Saturday, March 28, 2026

Aidilfitri dalam Era Moden: Antara Tradisi dan Realiti

 



Syawal 2026 hadir lagi. Takbir bergema, juadah terhidang, dan jalan raya sesak dengan gelombang anak perantau pulang ke kampung halaman. Dalam suasana yang penuh kegembiraan ini, terselit juga pelbagai cerita dan realiti semasa yang menjadikan Hari Raya kali ini sedikit berbeza daripada sebelumnya.

Saya seperti biasa, mengharungi kesesakan lalulintas di lebuhraya untuk pulang ke kampung. Paling dinantikan adalah iftar di dalam perjalanan pulang. Ini kerana saya sering pulang pada waktu petang. Kali ini, kami iftar di plaza tol dimana saya akan keluar exit paling dekat sewaktu jam hampir ke waktu iftar. Wife dan siap sediakan bekal untuk iftar dan anak-anak pun happy dengan suasana iftar di plaza tol. Bagi mereka, pengalaman seperti ini bukan berlaku hari-hari, hanya setahun sekali.

Hari Raya Aidilfitri tahun ini kita dapat saksikan beberapa perkara yang bukan sahaja melibatkan diri sendiri, tetapi juga negara dan dunia. Antara yang menjadi topik perbualan ialah krisis di negara teluk yang boleh memberi impak kepada ekonomi negara kita. Ia juga secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap diri kita dan perubahan gaya hidup kita. Dan seperti yang kita tahu, penurunan subsidi RON95 dari 300 ke 200 liter telah pun diumumkan. Pada hemat saya, di saat dunia mengalami krisis, perkara ini memang telah dijangka, dan secara tidak langsung memerlukan sedikit adjustment dalam lifestyle sebelum ini.

Saya melihat akan kepentingan merancang perbelanjaan dan kewangan dengan lebih efektif. Jika sebelum ini, saya ada merancang untuk membeli beberapa item, kini saya perlu mendahulukan mana yang lebih utama. Which is bagi saya, bagus juga kerana item-item yang saya rancang nak beli selepas raya ini ada yang tiada keperluan mendesak.

Satu lagi perkara baru yang saya perhatikan kali ini ialah penggunaan AI dalam ucapan hari raya. Semakin ramai rakan-rakan yang menggunakan AI untuk edit gambar sendiri dan keluarga untuk disesuaikan dengan ucapan selamat hari raya. Gambar yang dibantu oleh AI ini antaranya memaparkan diri sendiri dan keluarga, ucapan selamat hari raya dan juga background gambar yang menarik. Kadangkala seperti mengambil gambar di studio. Ada juga yang menggunakan AI untuk menghasilkan video ucapan selamat hari raya. Saya pula guna AI untuk hasilkan lagu raya sendiri. Dapat dilihat bahawa majoritinya mempunyai akses kepada AI tools seperti Gemini, Chatgpt dan lain-lain dan bukan sekadar ada akses, tapi tahu basic prompt untuk hasilkan gambar raya yang menarik.

Lagi satu perkara yang saya lihat pada Hari Raya kali ini ialah lambakan letupan mercun-mercun 'hari merdeka'. Ada yang mempunyai beratus shot. Kalau dulu, bila dengar letupan mercun 'hari merdeka' atau gen saya panggil mercun KLCC, memang auto keluar rumah nak saksikan pesta mercun mahal. Tapi tidak untuk edisi raya tahun ni, merata-rata mercun KLCC ni dimainkan, sampai jadi bosan pula. Main mercun mengalahkan Hari Raya Cina. Itu belum cerita gerai mercun meletup dan terbakar. 

Dalam konteks Hari Raya 2026, mungkin sudah tiba masanya kita melihat semula budaya ini, adakah kemeriahan itu perlu dibayar dengan risiko? Atau bolehkah kita meraikan Aidilfitri dengan cara yang lebih selamat, terkawal dan berhemah, tanpa menghilangkan makna sebenar perayaan itu sendiri?

Dari konteks pemakanan ketika Hari Raya kali ini, saya lebih berhati-hati untuk mengambil makanan seperti rendang daging dan any meat based, begitu juga lemang dan ketupat. Memang makan sepotong dua sahaja. Air manis memang saya pangkah terus, kuih raya je masih makan namun kuantiti tak sebanyak tahun sebelum ini. Dan keadaan diri sendiri yang selsema, sore throat dan batuk juga menjadikan selera tak terlalu tinggi ketika ziarah hari raya.

Lalulintas di highway, sesak seperti biasa. Namun saya agak bernasib baik kerana kesesakan yang saya tempuh hanya seperti hujung minggu. Kelewatan yang dihadapi juga sekitar 20-30 minit dari waktu biasa. Masa balik sahaja kelewatan hampir sejam. 

