Friday, October 10, 2025

Hidup Harmoni, Stress Pergi

 

pixabay


Dalam dunia yang semakin pantas dan penuh tekanan, hidup dengan harmoni bukan lagi sekadar pilihan, ia adalah keperluan. Harmoni bermaksud keseimbangan antara fikiran, emosi, dan tindakan, antara kerja dan rehat, antara hubungan dengan orang lain dan masa untuk diri sendiri. Apabila keseimbangan ini terganggu, kita mudah hilang fokus, cepat marah, dan merasa kosong walaupun dikelilingi kejayaan.

Hidup harmoni bermula dengan kesedaran diri. Mengenali batas kemampuan, memahami keutamaan, dan belajar untuk berkata 'tidak' apabila perlu adalah langkah awal untuk mengekalkan keseimbangan. Harmoni juga datang daripada hubungan yang sihat, menghargai perbezaan, memaafkan, dan tidak menyimpan dendam. Setiap hubungan yang tenang menyumbang kepada ketenangan dalaman kita sendiri.

Selain itu, mengurus masa dan emosi dengan bijak membantu mencipta ruang untuk kebahagiaan kecil yang sering kita abaikan seperti berjalan pagi, membaca buku, atau sekadar minum teh tanpa gangguan. Di tempat kerja pula, kegembiraan memainkan peranan penting dalam mencipta suasana harmoni. Apabila kita bekerja dengan hati yang gembira, menghargai rakan sekerja, meraikan pencapaian kecil, dan berkomunikasi dengan positif, tekanan dapat dikurangkan, dan produktiviti meningkat secara semula jadi. Lingkungan kerja yang ceria bukan sahaja mengurangkan stres, malah memberi tenaga baharu untuk terus berkarya dengan semangat.

Dalam keharmonian, kita belajar bahawa kebahagiaan bukan terletak pada seberapa banyak yang kita miliki, tetapi sejauh mana kita merasa cukup dan bersyukur dengan apa yang ada. Hidup harmoni menjadikan kita lebih sabar, lebih empati, dan lebih kuat menghadapi cabaran. Ia bukan tentang hidup tanpa masalah, tetapi bagaimana kita mengekalkan ketenangan walaupun di tengah ribut kehidupan.

Apabila hati tenang, keputusan lebih jelas, apabila hidup seimbang, langkah kita lebih mantap.



Wednesday, September 24, 2025

Pengalaman Ke Jakarta

 



Baru-baru ini, saya berpeluang ke Jakarta selama 5 malam atas urusan kerja, dengan semua kos perjalanan ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan. Perjalanan ini bukan sahaja memenuhi tuntutan tugas, tetapi juga menjadi peluang untuk merasai sendiri suasana, budaya dan gaya hidup di kota metropolitan terbesar di Indonesia.



Hari pertama bermula seawal subuh. Sekitar jam 6.30 pagi saya sudah berada di pintu pelepasan untuk proses boarding, dan tepat jam 6.55 pagi pesawat berlepas meninggalkan Kuala Lumpur menuju Bandar Udara Internasional Soekarno Hatta, Jakarta. Cuaca cerah memberi pemandangan indah dari udara, dan selepas hampir dua jam penerbangan, kami selamat mendarat di Terminal 2 pada jam 8.05 pagi. Selesai urusan imigresen dan pengambilan bagasi, kami disambut oleh wakil Universitas Negeri Jakarta yang membawa kami menaiki bas terus ke penginapan di Malaysia Hall, Menteng.

Sepanjang berada di Jakarta, urusan kerja dijalankan di beberapa lokasi utama termasuk Universitas Negeri Jakarta dan Bekasi. Lalulintasnya memang boleh tahan teruk, typical Jakarta traffic jam yang kadang-kadang membuat perjalanan terasa berganda lebih lama berbanding jarak sebenar. Ada masa kami bergerak dengan bas universiti, ada masa kami memilih Grab untuk lebih fleksibiliti. Menariknya, aplikasi Grab yang sudah dipasang di telefon di Malaysia boleh terus digunakan di Jakarta tanpa sebarang tetapan tambahan hanya buka aplikasi, set lokasi dan terus book ride.

