepada dua cawangan berbeza. 

Di satu pusat pengajian, kolej penginapan terletak bersebelahan. Ini menjadikan bangunan akademik sentiasa dikunjungi pelajar. Di dua lagi pusat pengajian, kolej penginapan pelajar agak jauh dari bangunan akademik. Ini menjadikan bangunan akademiknya agak sepi apabila menjelang larut petang. 

Salah satu punca blog ini tidak berupdate adalah kerana kesibukan. Kebetulan pula, bulan lepas sibuk dengan pelbagai perkara besar. Balik rumah letak kepala terus tidur, tak sempat nak berangan. 

Apa-apa pun ini merupakan satu amanah yang bagi saya berat juga kerana perlu membahagikan diri ini kepada 3 pusat pengajian di 2 lokasi berbeza. Mujur di lokasi lagi satu dah ada bilik. Bagi saya, jika baik niat kita, baik lah yang akan kita dapat. 

Saturday, May 13, 2023

Tanda Tangan Dokumen di Microsoft Word

 

Perkara yang tak selalu saya buat tapi kadangkala kena buat ialah untuk sign dokumen yang dihantar melalui Microsoft Word. Ada pelbagai kaedah, antaranya copy paste signature yang telah disimpan terlebih dahulu dalam format .jpg. Saya lebih suka sign on the spot dokumen tu, jadi setiap kali saya dapat dokumen Word untuk disign, saya akan buka di laptop saya. 

Saya akan ke menu Draw, dan ada draw with trackpad dan ikut sahaja arahan. Cuma yang saya perasan kalau saya buka di desktop, saya tak jumpa Draw with Trackpad tu.

So secara ringkasnya ialah,

1. Draw 

2. Draw with trackpad

3. Move signature yang dah dilukis menggunakan trackpad itu ke lokasi di atas dokumen.

Saya tulis ni pun sebab senang nak cari kalau kena sign dokumen. Selalu sign guna pen, kadangkala je guna dokumen elektronik. Jadi bila benda jarang buat sekarang ni sebab dah banyak work at office, jenuh la nak google untuk ingatkan balik cara. Simpan sini senang.