Kali ini, berlaku sedikit teka-teki samada Syawal jatuh pada Jumaat atau Sabtu, dan terdapat posting-posting di media sosial menerangkan secara ilmiah beserta bukti bahawa anak bulan belum cukup matang pada waktu ianya diteropong iaitu petang Khamis.  Tukang post pula memang sebelum-sebelum ini gemar post tentang astronomi dan meteorologi, bukti bahawa ilmu yang dimiliki lebih dari golongan marhain biasa. Dan ternyata benar, Syawal jatuh pada Sabtu walaupun pagi Khamis masih ada posting yang cuba meyakinkan reader bahawa Syawal jatuh pada Jumaat, dan posting sebegini datang dari orang yang baru 2-3 hari tiba-tiba cerita pasal astronomi. 

Hari Raya 2026 hadir dengan pelbagai warna dan realiti, daripada bunyi mercun yang mengundang persoalan keselamatan, juadah enak yang menguji disiplin kesihatan, hingga kesesakan trafik yang mencabar kesabaran sepanjang perjalanan pergi dan balik. Dalam masa yang sama, bayangan krisis ekonomi global turut memberi kesan kepada cara kita berbelanja dan meraikan perayaan.

Namun di sebalik semua itu, nilai sebenar Hari Raya tetap tidak berubah. Ia bukan sekadar tentang kemeriahan, tetapi tentang kesederhanaan, keselamatan, kesihatan dan keinsafan. Mungkin inilah masanya untuk kita kembali kepada asas iaitu meraikan Aidilfitri dengan penuh makna, berpada-pada, dan sentiasa menghargai apa yang kita miliki bersama insan tersayang.

Hari Raya mengajar kita satu perkara penting, kita mungkin boleh kawal perbelanjaan, tapi agak sukar mengawal tangan sendiri bila nampak kuih raya atas meja.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.


Thursday, March 05, 2026

iOS 26.3 dan Unifi: Kenapa Aplikasi iPhone Jadi Perlahan? Pengalaman dan Penyelesaian

 




Bulan lepas, saya membuat keputusan untuk mengemas kini device saya kepada iOS 26.3, iPadOS 26.3 dan juga MacOS 26.3. Seperti biasa, setiap kali Apple mengeluarkan kemas kini, harapan kita adalah untuk mendapat peningkatan prestasi, eliminating known bugs, dan mungkin juga user experience yang lebih lancar.

Namun kali ini pengalaman saya sedikit berbeza. Selepas kemas kini tersebut, saya mula menyedari beberapa perkara yang agak pelik berlaku apabila menggunakan rangkaian UniFi di rumah. Aplikasi tertentu mengambil masa lebih lama untuk dimuatkan, thumbnail YouTube kadang-kadang tidak muncul, dan ada masa sambungan internet terasa seperti tersekat walaupun kelajuan WiFi sebenarnya normal. 

Pada mulanya saya menyangka ia mungkin sekadar gangguan sementara, atau mungkin masalah pada router. Tetapi selepas beberapa percubaan seperti, menghidupkan dan mematikan airplane mode, serta mencuba aplikasi yang sama melalui pelayar Safari, saya mula tertanya-tanya sama ada terdapat kaitan antara kemas kini iOS 26.3 dan tingkah laku rangkaian ini apabila digunakan bersama UniFi. Dan lebih aneh, ianya hanya berlaku pada iOS dan iPadOS, tapi tak berlaku pada MacOS.

Perkara ini membuatkan saya cuba membandingkan pengalaman penggunaan pada peranti lain. Apabila saya menggunakan Macbook dengan macOS, saya langsung tidak mengalami masalah yang sama walaupun menggunakan rangkaian UniFi yang sama. Semua laman web dan servis internet berfungsi seperti biasa.

Kemungkinan yang terlintas di fikiran saya ialah perbezaan cara akses internet antara kedua-dua platform ini. Pada macOS, kebanyakan akses digunakan melalui browser, manakala pada iOS dan iPadOS, kita lebih banyak menggunakan aplikasi khusus seperti aplikasi YouTube, aplikasi media sosial dan sebagainya. Mungkin terdapat perbezaan cara aplikasi tersebut berkomunikasi dengan rangkaian selepas kemas kini iOS 26.3.

Sebagai ujian tambahan, saya juga cuba menggunakan mobile data pada iPhone. Apabila sambungan ditukar daripada UniFi WiFi kepada rangkaian mobile data, semua aplikasi yang sebelum ini terasa perlahan tiba-tiba berfungsi dengan sangat lancar. Thumbnail YouTube muncul serta-merta dan aplikasi dapat dijalankan tanpa sebarang masalah.