Waktu siang biasanya penuh dengan mesyuarat dan tugasan rasmi, tetapi sebaik selesai urusan kerja, kami tidak lepaskan peluang untuk explore Jakarta. Antara tempat yang sempat kami lawati termasuk Thamrin City, Grand Indonesia, Plaza Indonesia, Sarinah, Blok M, dan Pasar Tanah Abang.

Ketika berjalan di Blok M, saya tertarik dengan deretan t-shirt murah yang cantik, termasuk satu t-shirt bertulis “Jakarta” dengan harga hanya RM20, dan datang dengan pelbagai design. Kalau di Malaysia, harganya boleh mencecah RM30 hingga RM50. Cuma size XL nya lebih kurang size L di Malaysia. Saya terus beli lima helai dan dapat diskaun lagi. Proses bayaran juga mudah, saya gunakan QR Maybank. Sebenarnya, di hampir semua tempat di Jakarta, pembelian boleh dibuat menggunakan debit kad Malaysia atau pembayaran QR. Malah, kawan saya hanya menggunakan TnG eWallet dari Malaysia untuk semua transaksi, sehingga habis baki dalam e-walletnya.

Dari segi makanan, kami berpeluang menikmati Iga Bakar di dua restoran berbeza pada dua malam berasingan, setiap satu dengan rasa dan gaya tersendiri. Sedap dan murah, tak dapat harga macam tu di tempat kita. Pada satu petang, kami makan di restoran Pagi Sore yang terkenal dengan masakan Padang, dan pada satu tengah hari, kami mencuba menu di Tuan Mudo di kawasan Pantai Indah Kapuk (PIK).

Kalau mahu lebih bajet, memang kena cuba street food. Salah satu pengalaman yang saya dan kawan saya cuba ialah makan di lorong penuh gerai tepi jalan betul-betul di hadapan Grand Indonesia. Suasananya meriah dengan bau sate yang dibakar, bakso yang sedang mendidih, nasi ayam gepuk yang harum bersama sambal pedas menyengat, semuanya bercampur memenuhi udara malam. Saya tidak berani mencuba kerana mahu menjaga perut sepanjang travel, tetapi kawan saya makan dengan selera dan alhamdulillah perutnya baik-baik sahaja. Untuk minuman, kami kekal dengan air botol demi keselamatan perut. Prinsipnya mudah, bila travel, kena jaga kesihatan.


Dari segi kos, banyak perkara di Jakarta jauh lebih murah berbanding Kuala Lumpur. Contohnya, makan di Pagi Sore untuk lima orang lengkap dengan pelbagai lauk hanya menelan kos kurang daripada RM300. Untuk ole-ole, saya membeli beberapa botol perfume Alchemist untuk keluarga dan rakan-rakan pada harga sekitar RM50 sebotol. Di Grand Indonesia, saya membeli perfume HMNS dengan harga yang lebih kurang sama.

Hampir setiap malam sebelum pulang ke Malaysia Hall, kami akan singgah di Indomaret, ibarat 7-Eleven versi Indonesia untuk membeli coklat, roti dan kudapan bagi sarapan esoknya, memandangkan Malaysia Hall tidak menyediakan sarapan. Walaupun begitu, kos penginapan di sini sangat berpatutan, dan biliknya selesa seperti hotel lengkap dengan penghawa dingin, menjadikan rehat malam kami lebih berkualiti.

Selain itu, kami turut ke PIK By The Sea di mana saya membeli dua beg tangan jenama KAMI untuk keluarga dengan harga sekitar RM250 untuk dua, murah dan berkualiti. Di lokasi sama, saya membeli beberapa botol kecil perfume Saff&Co pada harga sekitar RM20 setiap satu. Bau semua local brand perfume ini sangat wangi dan unik, cuma jangan sembur terlalu banyak kerana baunya agak kuat jika berlebihan. Ini nak bagi souvenir pada jiran-jiran.

Secara keseluruhannya, local brand Indonesia sangat menarik, harga mesra poket rakyat Malaysia dan kualitinya pula not bad at all. Satu-satunya kekurangan ketara di Jakarta ialah lalu lintasnya yang sesak, malah boleh dikatakan berganda dari Kuala Lumpur. Waktu puncak, perjalanan sejauh 3km dengan Grab pun boleh mengambil masa sehingga 20–30 minit. Namun, gabungan harga yang berpatutan, pengalaman membeli-belah yang memuaskan, makanan yang lazat, dan suasana bandar yang penuh warna-warni tetap menjadikan kunjungan ke Jakarta ini pengalaman kerja dan kembara yang sangat berbaloi.

Repeat? Sudah tentu bersama famili pula. 


Monday, August 25, 2025

Fitnah: Satu Sifat Keji Yang Boleh Hancurkan Hidup


 



Pernah dengar orang kata, “fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh”? Memang betul. Fitnah ni antara sifat paling keji sebab dia bukan saja jatuhkan maruah orang, tapi boleh runtuhkan kepercayaan dalam masyarakat. Senang cerita, fitnah ibarat virus, cepat merebak, susah nak rawat.

Bila seseorang kena fitnah, hidup dia boleh terus berubah. Bayangkan orang tuduh benda yang kita tak buat,  reputasi rosak, kawan menjauh, kerja pun boleh hilang. Kadang-kadang sampai orang tu down, hilang keyakinan diri. Itu baru satu individu, belum kira kesannya pada keluarga dan masyarakat. Belum cerita mangsa fitnah mengamuk balas dendam lagi. 

Sekarang ni lagi bahaya sebab kita ada social media. Dengan satu klik “share”, cerita palsu boleh sampai ke ribuan orang dalam masa beberapa saat. Yang sedihnya, ramai percaya tanpa semak fakta dulu. Inilah punca pergaduhan, unfollow, unfriend, sampai ada yang bermusuhan bertahun-tahun. All just because of a lie.

Padahal, kalau kita semua amalkan simple habit, check dulu info, jangan cepat trigger dengan cerita sensasi, dan fikir dua kali sebelum post, banyak masalah boleh elak. Think before you click.

Masyarakat yang sihat lahir daripada nilai honesty, trust, dan respect. Bila fitnah berleluasa, semua tu hilang. Sebab tu elakkan fitnah bukan saja tuntutan agama, tapi juga tanggungjawab sosial kita. Kalau kita jaga lidah dan jari (keyboard), kita bukan saja selamatkan maruah orang lain, tapi juga cipta suasana yang lebih tenang dan harmoni untuk semua.

So next time dengar gosip atau cerita pelik, jangan terus percaya. Kadang-kadang, diam itu lebih baik daripada kita jadi penyebar fitnah. 

Spread kindness, not lies.


Tuesday, August 05, 2025

GPT Plus ada Limit?




Kalau anda biasa guna ChatGPT versi percuma, ChatGPT Plus ni ibarat naik taraf ke “first class”. Dengan langganan ni, anda akan dapat akses kepada model lebih pintar iaitu GPT 4o, yang bukan sahaja lebih bijak, tapi juga lebih laju dan stabil walaupun waktu ramai orang tengah guna.

Selain respons yang pantas, ChatGPT Plus juga bagi peluang anda cuba ciri-ciri baru lebih awal sebelum pengguna percuma. Memang sesuai untuk penulis, pelajar, peniaga online, atau sesiapa sahaja yang nak idea cepat tanpa perlu tunggu lama. Pendek kata, kalau anda selalu bergantung pada ChatGPT untuk kerja atau projek, ChatGPT Plus memang berbaloi untuk dipertimbangkan.

Tapi ada satu benda yang ramai tak tahu, walaupun guna ChatGPT Plus, fungsi image generation (cipta imej AI) masih ada had penggunaan. Baru-baru ni saya sendiri kena “time-out”. Tengah syok minta ChatGPT buat gambar, tiba-tiba keluar mesej yang kata saya dah capai limit. Kena tunggu 30 hari baru boleh guna semula.

Limit ni dibuat supaya sistem tak terlalu dibebankan, terutamanya bila ramai pengguna serentak buat permintaan imej. Jadi walaupun kita guna Plus, tetap ada kuota tertentu setiap bulan. Bila kuota habis, semua permintaan gambar akan “pause” sampai kitaran seterusnya bermula.

Tip saya, guna fungsi image generation ni secara bijak, simpan permintaan untuk projek penting atau idea yang betul-betul nak guna, bukan semua benda nak jadikan gambar (macam saya yang minta lukis kopi panas dalam 10 gaya berbeza ).