Ini menunjukkan bahawa masalah tersebut bukanlah berpunca daripada aplikasi itu sendiri, tetapi mungkin berkaitan dengan interaksi antara iOS 26.3 dan rangkaian UniFi, khususnya apabila digunakan melalui apps.

Selepas mengenal pasti bahawa masalah ini hanya berlaku apabila menggunakan rangkaian UniFi melalui aplikasi di iPhone dan iPad, saya mula mencuba beberapa langkah penyelesaian asas. Antara perkara pertama yang saya cuba ialah menukar tetapan DNS pada rangkaian WiFi di peranti tersebut.

By default, iPhone dan iPad akan menggunakan DNS yang disediakan oleh penyedia internet. Namun untuk tujuan ujian, saya menukar tetapan DNS kepada manual dan menambah DNS awam Google iaitu 8.8.8.8 dan 8.8.4.4 pada kedua-dua peranti iPhone dan iPad.

Selepas perubahan tersebut dilakukan, saya mula melihat perubahan yang agak ketara. Aplikasi yang sebelum ini terasa lambat untuk memaparkan kandungan mula berfungsi dengan lancar. Thumbnail YouTube muncul dengan lebih cepat, dan aplikasi yang sebelum ini mengambil masa beberapa saat untuk memuatkan kandungan kini lebih responsif. Ia berfungsi seperti sediakala, seperti zaman sebelum 26.3.

Apa yang Saya Pelajari Daripada Isu Ini

Pengalaman ini mengingatkan saya bahawa tidak semua masalah sambungan internet berpunca daripada kelajuan rangkaian semata-mata. Kadang-kadang ia berkait dengan perkara yang lebih teknikal seperti DNS resolution, cara aplikasi berkomunikasi dengan server, atau bagaimana sistem operasi yang baharu mengendalikan sambungan rangkaian.

Dalam kes saya, kelajuan UniFi sebenarnya tidak bermasalah. Apabila diuji melalui Macbook menggunakan browser, semuanya berjalan lancar. Begitu juga apabila saya membuka laman yang sama menggunakan Safari di iPhone atau iPad, tiada masalah ketara yang berlaku. Masalah lebih ketara apabila menggunakan aplikasi mudah alih, dan ia hanya berlaku ketika menggunakan WiFi UniFi.

Tambahan pula, apabila saya menukar sambungan kepada mobile data, semua aplikasi berfungsi dengan normal tanpa sebarang kelewatan. Ini memberi gambaran bahawa isu tersebut mungkin berkaitan dengan cara rangkaian tertentu berinteraksi dengan aplikasi selepas kemas kini iOS 26.3. Perubahan DNS kepada Google DNS (8.8.8.8 dan 8.8.4.4)  membantu memperbaiki masalah ini, buat masa sekarang.


Cara Menukar DNS Secara Manual di iPhone dan iPad

Bagi pengguna yang ingin mencuba kaedah yang sama, langkahnya sebenarnya agak mudah:

1. Buka Settings

2. Tekan Wi-Fi

3. Tekan ikon (i) di sebelah rangkaian WiFi yang sedang digunakan

4. Cari bahagian Configure DNS

5. Tukar daripada Automatic kepada Manual

6. Tambah DNS berikut: 8.8.8.8 dan 8.8.4.4

7. Simpan tetapan tersebut

Selepas itu, cuba buka semula aplikasi yang sebelum ini terasa perlahan dan lihat sama ada terdapat perubahan pada prestasi.

Buat masa ini saya masih memantau sama ada isu ini benar-benar berkait dengan iOS 26.3, konfigurasi rangkaian UniFi, atau mungkin gabungan kedua-duanya. Kadang-kadang masalah seperti ini hanya muncul dalam situasi tertentu, contohnya apabila menggunakan aplikasi tertentu melalui WiFi tertentu.

Jika anda juga menggunakan UniFi bersama iPhone atau iPad yang telah dikemas kini ke iOS 26.3, dan mengalami simptom seperti aplikasi lambat memuatkan kandungan atau thumbnail tidak muncul, mungkin anda boleh cuba langkah menukar DNS seperti yang saya lakukan.

Pengalaman ini mengingatkan saya bahawa teknologi yang kita gunakan setiap hari kadang-kadang mempunyai perkara-perkara kecil yang tidak kita jangka. Satu kemas kini perisian, satu tetapan rangkaian, atau satu perubahan kecil seperti DNS boleh memberi kesan kepada pengalaman penggunaan harian kita.

Dalam kehidupan pun begitu juga. Kadang-kadang sesuatu masalah bukanlah sebesar yang kita sangka, tetapi hanya memerlukan sedikit pemerhatian, kesabaran dan percubaan untuk mencari puncanya. Seperti juga isu kecil antara iOS dan UniFi ini, penyelesaiannya mungkin tidak kompleks, hanya perlu kita melihat dari sudut yang sedikit berbeza.