Secara keseluruhannya, ChatGPT Plus memang satu pelaburan yang bagus kalau anda kerap guna ChatGPT untuk kerja, belajar, atau projek kreatif. Ia memberi kelajuan, kestabilan, dan akses kepada teknologi AI yang lebih pintar. Walaupun ada had untuk generate imej, kelebihan lain yang ditawarkan memang berbaloi dan boleh menjadikan pengalaman anda dengan ChatGPT jauh lebih lancar dan menyeronokkan.


Sunday, June 29, 2025

Satu Aplikasi untuk Semua? Menangani Kepenatan Loyalty App di Telefon Anda

 


                                  


Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, program loyalty “kumpul points” telah berkembang dengan pesat di pelbagai sektor, daripada kafe kopi dan restoran hingga ke pasaraya dan juga pelbagai bisnes lain. Setiap jenama berlumba-lumba menawarkan ganjaran menarik untuk mengekalkan pelanggan, menyebabkan pengguna kini mempunyai puluhan aplikasi loyalty di telefon pintar mereka. Walaupun matlamatnya ialah meningkatkan customer engagement dan meningkatkan  pembelian berulang, ledakan ini turut menimbulkan cabaran baru seperti kebanjiran aplikasi dan kesukaran menjejaki mata ganjaran. 

Saya tidak pasti samada Malaysia pernah mempunyai satu apps loyalty yang menempatkan pelbagai merchant. Tetapi seingat saya, sejak berakhirnya era kad loyalty dan diganti dengan apps ini, saya berhadapan dengan pelbagai jenis apps loyalty yang berbeza. 

Saya sendiri mempunyai pelbagai apps loyalty yang berbeza di telefon saya. itu tak termasuk apps yang saya belum install dan purposely tak install sebab kena bayar yearly fee. Bayangkan satu telefon penuh dengan notification “You’ve earned 10 points!” setiap kali buka app. Adakalanya saya confuse nak check point balance kat mana, expired bila, atau nak redeem guna app yang mana. Dah la setiap apps berbeza-beza interfacenya. Ada yang langsung tak user friendly. Nak scan apps untuk collect points pun susah. Storage penuh, battery cepat habis, dan notification overload buat saya rasa app fatigue. Kalau saya tambah satu atau dua apps lagi sebab promo menarik, saya risau nanti susah nak manage semuanya, so sometimes I just ignore new loyalty offers altogether.

Kadangkala terfikir ada baiknya untuk buat satu apps yang boleh integrasikan semua apps loyalty di Malaysia ini. Lagi cantik kalau boleh integrasikan apps loyalty ini merentas sempadan negara. Antara beberapa perkara positif yang terhasil dengan penggunaan 1 apps loyalty untuk semua merchant ini ialah:-

Pengurusan Mata Ganjaran Yang Mudah

Pengguna hanya perlu buka satu aplikasi untuk semak baki, tarikh luput, dan tawaran terkini dari semua program loyalty. Tiada lagi perlu bertukar-tukar antara pelbagai apps atau risau terlupa ganjaran mana yang hampir luput. Kadang-kadang masa nak bayar di cashier, masa tu la kelam kabut cari apps loyalty kedai yang kita pergi tu. 

Penjimatan Storan dan Prestasi Telefon

Dengan hanya satu aplikasi utama, storan peranti tidak akan cepat penuh dan prestasi telefon pintar kekal lancar. Ini juga mengurangkan penggunaan data dan bateri berbanding menjalankan berbilang aplikasi berlainan. 

Insight & Tawaran Yang Lebih Personal

Penggunaan 1 sahaja apps boleh mengumpul data ganjaran dari semua merchant untuk membina profil pembelian pengguna. Ini membolehkan penawaran promosi yang lebih relevan dan waktu terbaik untuk double-points, sekali gus meningkatkan engagement dan kepuasan pelanggan.

Namun perlu diingatkan kepada apps developer akan beberapa cabarang yang perlu mereka hadapi. Saya sertakan 3 cabaran utama. Mungkin ada lagi cabaran yang wujud.

Berikut tiga cabaran utama bagi membangunkan dan mengoperasikan aplikasi agregator loyalty di Malaysia:

Integrasi Data dan API Merchant

Setiap jenama loyalty menggunakan sistem dan format data berbeza, mungkin ada yang tiada API langsung dan ini menyukarkan proses penyelarasan data secara real-time. Pasukan app developer perlu membina 'connectors' khusus, serta menguruskan perubahan berkala pada sistem merchant.

Keselamatan & Privasi Pengguna

Penggunaan satu platform untuk menyimpan maklumat peribadi, credential dan baki mata ganjaran melibatkan data sensitif. Menjamin data encryption, kepatuhan kepada PDPA, dan key management yang selamat adalah kritikal bagi mengekalkan kepercayaan pengguna.

Sokongan dan Kerjasama Merchant

Untuk memastikan kelancaran pengumpulan dan penebusan points, aplikasi perlu mendapat kerjasama aktif semua merchant terlibat. Ini memerlukan rundingan komersial, perjanjian revenue share, dan komitmen merchant dari segi teknikal dan operasi.


Dengan hanya satu aplikasi loyalty yang menempatkan pelbagai merchant, pengguna di Malaysia mampu menikmati kemudahan mengurus semua mata ganjaran dalam satu platform yang mesra pengguna, tanpa perlu risau tentang masalah mencari apps loyalty berbeza bagi setiap merchant, kebanjiran apps di skrin phone dan notifikasi berlebihan. Merchant pula dapat memfokuskan sumber kepada memperkukuh tawaran ganjaran dan analisis data pelanggan, bukannya menyelenggara pelbagai apps berasingan. Walaupun cabaran teknikal dan kerjasama dengan pelbagai jenama perlu diatasi, potensi untuk meningkatkan engagement pelanggan serta merangsang pertumbuhan ekosistem perniagaan tempatan menjadikan inisiatif ini sangat berbaloi untuk diterokai.






Thursday, June 12, 2025

Trend Penyelidikan Keusahawanan

 



Bidang keusahawanan telah mengalami perkembangan pesat dalam dunia akademik dan praktikal sejak dua dekad yang lalu. Sebelum ini, penyelidikan keusahawanan lebih tertumpu kepada aspek ekonomi dan penciptaan perniagaan baharu. Namun, kini pendekatan penyelidikan semakin meluas merangkumi pelbagai disiplin seperti psikologi, sosiologi, pengurusan dan teknologi.

Baru-baru ini saya ada membaca satu artikel berkenaan trend penyelidikan di dalam bidang keusahawanan. Artikel yang ditulis oleh Duan pada tahun 2023 yang bertajuk Knowledge mapping of entrepreneurship research during COVID-19 and forecasting research directions for the post-pandemic era sangat menarik untuk dikupas. Duan menganalisis struktur, perkembangan dan trend masa depan penyelidikan keusahawanan menggunakan kaedah bibliometrik. Sumber data yang dianalisa oleh Duan adalah sebanyak 3,078 dokumen dari pangkalan data Web of Science (WOS). Artikel yang dianalisa adalah dalam tempoh masa 1990 hinggalah 2019 dan beliau menggunakan perisian CiteSpace serta teknik bibliometrik.

Duan juga mendapati bahawa penyelidikan keusahawanan semakin berkembang sejak tahun 2000 dimana topik penyelidikan berubah daripada teori ekonomi kepada perspektif psikologi, sosiologi dan pengurusan. Ini secara tidak langsung telah menghasilkan kluster penyelidikan keusahawanan yang terdiri dari:-

  • Opportunity recognition
  • Entrepreneurial orientation
  • Social entrepreneurship
  • Corporate entrepreneurship
  • Institutional theory
  • Effectuation theory

Duan juga mendapati bahawa trend penyelidikan baru yang meningkat ialah social and sustainable entrepreneurship, inovasi dan juga entrepreneurial ecosystems. Teori effectuation serta institutional logic juga semakin mendapat perhatian. Saya tertarik dengan dua perkara di sini iaitu social entrepreneurship dan teori effectuation. Berdasarkan pembacaan saya, teori effectuation menekankan bahawa keusahawanan bukan hanya tentang merancang masa depan, tetapi mencipta masa depan berdasarkan apa yang ada sekarang. Ia sangat berguna dalam dunia yang kompleks dan berubah-ubah seperti yang kita sedang hadapi. 

Sementara itu, social entrepreneurship atau keusahawanan sosial merujuk kepada aktiviti keusahawanan yang bukan sahaja bertujuan untuk menjana keuntungan, tetapi juga menyelesaikan masalah sosial, ekonomi, atau alam sekitar dalam masyarakat. Usahawan sosial menggunakan pendekatan inovatif untuk memberi impak positif dan mampan kepada komuniti. Keusahawanan sosial, selain keuntungan, memberi perhatian lebih kepada perubahan sosial sesuatu komuniti. Kejayaan usahawan sosial ini lebih kepada perubahan sosial dan bukan keuntungan semata-mata. 

Usahawan sosial membantu masyarakat, seperti orang miskin, pelajar tercicir, orang kurang upaya atau menjaga alam sekitar. Mereka guna idea kreatif dan tetap menjana duit, namun matlamat utama ialah memberi kebaikan kepada orang lain, bukan untuk jadi kaya. Contohnya, kafe yang mengambil Orang Kurang Upaya sebagai pekerja mereka. 

Berbalik pada artikel Duan ini, beliau memberi beberapa recommendation untuk para penyelidik di dalam bidang keusahawanan antaranya menggalakkan penyelidikan berbentuk inter disciplinary atau rentas disiplin dan kajian tentang keusahawanan digital dari segi daya tahan dan dynamic resilience mereka. 

Secara keseluruhannya, trend penyelidikan dalam bidang keusahawanan menunjukkan perkembangan yang semakin luas dan pelbagai. Kajian kini tidak lagi terbatas kepada penciptaan perniagaan semata-mata, tetapi turut melibatkan aspek sosial, teknologi, kelestarian, dan tingkah laku usahawan dalam dunia yang sentiasa berubah. Perkembangan ini mencerminkan keperluan untuk pendekatan penyelidikan yang lebih holistik dan merentas disiplin, agar bidang keusahawanan terus relevan dan memberi impak yang besar kepada pembangunan ekonomi dan sosial. Para penyelidik digalakkan untuk meneroka bidang-bidang baharu dan memberi tumpuan kepada isu-isu semasa yang dapat menyumbang kepada pemahaman dan pengukuhan ekosistem keusahawanan secara menyeluruh.

Sumber rujukan : Duan, C. (2023). Knowledge mapping of entrepreneurship research during COVID-19 and forecasting research directions for the post-pandemic era. Aslib Journal of Information Management. https://doi.org/10.1108/ajim-11-2022-0504



Sunday, June 01, 2025

Tablet di Tahun 2025 : Masihkah Relevan?

 




Tablet adalah sejenis peranti elektronik mudah alih yang berfungsi sebagai komputer peribadi dengan skrin sentuh. Ia menggabungkan kelebihan komputer riba dan telefon pintar, membolehkan pengguna melakukan pelbagai tugas seperti melayari internet, menonton video, membaca buku digital, bermain permainan, dan menggunakan aplikasi. Dengan saiz skrin yang lebih besar berbanding telefon pintar tetapi lebih mudah dibawa berbanding komputer riba, tablet menjadi pilihan popular untuk kegunaan harian, pembelajaran, dan juga pekerjaan.

Tablet mula diperkenalkan sebagai peranti komputer mudah alih yang menggabungkan ciri skrin sentuh dengan fungsi komputer peribadi. Idea awal tablet sudah wujud sejak tahun 1960-an, seperti dalam konsep “Dynabook” oleh Alan Kay pada tahun 1968, yang membayangkan komputer kecil dan ringan untuk pendidikan.

PDA atau Personal Digital Assistant adalah peranti elektronik mudah alih yang popular pada tahun 1990-an hingga awal 2000-an, sebelum kemunculan telefon pintar moden. Fungsi utama PDA adalah untuk membantu pengurusan peribadi seperti kalendar, jadual, alamat, dan nota. Selain itu, PDA juga boleh digunakan untuk menghantar dan menerima emel, melayari internet secara asas, serta memasang aplikasi tertentu.

Salah satu contoh PDA yang terkenal ialah O2. Peranti ini boleh dianggap sebagai gabungan PDA dengan ciri telefon mudah alih, yang pada masa itu dikenali sebagai smartphone awal. O2 biasanya dilengkapi dengan sistem operasi seperti Windows Mobile, mempunyai stylus untuk input skrin sentuh, dan membolehkan pengguna mengakses aplikasi pejabat serta sokongan untuk internet.

Secara ringkas, PDA adalah perintis kepada teknologi peranti pintar masa kini. Ia meletakkan asas bagi pembangunan telefon pintar moden, dengan menggabungkan ciri pengkomputeran mudah alih, sambungan komunikasi, dan aplikasi pejabat dalam satu peranti yang ringkas dan praktikal.

Tablet mula mendapat perhatian serius apabila Apple melancarkan iPad pada tahun 2010. iPad berjaya menarik minat pengguna dengan reka bentuk yang ringkas, prestasi baik, dan sistem operasi mesra pengguna. Sejak itu, tablet terus berkembang dengan pelbagai jenama seperti Samsung Galaxy Tab, Microsoft Surface, dan lain-lain, menjadikannya alat serbaguna yang sesuai untuk pelbagai keperluan harian.

Di tahun 2025, tablet semakin canggih dan memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang kehidupan. Kegunaannya bukan sekadar untuk hiburan semata-mata, tetapi juga sebagai alat produktiviti, pembelajaran, dan kreativiti. Berikut adalah beberapa kegunaan utama tablet pada tahun 2025:

Pendidikan

Boleh digunakan secara meluas sebagai buku teks digital dan alat pembelajaran interaktif di sekolah dan universiti.

Membolehkan pelajar mengikuti kelas secara maya dan hibrid dengan lancar.

Produktiviti dan Kerja Profesional

Digunakan sebagai pengganti komputer riba untuk tugasan pejabat, terutamanya dengan sokongan keyboard magnetik dan stylus pintar.

Sesuai untuk mesyuarat video, mencatat nota, mengedit dokumen, dan melukis reka bentuk.

Aplikasi produktiviti seperti Microsoft 365 dan Google Workspace dioptimumkan untuk tablet.

Kreativiti dan Reka Bentuk

Menjadi alat utama untuk pereka grafik dan artis digital dengan sokongan stylus yang responsif. Saya pernah melihat seseorang menghasilkan lukisan yang cantik menggunakan stylus dan Ipad.

Digunakan untuk menghasilkan ilustrasi digital, lukisan, video editing, dan muzik. Rakan-rakan saya membawa tablet ke studio muzik untuk memaparkan lirik dan chord lagu yang mereka ingin mainkan. 

Hiburan dan Gaming

Menjadi platform popular untuk permainan mudah alih dengan skrin besar dan grafik yang hebat pada sesetengah high end tablet.

Digunakan untuk menonton video streaming seperti Netflix, YouTube, dan Disney+.

Menyokong permainan cloud gaming dengan prestasi tinggi.

Sambungan Pintar dan Kawalan Rumah

Digunakan sebagai pusat kawalan rumah pintar – untuk mengawal lampu, penghawa dingin, kamera, dan peranti lain.

Integrasi dengan sistem seperti Google Home.


Saya sendiri menggunakan iPad Mini. Pada asalnya, saya beli hanya untuk membaca eBook dan eMagazine. Namun, lama-kelamaan, saya dapati tablet ini sebenarnya sangat versatile. Setiap malam, saya akan gunakan iPad untuk browsing internet, menonton YouTube, TikTok, dan content-content santai yang lain. Bagi saya, malam adalah waktu untuk wind down dan relax.Telefon saya pula, biarlah dia ‘rest’ dulu selepas seharian sibuk dengan WhatsApp kerja, calls, dan urusan lain. Kadang-kadang, saya juga gunakan iPad untuk mencatat nota penting semasa mesyuarat atau perbincangan. Yang paling best, semua nota ni sync terus ke phone saya, so anytime nak rujuk semula, memang senang.

Honestly, iPad Mini ni memang pilihan yang tepat, ianya kecil, ringan, dan super convenient

Secara amnya, tablet di tahun 2025 bukan hanya alat hiburan, tetapi juga platform serba guna yang menyokong pelbagai aspek kehidupan, dari pembelajaran, pekerjaan, kreativiti, hingga kesihatan. Dengan teknologi yang semakin canggih seperti AI, 5G/6G, dan peranti pintar, tablet menjadi salah satu peranti penting yang membantu manusia menghadapi cabaran masa depan. Menjawab persoalan adakah tablet masih relevan di tahun 2025, jawapan saya YA.